Tiada siapa boleh menafikan naluri keibuan dan kesanggupan ibu untuk berkorban demi anak tercinta. Sifat ini bukan hanya ada pada manusia yang bergelar ibu tetapi juga wujud pada haiwan.
Baru-baru ini, tular satu kejadian mengejutkan di bahagian kecemasan salah sebuah hospital di Turki. Kejadian ini sempat dikongsikan di laman Twitter oleh individu bernama Merve Özcan memaparkan seekor ibu kucing datang ke hospital sambil menggonggong anak kecilnya yang sakit.
“Hari ini kami berada dalam bilik rawatan kecemasan di hospital apabila seekor kucing tiba-tiba datang sambil membawa anaknya,” tulis Merve Özcan.
Kita semua tahu negara Turki sememangnya terkenal dengan sifat kasih sayang terhadap haiwan terutamanya haiwan jalanan. Justeru, sebaik sahaja melihat kelibat ibu kucing ini, kakitangan hospital segera menghampiri kucing tersebut dan memeriksa keadaan anak kucing yang masih bayi itu.
Sementara anaknya diberikan rawatan, ibu kucing ini kekal berada di sisinya dan mengekori ke mana sahaja. Kakitangan perubatan turut menjaga kebajikan ibu kucing ini dengan memberikan makanan dan susu supaya ibu kucing ini berasa selesa dan tenang.
Selepas memeriksa keadaan kedua-dua kucing ini, doktor kemudian mengambil keputusan untuk memindahkan ‘pesakit’ tersebut ke doktor haiwan untuk tindakan lanjut.
Tidak sangka ibu kucing ini mampu berfikir panjang dan tahu di mana untuk mendapatkan rawatan perubatan. Sungguh menakjubkan!