KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana individu diarahkan untuk tidak melakukan aktiviti pengagihan sumbangan makanan kepada golongan gelandangan sepanjang bulan Ramadan.
Menurut kenyataan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), larangan tersebut ditetapkan bertujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya pembaziran dan pencemaran di samping ingin menangani peningkatan kes virus COVID-19.

Bagaimanapun, sumbangan makanan ini boleh dilakukan menerusi tiga lokasi iaitu Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di Jalan Pahang, Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tunku dan juga Pusat Pembelajaran Komuniti di Chow Kit.

“DBKL mendapati terdapat banyak pihak sama ada NGO, kumpulan atau individu yang mengagihkan makanan di lokasi hotspot gelandangan di pusat bandar antaranya sekitar Masjid Jamek, Pasar Seni dan Jalan Tuanku Abdul Rahman”.

Memetik kenyataan DBKL lagi, “Keadaan ini menimbulkan gangguan, ketidakselesaan kepada pemilik premis dan menunjukkan persepsi negatif masyarakat terhadap DBKL. Aktiviti pemberian makanan kelihatan tidak dapat dikawal terutama ketika Ramadan”.

Tambah kenyataan itu lagi, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati gagal mematuhi arahan. Sekiranya anda ingin menyumbang dan mengagihkan makanan kepada golongan ini, anda boleh menghubungi DBKL di talian 03-26176321 bagi tujuan kawal selia dan pengaturan jadual pengagihan.