Pernahkah anda terfikir akan nasib haiwan terbiar? Tidak menerima kasih sayang, makanan yang mencukupi dan tempat berlindung, kasihannya mereka!
Tetapi dengan adanya insan-insan yang penyayang, maka sedikit sebanyak nasib mereka itu terbela. Itulah yang dilakukan oleh seorang lelaki berjiwa besar bernama Khairul ini.
Menurut sumber, Khairul sebenarnya sudah mula memberikan makanan buat kucing jalanan. Namun aktiviti itu lebih giat dilakukan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan tahun lalu.
Dia yang memberi makan kucing sekitar Sungai Kelantan itu berasa terpanggil untuk membantu ekoran banyak kedai dan premis perniagaan yang ditutup.
“Kucing-kucing jalanan ini susah mahu cari makanan. Malah saya juga dapati banyak juga anjing-anjing jalanan yang kelaparan”, ujar lelaki berusia 44 tahun tersebut.
Tambahnya, anjing-anjing tersebut mencari makanan di tong sampah. “Saya kasihan melihat mereka jadi saya memutuskan untuk memberi makanan juga buat mereka”.
Bambob MotoRodatiga/Facebook
Khairul sebenarnya merupakan bekas guru dan kini hanya mengutip barangan yang boleh dikitar semula. Namun itu tidak menjadi alasan untuknya membiarkan sahaja haiwan jalanan.
Dia malah turut memberikan nama kepada kelompok anjing yang diberi makanan, iaitu ‘Geng Ah Ciak’, memandangkan Ah Ciak adalah anjing pertama yang dia beri makan.
Bambob MotoRodatiga/Facebook
“Mulanya saya hanya beri kucing dan Ah Ciak makan. Tetapi selepas itu, Ah Ciak pula membawa rakannya yang lain. Itu yang saya beri nama Geng Ah Ciak”.
Tidak lama kemudian, Khairul turut menemukan 9 ekor anak anjing berusia 2 bulan di kawasan sekitarnya. Mereka kemudian diberi nama Geng Belang.
Usaha murni itu tidak terhenti di situ. Khairul kemudian turut memberi makan kepada Geng ‘Baby’ dan Geng Istana. Mereka semua menganggap Khairul sebagai pemimpin mereka.
Bambob MotoRodatiga/Facebook
Pelbagai cabaran yang ditempuhi Khairul. Paling memberikan kesan adalah tatkala ada anjing liar yang ditangkap, diracun dan dibunuh oleh banyak pihak.
Baru-baru ini, Khairul berkongsi bahawa 16 ekor anjing dan 5 ekor anak anjing mati setelah memakan makanan yang dicemari racun.
Malahan, anjing kesayangannya yang bernama Abe Long turut ditembak mati oleh pihak berkuasa tempatan.
Kata lelaki itu, terdapat 9 hentian yang telah ditetapkannya untuk memberi makan kepada haiwan jalanan di sekitar Kelantan. Dalam sebulan, sebanyak RM300-RM400 dibelanjakan untuk usaha itu.
Bambob MotoRodatiga/Facebook
Usaha itu turut mendapat perhatian beberapa pengusaha kedai haiwan yang memberikan diskaun harga makanan kepada Khairul.
“Selain menerima sumbangan penduduk setempat, warga di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga ada derma RM50 hingga RM100 untuk saya belikan makanan”.
Tambahnya, orang Melayu banyak menderma makanan kucing dan segelintir derma makanan anjing. Namun makanan anjing banyak didermakan oleh orang Cina.
Bambob MotoRodatiga/Facebook
Ketika ditanya mengenai stigma dalam mengendalikan anjing, jelas Khairul, umat Islam dibenar untuk memelihara anjing untuk tujuan memburu dan menjaga rumah, tanaman dan ternakan.
Jika anda mahu membantu insan penyayang ini, anda boleh hubunginya di talian +6018-9051519 atau menerusi Facebooknya.
Atau anda juga boleh menyalurkan sokongan dengan membeli t-shirt yang dijualnya. Hasil pembelian akan disalurkan terus kepada bekalan makanan haiwan terbiar.