Hidangan ala Thai sudah pasti menjadi kegemaran kita rakyat Malaysia, makanan yang bukan sahaja lazat malahan aroma segarnya pasti menambah selera.
Walaupun kebanyakan hidangan semuanya pedas dan hangat mengeluarkan keringat, tetapi anda pasti tinggalkan pinggan atau mangkuk sambil menjilat jari.
Selain hidangan Thai yang biasa anda makan, apa kata anda mencuba resipi mi celup ala Thai hasil perkongsian Iza Abu Bakar dalam laman Masak Apa Hari Ni.. di Facebook.
Ikuti resipi Mi Celup Ala Thai Berpeluh Dahi Tak Cukup Semangkuk di bawah:
Bahan-bahan yang diperlukan:
Bahan tumis:
- 4 ulas bawang putih (ditumbuk)
- Akar ketumbar secukupnya (ditumbuk)
- 1 sudu besar lada hitam (ditumbuk)
- 1/2 inci halia (dihiris halus)
Bahan lain:
- Ayam
- Gula melaka
- 1/2 cawan kicap manis
- Sos ikan
- Garam secukup rasa
- Minyak untuk menumis
- Air secukupnya.
Bahan untuk mi celup:
- Mi kuning (dicelur)
- Taugeh (dicelur)
- Kangkung atau sawi (dicelur)
- Kacang tanah (digoreng tanpa minyak dan ditumbuk kasar)
- Daun ketumbar (dihiris halus atau kasar terpulang)
- Chili flakes
- Limau nipis (diperah jus sebagai penambah rasa dan selera)
Cara penyediaan:
1. Tumbuk bahan tumisan sehingga halus.
2. Untuk penyediaan kuah, panaskan minyak di dalam periuk. Masukkan bahan tumisan dan tumis sehingga garing dan naik bau.
3. Masukkan ayam dan biarkan seketika. Kemudian, masukkan air. Reneh sehingga mendidih.
4. Setelah itu, masukkan sos ikan, kicap manis dan gula melaka. Perasakan dengan garam secukup rasa. Biarkan kuah sehingga mendidih.
5. Keluarkan isi ayam yang telah dimasak. Carik halus-halus untuk hidangkan.
6. Untuk mi pula, celurkan sehingga masak.
7. Celurkan juga sayur-sayuran seperti taugeh dan kangkung. Kemudian, hidangkan.
8. Sedia untuk hidangan bahan hiasan di atas mi seperti limau, chili flakes, kacang tanah dan hirisan daun ketumbar, sebagai penambah rasa.
Cara hidang mudah sahaja, mula-mula letakkan mi yang telah dicelur dalam mangkuk. Kemudian, letakkan isi ayam dan sayur-sayuran. Siramkan dengan kuah yang masih panas. Selepas itu, taburkan chili flakes, daun ketumbar dan kacang tanah di atasnya. Akhir sekali, perahkan limau nipis sebagai penyedap rasa.
Siap Mi Celup Ala Thai tinggal makan je. Rasa memang padu kalau tambah sambal kicap, tak cukup semangkuk kenalah tambah.
Selamat mencuba dan menjamu selera!