Pernah tengok bukan video tular budak perempuan menangis sebab cemburu dan dia merungut asyik ibunya sahaja yang menerima bungkusan barang dalam talian.
Balik-balik asyik si ibu sahaja yang boleh ‘shopping’ sakan membeli barang dalam talian.
Bungkusan yang kerap diterima telah membuatkan si anak jadi cemburu kerana abang posmen sering menyerahkan barang tersebut kepada ibunya.
Video yang menjadi tular dan mencuit hati itu telah mendapat perhatian ramai. Malah, turut sampai ke pengetahuan dan perhatian pihak Pos Malaysia sendiri.
Lalu mereka mendapat idea memberi kejutan kepada adik comel ini setelah melihat video tersebut.
Baru-baru ini pihak Pos Malaysia telah memberikan kejutan kepada kanak-kanak berkenaan, Insyirah yang teringin merasa bagaimana perasaannya menerima barangan atas namanya.
Video tersebut telah dimuat naik sendiri oleh ibu Insyirah di laman TikTok.
Menerusi video tersebut, kelihatan si ibu telah berkongsi satu mesej dari Pos Malaysia yang mengatakan mereka berhasrat untuk memberi sedikit kejutan hadiah untuk si comel berkenaan dengan membuat penghantaran bungkusan ke rumahnya menggunakan nama Insyirah.
Sukanya dia dengan momen yang dirakam oleh ibunya apabila bungkusan itu dibuka dan mendapati ia adalah hadiah berupa tabung Pos Malaysia yang comel.
Apa lagi memang tersenyum dan tersengih besarlah adik Insyirah.
Dalam rakaman video TikTok tersebut, mereka turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Pos Malaysia atas pemberian tabung comel tersebut.
Sementara itu, rata-rata komen netizen turut berasa gembira apabila melihat reaksi kanak-kanak berkenaan yang kelihatan sangat ceria dan begitu seronok menerima bungkusan hadiah istimewa dari Pos Malaysia.
Malahan, terdapat netizen yang memuji tindakan pihak Pos Malaysia yang memberikan barang berguna untuk mendidik anak-anak menyemai tabiat menabung sejak kecil.
“Alhamdulillah terbaik Pos Malaysia ajar anak-anak menabung,” seorang netizen memberi pujian dalam video TikTok tersebut.