Sejak kehilangan isterinya Ada tahun lalu, Ken Benbow tidur dengan gambar berbingkai yang didakap di dadanya pada setiap malam.
Kia Mariah Tobin, salah seorang pekerja penjagaan Ken Benbow di rumah jagaan Thistleton Lodge di Preston, England, bimbang sekiranya datuk yang berusia 94 tahun ini secara tidak sengaja boleh mencederakan dirinya sendiri dengan bingkai berkaca itu. Kemudian, dia mendapat idea yang bernas.
Kia Tobin mempunyai gambar Ada untuk dijadikan bantal, yang dia berikan kepada Ken. Video kejutan manis itu telah dimuat naik di media sosial yang mendapat jutaan tontonan.
Pasangan Ken dan Ada Benbow menghabiskan banyak dekad bahagia bersama.
Ketika Ada mengalami demensia, mereka mengupah penjaga, tetapi Ken tetap berkeras untuk melakukan apa sahaja demi cinta hatinya.
“Saya melakukan segalanya kecuali pembersihan. Saya biasa membeli-belah, memasak, menggosok baju, mengemas tempat tidur. Saya juga memasak makanan kegemaran isteri saya dan itu adalah tugas untuk dilakukan demi cinta kepadanya,” kata Ken kepada media selepas video itu menjadi tular.
Tetapi keadaan demensia Ada terus menjadi serius dan mendiang meninggal dunia pada bulan Ogos tahun lalu pada usia 93 tahun.
Pengarah pengebumian memberikan Ken gambar berbingkai Ada, yang dia mula tidur bersamanya pada setiap malam.
“Saya mendakapnya di dada dan kami akan bercakap sebelum saya masuk tidur,” katanya.
Kia Tobin menyedari Ken tidur dengan gambar Ada pada setiap malam dan memberitahu bahawa dia bimbang Ken boleh melukakan diri secara tidak sengaja dengan bingkai berkaca itu.
Dalam rakaman video memberi kejutan ini, Kia Tobin berjalan ke bilik Ken sambil memegang erat bantal peluk wajah Ada di dadanya.
“Saya ingin memberi datuk hadiah!” Kia Tobin dapat didengar memberitahu Ken Benbow dalam video kejutan itu.
“Apa itu sayang?” tanyanya.
Kemudian Kia Tobin membalikkan bantal sambil menyerahkan kepadanya, menunjukkan wajah Ada yang tersenyum.
“Hah!” Ken terkejut gembira, sambil mengambil bantal itu dengan kedua tangannya dan menatap wajah mendiang isterinya sekali lagi.
Ken kemudian mendakap erat bantal peluk itu di dadanya dan terus memeluknya, lalu tiba-tiba dia menangis.
Kia Tobin kemudian mendapatkan datuk ini dan memeluknya.
“Oh sayang,” kata Ken sambil menatap bantal dan memberikan beberapa ciuman kepada isteri yang amat disayanginya.
“Saya fikir itu mungkin sedikit lebih baik daripada gambar berbingkai anda,” kata Kia kepada Ken sambil memegang tangannya.
“Mari sini!” kata Ken menarik Kia dan mereka saling berpelukan.
Gambar berbingkai Ada kini berada di atas meja Ken, dan bantal itu dipeluknya setiap malam ketika datuk ini hendak masuk tidur.
“Ia sangat lembut dan gambarnya lebih besar, hampir sama besar dengan isteri saya yang sebenar,” kata datuk ini dengan nada gembira terubat rindu.
Tonton video di sini.