Diilhamkan dari kisah benar, iklan raya SAJI 2021 ‘Mangkuk Tingkat Mak Teh’ mengisahkan seorang isteri yang setia memasak dan menghantar nasi dan lauk pauk dalam mangkuk tingkat dengan berbasikal ke klinik, di tempat suaminya bekerja sebagai seorang pemandu ambulans pada setiap hari.
Menampilkan gandingan mantap pelakon hebat Fatimah Abu Bakar, Bront Palarae, Sarah Ali, Firdaus Karim dan Azman Hassan.
Persembahan lakonan mantap dalam iklan ini memang benar-benar meninggalkan kesan di hati kita yang rindukan orang tersayang menjelang hari raya.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, iklan raya SAJI adalah antara yang paling dinanti-nantikan kerana mesej dan penceritaan yang disampaikan begitu dekat dengan hati masyarakat.

Terus sebak di pengakhirannya melihat Mak Teh yang terlalu rindukan arwah suaminya setelah selesai menonton iklan hari raya SAJI yang berdurasi 5 minit 28 saat.

Untuk pengetahuan anda, kisah ‘Mangkuk Tingkat Mak Teh’ ini sebenarnya diinspirasikan daripada kisah sebenar Mak Cik Saadiah Abdullah, yang setia menghantar makanan dalam mangkuk tingkat ke IPD Gerik dengan mengayuh basikal setiap hari selama 37 tahun.

Mak Cik Saadiah yang berasal dari Kampung Padang, Kuala Kenderong, mengayuh basikalnya sejauh kira-kira 5 kilometer setiap hari demi menghantar makanan untuk suaminya, Alias Nik Daud, yang bertugas di IPD tersebut.
Suaminya telah terkorban di tangan komunis pada tahun 1975. Namun sejak itu, Mak Cik Saadiah tetap berbasikal menghantar makanan dan lauk pauk ke IPD berkenaan sebagai rutin hariannya demi kasih sayang dan kesetiaan kepada Allahyarham suaminya.

Tetapi akhirnya rutin Mak Cik Saadiah terpaksa dihentikan selepas beliau terjatuh dari basikal pada tahun 2012 dan anaknya kemudian membuka tayar basikalnya kerana bimbang akan keselamatan Mak Cik Saadiah.
Tonton iklan ini di bawah: