Kaedah mencuci pakaian ini nampaknya sudah lama diamalkan dan ada antara kita yang sudah biasa menggunakannya selama bertahun-tahun tetapi cara ini tetap mengagumkan.
Untuk memastikan pakaian berwarna putih sentiasa nampak putih seperti masih baru, juga kelihatan segar dan bersih.
Satu hantaran tular pada tahun 2018 telah dikongsi oleh pengguna Facebook Leena Hassan, yang muncul kembali di media sosial baru-baru ini untuk menjelaskan bagaimana kaedah mencuci efektif itu berfungsi. Ia telah mendapat lebih 240,000 perkongsian sejak itu.
Leena menulis dia bertanya kepada sepupunya yang bekerja sebagai jururawat, “Apa rahsia untuk menjaga pakaian seragamnya sentiasa nampak putih?”
Leena menambah dia telah menggunakan pelbagai jenis sabun khas dan peluntur untuk memutihkan pakaian tetapi tidak pernah terfikir pun akan kaedah ini yang mana kemudian sepupunya telah berkongsi dengannya.
Menurutnya, apa yang anda perlukan hanyalah sebuku sabun mandi dan parutkannya.
Pertama, masukkan parutan sabun ke dalam mesin basuh anda, tambahkan sedikit air dan sedikit bahan pencuci, kemudian rendam pakaian putih anda di dalamnya semalaman.
Leena menambah bahawa dia gemar menggunakan sabun Lux bunga ros kerana baunya yang harum.
Keesokan harinya, basuhlah pakaian anda di dalam mesin basuh seperti biasa. Dengan mudah sahaja menjadi bersih!
Leena menjelaskan bahawa anda tidak perlu menyental, memberus atau melakukan perkara lain, dan pakaian anda akan tetap putih dan bersih.
Dalam satu hantaran semula di laman Facebook Selangor My Hometown, beberapa netizen turut berkongsi yang kaedah ini amat sesuai untuk mereka, terutamanya yang mempunyai kesan darah pada pakaian.
“Jika pakaian wanita berlumuran darah, ia boleh dicuci dengan sabun mandi buku. Sangat mudah untuk mencuci kesan darah. Sebenarnya, tidak perlu sabun khusus, hanya sabun buku. Jika kesan darah ditinggalkan sudah lama, anda boleh menggunakan sabun ini dan merendamnya. Selepas beberapa jam, ambil dan sental kesan darah sehingga hilang. Tuala wanita juga boleh dibersihkan dengan cara ini selagi anda tidak menggunakan air panas untuk mencucinya kerana darah akan kekal apabila terkena air panas,” seorang netizen berkongsi.
Manakala seorang yang lain memberi komen, “Saya mencuba kaedah ini dan ia berfungsi dengan baik. Saya pernah tercedera dan pakaian saya berlumuran dengan darah. Saya menggunakan sabun Lux untuk membersihkannya. Ia dapat dibersihkan dengan cepat dan bau pakaian sangat wangi.”