Seolah-olah sudah tergerak hati akan nasibnya, gadis berusia 19 tahun bernama Angel, yang menyertai protes membantah rampasan kuasa dan anti-tentera Myanmar, selalu membawa nota wasiat yang disimpan dalam plastik kalis air dengan pesanan menyentuh hati, mendedahkan maklumat mengenai jenis darahnya.
“Sekiranya saya tercedera dan tidak dapat kembali dalam keadaan baik, jangan selamatkan saya. Saya akan mendermakan bahagian kiri badan saya yang berguna untuk seseorang yang memerlukan,” tulis nota itu.
Pada 3 Mac, juara Taekwondo dan penari ini telah ditembak mati oleh tentera perampas Myanmar. Angel atau nama sebenarnya Ma Kyal Sin telah disahkan terkorban selepas ditembak di bahagian tengkuk dan kepala semasa demonstrasi jalanan menentang rampasan kuasa tentera di Mandalay.
Terlihat dalam gambar semasa protes, kata-kata di atas baju-T Angel yang cepat menjadi tular di media sosial, ‘Everything will be OK’. Slogan yang telah menyemarakkan semangat para penunjuk perasaan pada hari-hari mendatang.
Jurucakap junta tentera Myanmar tidak menjawab permintaan untuk memberi komen mengenai pembunuhan tidak berperikemanusiaan ke atas orang awam tersebut.
Myat Thu, yang bersama Angel dalam protes tersebut, mengingati Angel sebagai seorang yang berani. Katanya, Angel menendang paip air sehingga terbuka, supaya para penunjuk perasaan dapat mencuci mata dan menghilangkan rasa sakit yang disebabkan oleh gas pemedih mata.
Angel juga dengan berani membuang gas pemedih mata ke arah pasukan keselamatan dan tentera.
“Ketika polis melepaskan tembakan, Angel berkata kepada saya, ‘Duduklah! Duduk! Peluru akan mengena kamu. Kamu kelihatan seperti berada di atas pentas,” imbas Myat Thu.
“Mendiang menjaga dan melindungi orang lain seperti rakan sendiri,” tambahnya.
Myat Thu berkata dia dan Angel antara ratusan orang yang berkumpul secara damai di Mandalay untuk mengecam rampasan kuasa junta tentera dan menuntut pembebasan pemimpin yang ditahan, Aung San Suu Kyi.
Sebelum serangan polis, Angel dapat didengar dengan teriakan dalam video, “Kami tidak akan lari, darah tidak patut ditumpahkan.”
Polis terlebih dahulu cuba meleraikan mereka dengan gas pemedih mata, kata Myat Thu. Kemudian peluru pula yang datang. Gambar yang diambil sebelum Angel ditembak menunjukkan mendiang bersembunyi mencari perlindungan di sebalik sepanduk tunjuk perasaan, dengan kepalanya sedikit terangkat.
“Semua orang lari bertempiaran. Hanya selepas itu saya mendapat mesej bahawa seorang gadis telah terkorban. Saya tidak tahu itu adalah Angel, tetapi gambarnya segera tular di Facebook yang menunjukkan dia terbaring kaku di sebelah mangsa lain,” kata Myat Thu.
Myat Thu berkenalan dengan Angel di kelas taekwondo. Dia adalah pakar seni mempertahankan diri itu dan juga penari di DA-Star Dance Club Mandalay.
Angel berasa bangga dapat mengundi buat pertama kali pada 8 November 2020 lalu, memuat naik gambar dirinya mencium jari telunjuk yang berwarna ungu sudah dicelup, menunjukkan dia telah mengundi.
“Suara pertama saya, tulus dari lubuk hati. Saya telah melakukan tugas demi negara,” kapsyen gambar itu dengan emotikon enam hati.
Selepas internet terputus di Myanmar, Angel aktif menyertai ribuan penunjuk perasaan yang lain sambil mengibarkan bendera merah Liga Demokrasi Kebangsaan untuk demokrasi dan menolak rampasan kuasa oleh rejim junta tentera serta menuntut pembebasan Kaunselor Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi, sebelum gadis ini terkorban ditembak pada 3 Mac.
Pengorbanan Angel yang tidak akan disia-siakan, dengan ramai yang berkata mereka mesti memenangi gerakan revolusi demokrasi demi Angel dan ramai lagi orang awam yang telah terkorban.