Tahun ini sekali lagi umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh cabaran dan dalam tempoh PKP, kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga tersayang buat mereka yang bekerja jauh di perantauan dan dalam negeri sendiri.
Seorang pemuda dari Malaysia yang bekerja di Singapura baru-baru ini menjadi tular dengan puluhan ribu tontonan di TikTok kerana berkongsi video dirinya membuka bungkusan yang telah dikirimkan oleh keluarganya dari kampung halaman di pantai timur Semenanjung.
Pada 1 Mei, pengguna TikTok @matd97 memuat naik klip video pendek bersama kapsyen, “Dapat kirim dari kampung. Terasa sebak gila pagi-pagi buka kotak ada…”
Pemuda itu, yang nama sebenarnya Daud, dilihat cuba tersenyum gembira setelah membuka bungkusan yang dipenuhi dengan barang keperluan Hari Raya.
Dalam bungkusan itu, terdapat snek ringan kegemarannya seperti popiah simpul, popiah nestum, dan pelbagai jenis kerepek.
Keluarganya dari Besut, Terengganu, juga mengirimkan set lengkap baju Melayu yang baru dengan kain samping bersama sejadah.
Pengguna TikTok kemudian meninggalkan kata-kata semangat buat Daud di bahagian komen:
“Sabar ok dik. Kakak faham sangat kamu semua orang seberang dekat sini cari nafkah untuk keluarga. Jadi kuatkan hati tu ok. Salam sayang untuk adik dan orang-orang Malaysia.”
“Sabar ya dik. Insya Allah, tahun depan adik dapat beraya bersama keluarga. Banyakkan doa dan selesaikan kes ni dengan cepat. Amin.”
“Bersabarlah ya semua. Jaga diri dan kesihatan masing-masing supaya kita boleh balik kampung dalam keadaan yang sihat.”