Kereta Perodua Kancil atau lebih dikenali dengan ‘Kancil Legend” yang pernah mencuri perhatian warga media sosial beberapa tahun lalu, sekali lagi disebut-sebut setelah ditemui di Kepong.
Ia dikongsikan oleh Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng di Facebook, di mana beliau sudah pun memaklumkan mengenainya kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tindakan lanjut.
“Keberadaan kereta ini di jalan raya sangat membahayakan. Tayarnya sudah pecah dan kepala pemandu terkeluar dari kereta”, tulis Lim Lip Eng.
Tambahnya lagi, jika kereta itu dibiarkan untuk terus digunakan di atas jalan raya, pasti akan berlaku sesuatu, memandangkan trafik di Kepong sentiasa sibuk.
Lim Lip Eng/Facebook
“Pihak pejabat saya sudah melaporkan isu ini kepada pihak berkuasa DBKL dan dalam masa terdekat ini, kereta ini akan ditunda. Lokasi kereta ini sudah dikenal pasti”.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan sebelum berlaku kejadian tidak diingini. “Pihak berkuasa tak mahu buat apa-apa ke?”, soalnya.
Lim Lip Eng/Facebook
Beliau yang mementingkan keselamatan pengguna berkata dirinya akan berjumpa dengan pemilik kenderaan itu untuk berbincang.
“Sudah tiba masanya kereta ini berehat dari medan pertempuran jalan raya,” tulisnya diakhiri ucapan RIP kereta Kancil Lejen.
Penang Kini/Facebook
Difahamkan bahawa pemilik kereta berusia lingkungan 40-an itu pernah diambil tindakan namun menggunakan dua buah kereta Kancil lain yang telah pun disita.
Satu kenderaan tersebut telah dilupuskan sementara sebuah lagi kenderaan kini berada di stor Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.
Sebelum ini, kereta Kancil Lejen yang lain telah disita oleh pihak berkuasa atas beberapa kesalahan – lesen memandu tamat tempoh dan tidak mempunyai nombor pendaftaran hadapan dan belakang.
Tonton video di sini.