KAHERAH – Seramai 11 orang disahkan maut manakala 98 lagi cedera dalam nahas kereta api tergelincir di utara bandar raya Kaherah, Mesir dalam kejadian yang berlaku pada 18 April, demikian dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Mesir.
Menurut Kementerian Kesihatan negara itu, nahas berlaku di Toukh, sebuah bandar pertanian kecil yang terletak di Delta Nil kira-kira 40 kilometer di luar ibu negara.
Kementerian melaporkan empat gerabak kereta api yang menuju dari Kaherah ke Mansoura telah tergelincir dan terkeluar dari landasan.
“Puluhan ambulans bergegas ke lokasi kejadian dan pegawai penyiasat sudah dikerah untuk menyiasat punca kemalangan,” menurut kenyataan berkenaan.
Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sisi telah mengarahkan pihak berkuasa kejuruteraan tentera untuk menyiasat kemalangan terkini berkenaan yang berlaku hanya selepas sebulan nahas kereta api yang berlaku di daerah Tahta, wilayah Sohag yang mengakibatkan 20 orang maut.
Sumber keselamatan memberitahu AFP, pemandu dan pegawai kereta api telah ditahan untuk disoal siasat.
Kementerian Kesihatan Mesir juga berkata, 14 penumpang kereta api yang mengalami cedera ringan sudah mendapatkan rawatan di hospital berdekatan lokasi kemalangan.
Nahas kereta api di Mesir umumnya dikaitkan dengan infrastruktur dan tugas penyelenggaraan yang buruk.
Sejak sebulan lalu, sekurang-kurangnya 20 orang maut dan 199 mangsa yang lain cedera dalam nahas kereta api di negara Afrika utara itu.
Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Mesir, Kamel el-Wazir menyalahkan kejadian kemalangan membabitkan kereta api di negara itu sebagai ‘kesalahan manusia’.
“Kami memiliki masalah dengan unsur manusia,” kata Kamel dalam satu rancangan bual bicara televisyen, di mana beliau berjanji untuk membangunkan jaringan automatik pengangkutan kereta api menjelang tahun 2024.
Bank Pembangunan Afrika mengumumkan pada awal bulan ini bahawa pinjaman $170 juta (RM702 juta) telah diluluskan untuk meningkatkan keselamatan dalam jaringan kereta api di Mesir.
Bank itu berkata wang pinjaman berkenaan akan digunakan ‘untuk meningkatkan keselamatan operasi dan meningkatkan kapasiti jaringan di laluan kereta api negara’.
“Rancangan penambahbaikan ini diharap dapat memberi manfaat kepada rakyat Mesir yang berpendapatan rendah, meliputi 40 peratus populasi, yang bergantung kepada kereta api sebagai mod pengangkutan mampu digunakan,” kata bank itu dalam satu kenyataan.
Eleven people died and 98 were injured after a train derailed in Egypt. The accident is the latest of several recent railway crashes in the country https://t.co/hHP2K253a4 pic.twitter.com/a73WGSeXLb
— Reuters (@Reuters) April 19, 2021
Nahas kereta api terburuk di Mesir berlaku pada tahun 2002, di mana 373 orang maut ketika kereta api mengalami kebakaran dan menjilat para penumpang yang sedang bersesak ketika ia dalam perjalanan di selatan Kaherah.