Ustaz Ebit Lew kembali dengan misinya untuk membantu golongan kurang bernasib baik dan memerlukan. Bantuan kemanusiaannya baru-baru ini telah membawa kerja amal itu merentas sempadan negara ke Afrika Selatan di mana Ustaz Ebit Lew membina semula rumah untuk 16 keluarga Zulu pada 26 Mac lalu.
Walaupun itu adalah misi utamanya di Afrika Selatan, Ustaz Ebit Lew masih terus menjaga insan-insan memerlukan di sekelilingnya.
Pada 3 April, Ustaz Ebit Lew menerusi laman Facebooknya telah berkongsi kisah Uncle Scott, seorang gelandangan yang tinggal di jalanan berhampiran bandar Durban, Afrika Selatan.
Ustaz Ebit Lew mendokumentasikan kisah itu melalui sebuah video dan ia telah menyentuh hati ramai pihak.
Video bermula apabila Ustaz Ebit Lew mendekati seorang gelandangan bernama Uncle Scott dan memperkenalkan dirinya.
Setelah berbual ringkas dan mengenali gelandangan ini dengan lebih baik, beliau bertanya kepada lelaki itu sama ada dia bersetuju sekiranya Ustaz Ebit Lew membelikan beberapa pakaian baru.
“Saya ingin membelikan anda pakaian. Ia hanya hadiah dari saya. Untuk anda. Kerana saya sayangkan anda,” katanya kepada lelaki segak berusia 60 tahun itu.
Ustaz Ebit Lew membawa Uncle Scott ke kedai pakaian berdekatan, di mana beliau membelikannya beberapa helai pakaian dan selipar sarung. Keesokan harinya, Ustaz Ebit Lew membawa Uncle Scott keluar makan tengah hari di KFC.
Semasa makan tengah hari dan perbualan mereka, Ustaz Ebit Lew mengetahui lebih banyak tentang kehidupan Uncle Scott dengan kesukaran yang sedang dihadapinya, masa silamnya yang dia sendiri tidak suka dan kegagalannya dalam kehidupan.
Semua orang sudah sedia maklum dengan kebaikan hati Ustaz Ebit Lew yang spontan akan membuat hati semua orang berasa tersentuh. Seperti ini ketika beliau menyuapkan KFC ke mulut Uncle Scott.
Selepas selesai makan, Ustaz Ebit Lew membawa Uncle Scott ke sebuah hotel dan membiarkannya mandi dan membersihkan diri serta tidur di situ pada hari itu.
Bila ditanya Ustaz Ebit Lew, Uncle Scott mendedahkan yang dia sudah lebih 20 tahun tidak menjejakkan kaki dan menginap di hotel.
Selepas Uncle Scott selesai mandi dan menyalin pakaian, Ustaz Ebit Lew mengeringkan rambutnya dan memberinya t-shirt baru untuk dipakai, serta memastikan dia berasa selesa di bawah jagaan Ustaz Ebit Lew.
“Pada hari pertama ketika kami menawarkan bantuan, Uncle Scott menolaknya. Saya kembali pada hari kedua. Bermula takut-takut sekarang dia lebih rapat dengan saya. Seperti kawan baik,” tulis Ustaz Ebit Lew dalam posting di Facebook.
“Sekarang saya membawanya ke hotel untuk mandi dan tidur. Dia sangat gembira. Orang sekeliling juga terkejut kerana dia benar-benar mengikut saya,” tambahnya.
Ustaz Ebit Lew kemudian mengakhiri posting video itu dengan berkata, “Berbeza ujian setiap orang. Siapa tahu apa rahsia di sebalik semuanya.”