Kita sering menghadapi bahaya yang tidak dijangka semasa memandu, seperti terlanggar jalan berlubang, terkena serpihan kenderaan lain, dan dalam beberapa keadaan tertusuk objek ditinggalkan dengan sengaja oleh orang atau kenderaan lain yang tidak bertanggungjawab, seperti paku.
Dan mengalihkan paku-paku yang berserakan di tempat yang tidak sepatutnya adalah tanggungjawab bersama demi memudahkan urusan orang lain juga mengelakkan malang yang tidak berbau.

Satu rakaman video yang tular menunjukkan dua orang penunggang motosikal yang salah seorangnya adalah rider Grab, baru-baru ini menerima pujian kerana mereka telah menjadi pengguna jalan raya bertimbang rasa yang telah memudahkan urusan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya lain.
Mereka telah turun dari motosikal masing-masing di lampu isyarat untuk mengutip semua paku yang berserakan di tengah jalan raya.
Video yang disiarkan oleh pengguna Twitter, @anthraxxxx itu pada mulanya menunjukkan seorang lelaki bermotosikal telah turun dari kenderaannya setelah menyedari terdapat banyak paku di tengah jalan.

Dia segera membongkok, mengutip dan mengumpulkan paku itu. Ketika sedang sibuk mengutip semua paku itu, dia disertai oleh seorang rider Grab yang kebetulan tiba di tempat kejadian. Dan mereka dengan pantas mula mengumpulkan kesemua paku itu.

Rider Grab ini membantunya mengumpulkan semua paku itu sebelum meminta pemandu kereta yang merakamkan tindakan mulia mereka itu untuk bergerak ke lorong bersebelahan setelah kelak lampu bertukar hijau.

Kalangan netizen memuji kedua-dua lelaki itu kerana tindakan mereka yang tidak mementingkan diri sendiri dan demi menjaga keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Namun, ada pula yang mengecam tindakan individu tidak bertanggungjawab yang meninggalkan paku di atas jalan raya yang akan membahayakan pemandu lain.
Sementara yang lain rata-rata memuji kedua abang penunggang motosikal ini kerana telah melakukan pekerjaan baik dengan suci hati dan sangat mulia.



Rakaman video yang dikatakan berlaku di Melaka ini telah menerima lebih 3,400 retweet dan 4,500 yang suka.