Selalunya jika kita ke zoo dan mendengar bunyi ngauman harimau, sudah pasti kita secara automatiknya akan kecut perut.
Namun lain pula dengan bunyi merdu yang dihasilkan oleh seekor harimau yang diberi nama Vitas di Zoo Barnaul, Rusia ini.

Ini kerana sebaik sahaja mendengar bunyi Vitas, warganet mahupun pengunjung pasti rasa terpaku sehingga ia kini menjadi sensasi internet.
Macam tidak percaya harimau berusia 10 bulan ini boleh menghasilkan bunyi falsetto sebegini. Cuba anda saksikan :
zoo22.ru/Instagram
Menurut sumber, bunyi yang dihasilkan oleh Vitas sebenarnya bertujuan untuk menarik perhatian ibunya, Bagheera.
Ini kerana, Bagheera turut mempunyai anak-anak yang lain.
Vitas sebenarnya cemburu kerana terpaksa bersaing dengan adik beradik yang lain untuk merebut perhatian Bagheera. Maka sebab itulah, Vitas ‘menyanyi’.

“Sejak Vitas dilahirkan, dia kerap menarik perhatian ibunya yang mempunyai banyak lagi anak yang lain”, ujar penjaga di zoo tersebut.
“Vitas sengaja pergi ke satu sudut lalu memanggil ibunya dengan nyanyiannya ketika Bagheera sedang sibuk dengan anaknya yang lain”.
Setelah mendengar suara merdu Vitas, ibunya itu akan berhenti melakukan apa sahaja yang sedang dilakukannya dan pergi ke Vitas.

Pihak zoo turut mendedahkan bahawa nama Vitas diberikan bersempena dengan penyanyi bersuara tenor yang popular di Rusia iaitu Vitaly Grachev (Vitas).
Walaupun sudah berusia 10 bulan, Vitas nampaknya masih tidak boleh membuang tabiat menghasilkan suara sebegitu.
Dan menariknya, bunyi itu hanya dihasilkan Vitas ketika memanggil ibunya sahaja. Manja betul!

Vitas merupakan harimau spesies Amur yang merupakan harimau yang memiliki saiz terbesar di dunia.
Namun demikian, harimau spesies itu merupakan spesies yang diancam kepupusan dek aktiviti pemburuan haram.
Hanya sekitar 600 ekor sahaja yang tinggal di alam liar iaitu di bahagian Timur Rusia yang bersempadan dengan China.