Saban hari kes positif COVID-19 di negara kita semakin bertambah dan baru-baru ini angka kes harian melebihi 6,000 buah kes sehari. Hal ini sangat membimbangkan semua terutama mereka yang bertungkus lumus bekerja di barisan hadapan.
Pastinya pelbagai pengalaman yang menyedihkan terpaksa dilalui oleh mereka. Melihat kematian setiap hari pastinya membuatkan hati mereka tersentuh.
Seorang doktor dari Hospital Serdang, Dr Timothy Lau, berkongsi detik yang memilukan antara seorang pesakit dan anaknya beberapa saat sebelum dia diintubasi.
Dalam catatan Instagramnya, doktor tersebut ada mengatakan bahawa sebelum mengintubasi pesakitnya, dia selalu memberi mereka masa untuk menghubungi orang yang mereka sayangi.
Suatu hari, seorang wanita menghubungi anak lelakinya sebelum dia diintubasi dan mengatakan, “ibu tidak menyalahkan kamu kerana membawa pulang covid ke rumah. Jangan salahkan diri kamu sekiranya ibu akhirnya tidak bangun.”
Pastinya kata-kata itu sangat menyedihkan hati sesiapa pun yang mendengarnya. Bayangkan seorang ibu yang sedang berjuang untuk hidup tidak pernah sedikit pun menyalahkan anaknya kerana membawa wabak penyakit pulang ke rumah.
Pengajaran buat semua, terus duduk di rumah dan jangan keluar tanpa ada keperluan. Kelak, apabila negara kita sudah pulih dari wabak ini, pulanglah kepada keluarga yang setia menunggu…