Rumah agam yang pernah didiami Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman dibuka untuk jualan pada harga RM62 juta, yang menurut para pakar hartanah merupakan kediaman termahal yang dijual di pasaran ketika ini.
New Straits Times melaporkan rumah agam itu terletak di tanah pegangan bebas seluas 0.6 hektar antara Jalan Park dan Jalan Tunku Abdul Rahman di George Town, Pulau Pinang.
Terdahulu jalan di lokasi rumah agam itu ialah Jalan Ayer Rajah, sebelum dinamakan semula bersempena nama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Almarhum Tunku Abdul Rahman mendiami rumah agam berkenaan selepas bersara sehingga kemangkatannya pada tahun 1990.
Rumah agam Tunku Abdul Rahman yang mengandungi dua tingkat bersama laman padang rumput yang luas, dengan rekaan dalaman klasik ‘British Design’ berkeluasan 9,867 kaki persegi, kini tidak didiami sejak beberapa tahun yang lalu.
Kediaman dengan enam bilik tidur yang juga dilengkapi dengan rumah pekerja yang berasingan.
Pemilik terkini harta tanah ini telah berusaha menjualnya sejak tiga tahun yang lalu.
The Star melaporkan ahli keluarga Tunku Abdul Rahman telah menjual rumah agam itu kepada sebuah syarikat swasta lebih sedekad yang lalu.
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata harta tanah itu mempunyai masalah anai-anai pada masa lalu, dan terdapat perbincangan untuk menggazetkan kediaman itu menjadi Galeri Tunku.
Walau bagaimanapun, ia masih berada dalam peringkat cadangan.
Hartanah ini kini disenaraikan di PropertyGuru, Penang Property Angel, dan laman web penyenaraian hartanah antarabangsa yang lain.
Kediaman ini dikatakan pernah menjalani pengubahsuaian, tetapi tidak dapat dipastikan bila ia telah dilakukan.
Seorang perunding hartanah kanan memberitahu New Straits Times bahawa tiada rekod dan catatan mengenai siapa yang tinggal di sana sejak kemangkatan Tunku Abdul Rahman dan hartanah itu dibiarkan kosong selama bertahun-tahun sehingga kini.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menggesa kerajaan persekutuan supaya mengambil perhatian penjualan hartanah itu kerana menurutnya kediaman Tunku Abdul Rahman adalah aset negara yang perlu dipelihara dan dilindungi.
Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan meneliti perkara berkenaan dan mengumpulkan lebih banyak maklumat terlebih dahulu.
Beliau menjelaskan perkara itu setelah terdapat pihak tertentu meminta agar kerajaan negeri campur tangan dan mengambil alih harta tanah ini bagi tujuan memelihara warisan dan menjadikannya sebagai galeri atau muzium.
Mohd Yussof juga mengajukan hal yang sama, dengan meminta kerajaan persekutuan mengubahnya menjadi galeri yang didedikasikan kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman.
Sementara itu, aktivis warisan Khoo Salma Nasution berkata, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mempunyai kuasa untuk melindungi rumah itu dengan menggunakan Enakmen Warisan Pulau Pinang 2011.
Menurutnya, majlis tempatan berhak mewartakan rumah itu sebagai bangunan warisan.