GUANGZHOU- Baru berusia 27 tahun, seorang pemuda dikatakan telah mendapatkan rawatan apabila diserang penyakit gout pada kaki kanannya. Tidak hanya itu, dia juga dikatakan mengalami sakit sendi pada anggota badannya.
Setelah diperiksa dan ditanya oleh doktor, ternyata pemuda tersebut mengakui bahawa dia sering minum minuman manis seperti soda, coke dan jus buah manis sejak dia mula menginjak remaja. Dia bahkan jarang sekali minum air kosong. Hal ini menyebabkan penyakit gout nya semakin teruk ekoran terdapat asid urik yang berlebihan sehingga menyebabkan tangannya penuh dengan ‘tophi’.
Doktor dari Jabatan Rheumatologi dan Imunologi, Hospital Gabungan Kedua dari Universiti Perubatan Guangzhou, mendapati bahawa kaki kanannya berulang kali mengalami gout serta terdapat benjolan besar dan kecil berwarna kuning dan putih dilihat pada beberapa sendi anggota badannya. Hal ini menyebabkan dia mengalami sakit sendi dan menjejaskan aktivitinya.
Doktor Huang Wenhui mengatakan bahawa gout adalah penyakit yang berkait rapat dengan diet terutama makanan laut, ikan besar dan daging. Walau bagaimanapun, ramai orang tidak tahu bahawa kadar gula yang tinggi serta minuman berkarbonat dapat meningkatkan asid urik.
Dia menjelaskan bahawa di antara banyak makanan, buah-buahan dan madu adalah makanan yang paling banyak mengandungi fruktosa. Namun, jika buah dimakan secara tidak berlebihan ianya tiada masalah. Tetapi, buah-buahan yang terlalu manis akan menyebabkan kandungan gula dalam buah boleh menjadi asid urik, ditambah pula dengan pengambilan minuman manis seperti soda. Kesemua ini akan menyebabkan berlakunya peningkatan asid urik yang ketara.
Selain itu, tophi pula boleh berlaku akibat kegagalan jangka panjang untuk mengawal asid urik. Kerana tahap asid urik dalam badan terlalu tinggi dan tidak dapat larut dalam darah, perlahan-lahan akan membentuk menjadi bonjolan pada sendi dan kulit untuk membentuk tophi.
Jadi, untuk mengelakkan semua itu daripada berlaku, air kosong perlu diminum secukupnya. Pesakit gout pula perlu lebih minum air dan buang air. Sebaiknya mereka minum lebih daripada 2 liter air kosong setiap hari.