Tidak semua orang lahir dalam keadaan yang serba-serbi cukup dan sempurna. Hakikatnya ramai sahaja yang terpaksa hidup dalam kemiskinan dan kepayahan sehingga ada yang terpaksa mengikat perut untuk meneruskan kelangsungan hidup. Ada pula yang terpaksa melupakan hasrat untuk belajar kerana tidak mampu ke sekolah. Bunyinya sangat menyedihkan tetapi semua itu lebih berat buat mereka yang mengalaminya.
Sebuah kisah yang berlaku di Filipan ini telah dikongsikan oleh seorang netizen di Facebook dan pasti akan buatkan hati anda turut tersentuh.
Kisahnya bermula apabila seorang guru berasa hairan melihat anak muridnya yang seperti menyembunyikan sesuatu. Apa yang berlaku ialah murid tersebut telah menghadang kertasnya semasa dia menulis walaupun ketika itu bukan waktu peperiksaan.
Rupa-rupanya murid itu berasa malu untuk menunjukkan pen yang digunakannya. Pen yang sedang dipakai itu sebenarnya telah diubah suai kerana batang asalnya tidak boleh digunakan lagi. Memandangkan dakwatnya masih ada jadi dia memutuskan untuk membuat batang pennya sendiri.
Bayangkan kalau kita pula? Rasa-rasanya sudah lama pen rosak itu akan dibuang ke dalam tong sampah dan beli sahaja yang baru. Cuba pula buka bekas pensil anda, berapa banyak pen yang tidak anda gunakan?