Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini memperkenalkan kemudahan baharu yang dirancang untuk pengembara atau penumpang dengan keadaan Autism Spectrum Disorder (ASD).
Oleh kerana perjalanan boleh menjadi pengalaman luar biasa buat individu dengan keadaan berbeza, Malaysia Airports berharap dapat memberi golongan ini dengan kemudahan dan perkhidmatan bagi pengembaraan yang lebih menyeronokkan.
Dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) dan ‘Autism Behavioral Centre’ (ABC), KLIA melancarkan inisiatif ‘The Butterfly Effect’ pada awal tahun ini.
‘The Butterfly Effect’ adalah set kemudahan dan perkhidmatan di KLIA yang direka khas untuk penumpang dengan kecacatan tersembunyi seperti autisme.
Ciri utama inisiatif, ‘The Calm Room’ atau Bilik Tenang yang baru berada di Aras 5 terminal.
Bilik ini diharapkan dapat menjadi tempat perlindungan yang selamat untuk melindungi penumpang dengan keadaan autisme daripada kebisingan luar dan menenangkan mereka daripada kegelisahan ketika berada di persekitaran yang tidak dikenali.
Ruangnya berwarna-warni, terang dan dipenuhi dengan pelbagai stesen aktiviti yang menyeronokkan dan merangsang deria untuk memastikan individu ini berasa tenang dan sibuk.
Selain itu, KLIA juga telah memasang enam ‘Sensory Walls’ atau Dinding Rangsangan Deria di seberang lapangan terbang untuk memberikan lebih banyak jenis sokongan deria buat mereka.
Dinding Rangsangan Deria ini adalah panel sentuh interaktif menyeronokkan yang dapat membantu individu dengan keadaan autisme untuk menenangkan diri melalui pelbagai jenis permainan sentuhan, visual dan pendengaran.
Panel terang yang besar merangkumi apa saja dari roda bergerak sehingga ke blok membalik, dan semuanya dengan rekaan daripada pelbagai tekstur.
Malaysia Airports juga telah memperkenalkan empat panel ini di klia2.
Untuk menggunakan perkhidmatan dan kemudahan ‘The Butterfly Effect’, para penumpang dan pengembara dinasihatkan untuk mendaftar dalam talian dalam masa tiga hari sebelum penerbangan mereka.
Setelah tiba di KLIA, ibu bapa kemudian boleh pergi ke Kaunter Maklumat di Aras 5 untuk mengambil Kit Butterfly mereka, dan dinasihatkan dengan membawa kad orang kurang upaya (OKU) atau surat dari mana-mana hospital atau klinik untuk mengesahkan ketidakupayaan pembelajaran anak mereka.
Kit ini mengandungi Pas Butterfly yang akan memberi akses kepada si pemakai dan penjaga mereka ke Bilik Tenang dan lebih banyak maklumat mengenai lokasi Dinding Rangsangan Deria.
Pemakai pas ini dan keluarga mereka juga akan diberi keistimewaan dan bantuan daripada kakitangan lapangan terbang sekiranya diperlukan.
Bilik Tenang atau ‘Calm Room’ berada di Aras 5, Bangunan Terminal Utama (di belakang Din by Din Tai Fung)
Manakala Dinding Rangsangan Deria atau ‘Sensory Walls’ berada di lokasi seperti di bawah:
- Aras 1, Bangunan Satelit (berhampiran Pintu C1)
- Aras 3, Ketibaan Antarabangsa, Bangunan Terminal Utama (Ruang Pengambilan Bagasi berhampiran Conveyor G)
- Aras 3, Ketibaan Domestik, Bangunan Terminal Utama (Ruang Pengambilan Bagasi berhampiran Pusat Kecemerlangan)
- Aras 3, Ruang Domestik, Contact Pier (menuju sayap B)
- Aras 5, Bangunan Terminal Utama (di belakang Kaunter Maklumat).
Untuk mendaftar Kit Butterfly Effect sebelum lawatan berikutnya ke KLIA, klik di sini untuk maklumat lanjut.