Di sebatang jalan yang agak lengang berdekatan dengan Istana Shimabara, Nagasaki, teguh berdiri tembok pagar yang kelihatan normal di sebuah kediaman di sana.
Namun ia sebenarnya menjadi tarikan pelancong kerana ‘pemandangan’ unik – 3 ekor anjing baka Shiba Inu yang akan menjulurkan kepalanya menerusi lubang pada tembok tersebut.

Menurut pemilik ketiga-tiga ekor anjing tersebut, dia pada mulanya membuat lubang pada tembok rumahnya ekoran mahu pergerakan udara memasuki kawasan rumahnya.
Namun setelah itu, anjing-anjingnya itu menunjukkan sifat ingin tahu yang tinggi dan gemar meninjau di luar menerusi lubang berkenaan.
Mereka sering meninjau di balkoni sekiranya terdapat sesuatu di luar, dan dengan adanya lubang tersebut, maka lebih mudahlah mereka untuk mengetahui perkara di luar.

Kisah mereka ini bahkan tular di internet dan ramai pengunjung daripada seluruh dunia tertarik untuk ke lokasi tersebut untuk melihat keletah ketiga-tiga ekor anjing berkenaan.

Selagi ada pengunjung yang menyapa mereka, ketiga-tiga anjing comel tersebut pasti akan mengeluarkan kepala pada lubang masing-masing.
Ini pula pemandangan daripada belakang..

“Pemilik anjing juga sangat baik. Saya habiskan sejam untuk merakamkan anjing-anjingnya dan dia hanya melihat sahaja di sebalik tembok”, kata seorang pelancong dari Taiwan.

Pemilik anjing-anjing itu turut menyapa pelancong tersebut yang hanya datang ke lokasi itu semata-mata mahu melihat sendiri keunikan tiga ekor anjing di sebalik tembok miliknya.