Dengan bertambahnya masalah bekalan air bersih, ternyata pencemaran sumber air adalah penyebabnya.
Namun, sebilangan rakyat Malaysia masih mengambil sikap tidak peduli kerana dengan sewenang-wenangnya membuang sampah ke dalam saliran dan mencemarkan kebanyakan sungai yang tidak bersalah. Sikap tidak bertanggungjawab manusia yang mana akhirnya akan memusnahkan kehidupan manusia itu sendiri.
Majlis Perbandaran Kulim (MPK) Kedah menerusi laman Facebook mereka baru-baru ini menunjukkan jumlah sampah yang dibuang oleh warga Kulim ke dalam perangkap menggunakan jaring yang disusun oleh pihak MPK untuk mencegah reba atau pohon yang dicantas daripada memasuki sungai.
Catatan MPK, “Pemandangan pagi yang tidak menyenangkan. Kami mengambil inisiatif untuk memasang perangkap untuk mengelakkan reba memasuki sungai. Bukan digunakan sebagai tapak pelupusan sampah.”
“Bayangkan jika timbunan sampah ini terus memasuki sungai. Ia pasti boleh menyebabkan pencemaran yang lebih teruk,” tambah mereka.
Mereka menambah pihak MPK akan membantu Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kulim untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang telah membuang sampah ke dalam saliran dan sungai.
Tidak banyak usaha diperlukan untuk membuang sampah ke dalam tong sampah yang telah disediakan dan menguruskan sampah sendiri dengan baik. Jadi mengapa sikap pemalas dan pengotor yang perlu sesetengah orang di Malaysia amalkan secara berterusan? Membuang sampah merata-rata adalah sikap golongan yang ketinggalan zaman dan tidak bertamadun.
Mengambil jalan mudah dengan membuang sampah dengan sewenang-wenangnya di tepi jalan atau ke dalam sungai berdekatan adalah sikap buruk yang tidak ubah seperti haiwan. Jika ada orang mengatakan anda yang suka membuang sampah merata-rata sebagai monyet, sudah pasti anda akan marah bukan kerana anda mengatakan diri sendiri sebagai manusia.
Apabila air tercemar, anda akan menyalahkan kerajaan dan pihak berkuasa, walhal anda sendirilah puncanya, salah satu tangan-tangan dengan hati kotor yang mencemarkan air minuman anda sendiri.
Diharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya dengan lebih tegas bagi menangani mereka yang gemar secara suka-suka dan seronok membuang sampah ke dalam sungai sehingga mencemarkan alam sekitar.