Seekor anjing jalanan mendapat perhatian seluruh Amerika dan dunia pada minggu lalu apabila dia menjadi pencuri paling lucu dalam sejarah setelah kantoi ditangkap ketika mencuri patung lembut unicorn berwarna ungu yang menjadi kegemarannya dari sebuah kedai di North Carolina.
Menurut CNN, anjing jantan berusia setahun ini telah mencuri anak patung unicorn comel yang sama dari kedai Dollar General sebanyak lima kali, hingga mendorong pemilik kedai untuk memanggil pengawai kawalan haiwan untuk menangkap ‘si pencuri’ ini.
Sebaliknya dengan rasa simpati sambil tidak mengasari perasaan anjing berjiwa lembut ini, pegawai dari Duplin County Animal Services akhirnya terpesona dengan kecomelannya lalu membelikan anak patung unicorn ungu itu untuknya.
Anjing yang dinamakan Sisu itu kemudian dibawa meninggalkan tempat kejadian dengan unicorn ungu kesayangannya dan ditempatkan di rumah perlindungan haiwan daerah Duplin.
Duplin County Animal Services kemudian memuat naik gambar Sisu bersama anak patung unicornnya di Facebook dan ia telah menjadi tular dengan lebih 22,000 perkongsian netizen.
“Inilah yang berlaku apabila anda memecah masuk Dollar General secara konsisten untuk mencuri unicorn ungu dan tetap mahu menuntutnya, tetapi kemudian pegawai kawalan haiwan yang dipanggil untuk menangkap anda kerana kesalahan dan kenakalan anda menjadi terpesona dengan kecomelan anda dan pegawai itu membelikannya untuk anda dan membawanya ke sini bersama anda,” tulis posting itu.
Sehari selepas posting di Facebook, Sisu dengan cepat diterima oleh seorang pengadopsi. Sudah tentu, Sisu yang comel berhati lembut wajib membawa anak patung unicorn kesayangannya itu ke rumah barunya.
Kisah Sisu dengan kesudahan ceritanya dari jalanan sehingga mendapat perhatian keluarga baru yang amat comel dan menyentuh hati.