Ketika bencana alam gempa bumi Lautan Hindi dan tsunami 2004 melanda, ramai mangsa yang kehilangan tempat tinggal, harta benda dan paling menyedihkan orang tersayang. Kehilangan orang tersayang yang sama ada dilaporkan masih hilang atau ditemui setelah disahkan meninggal dunia.
Namun, tiada siapa yang akan mengetahui takdir Tuhan yang menentukan rezeki, jodoh, pertemuan dan ajal maut, apabila seorang pegawai polis Indonesia yang dilaporkan hilang semasa bencana Tsunami Aceh pada tahun 2004 disahkan masih hidup dan ditemukan semula dengan ahli keluarganya.
Tribun News melaporkan seorang pegawai polis yang hilang setelah tsunami besar melanda Aceh pada 26 Disember 2004, ditemui masih hidup di sebuah hospital sakit mental di Aceh, hampir 17 tahun setelah insiden tragis itu berlaku.
Walaupun mengalami sakit mental ekoran terkesan tsunami, pegawai polis Abrip Asep dikatakan berada dalam keadaan sihat secara fizikal, dengan tidak mengalami sebarang penyakit lain.
Anggota keluarganya mengesahkan bahawa Abrip Asep dari Pejabat Polis Daerah Brimob bertugas ketika gempa bumi melanda Lautan Hindi dan kemudian tsunami besar melanda Aceh pada 26 Disember 2004.
Salah seorang ahli keluarga Abrip memberitahu mereka mengetahui Abrip masih hidup setelah satu gambar telah dikongsi di dalam laman sembang kumpulan ahli keluarga mereka.
“Saya tidak mempercayai pada mulanya, selama 17 tahun tiada apa-apa berita dan kami menyangka dia telah meninggal, kami tidak tahu dia masih hidup,” katanya.
Polis Wilayah Aceh juga mengesahkan bahawa lelaki yang berada di hospital sakit mental itu sebenarnya adalah Abrip Asep yang dilaporkan hilang sejak bencana tsunami 2004.
“Alhamdulillah, walaupun dia mengalami masalah penyakit mental akibat tsunami, keluarganya memanjatkan rasa bersyukur kerana dia masih hidup dan akhirnya mereka ditemukan semula,” kongsi seorang pegawai Polis Wilayah Aceh.