Bagi seorang warga tua yang menghadapi masalah pergerakan, rutin seharian seperti berjalan yang normal adalah sangat sukar, tambahan pula ketika pak cik atau mak cik yang agak tua hendak melintas jalan raya sibuk dengan kenderaan, ia mungkin boleh menjadi pengalaman yang mendebarkan atau menakutkan pada pandangan orang lain.
Dalam satu rakaman video, seorang pak cik tua dilihat sedang berjuang dengan ketahanan dirinya ketika mahu menyeberang jalan di sebuah lokasi di Singapura.
Syukurlah, kebetulan seorang pemandu lori yang bimbang dan baik hati telah segera memberhentikan lorinya demi membantu warga emas ini melintas jalan.
Manakala seorang pemandu lain di belakang lori juga membantu pemuda yang memandu lori itu menyekat pergerakan lalu lintas bagi membolehkan pak cik tua itu dapat melintas jalan dengan selamat.
Pemandu lori itu dikatakan telah membantu pak cik tua ini melintas jalan dengan selamat di Changi.
Kelihatan dalam video dashcam pemandu yang satu lagi, pak cik itu sedang terkial-kial memerhatikan laluan trafik yang agak deras dan berbahaya dengan keadaan fizikalnya yang lemah, namun dirinya sedaya upaya mahu melintasi jalan itu dengan pergerakannya yang perlahan.
Lampu isyarat telah bertukar hijau pada waktu itu dan kenderaan bergerak melepasi pak cik itu dalam keadaan yang agak membahayakan.
Namun tidak lama kemudian, pemandu lori putih tiba-tiba memberhentikan kenderaannya supaya pak cik tua itu dapat melintas jalan secara selamat dengan bantuannya.
Pemandu itu kemudian turun dari lorinya dan menunjukkan isyarat meminta maaf kepada pemandu di belakang, demi untuk membantu pak cik tua yang kelihatan sangat lemah ketika berjalan.
Ketika menghampiri pak cik tua itu, dia menghulurkan tangannya untuk memimpin dan membawanya menyeberang jalan dengan selamat.
Pak cik tua itu dengan senang hati menerima bantuan pemuda berhati mulia ini yang mana akhirnya dia dengan selamat dapat melintasi jalan raya yang sibuk.
Turut menerima pujian ialah pemandu kereta dengan rakaman dashcamnya ini kerana telah membantu menyekat lalu lintas yang bakal datang.
Ketika pemandu lori sedang membantu pak cik, pemandu kereta itu menyedari masih terdapat kenderaan lain sedang datang menghampiri dari belakang yang mungkin tidak menyedari kedua-dua orang ini sedang melintas jalan.
Menyedari hal ini, dengan pantas dia memindahkan keretanya ke lorong sebelah kiri untuk menyekat sebuah teksi yang sedang melalui laluan itu dari belakang.
Dia kemudian tetap berada di kedudukan itu sehingga pak cik selesai melintas jalan.
Sebelum kembali semula ke lori dan meneruskan perjalanannya, pemandu lori prihatin yang baik hati ini mengangkat tangannya sekali lagi, seolah-olah mengucapkan terima kasih kepada pemandu kenderaan di belakangnya atas kesabaran mereka membantunya untuk melintaskan pak cik tua itu.
Syabas kepada pemandu lori dan kereta berkenaan kerana kebaikan hati serta menunjukkan sikap berhemah mereka ketika berada di jalan raya, segera bertindak dengan baik menurut situasi.
Mereka sudah tentu menunjukkan contoh yang baik kepada pengguna jalan raya yang lain bahawa tindakan kecil seperti ini sesungguhnya banyak membantu individu yang memerlukan, terutama buat golongan warga emas atau golongan kurang upaya yang lain.
Tonton video di bawah: