Antara ‘hobi’ yang sering dilakukan anak-anak kecil ialah bermain dengan pensil warna. Dengan warna-warni pensil warna pastinya mereka teruja jika dapat mewarnakan gambar-gambar di dalam buku.
Namun, apa yang menjadi masalah ialah jika ada yang ‘berkarya’ pada dinding rumah. Pasti ibu bapa akan pening kepala memikirkan bagaimana hendak menghilangkan semua kekotoran itu.
Itulah yang dialami oleh seorang bapa, Muhammad Haffiz Yaakop apabila ketiga-tiga anak kecilnya yang berumur 6,7 dan 10 tahun nampaknya sangat kreatif berkarya di dinding.
Pada mulanya dia mahu menunjukkan hasil kerjanya memasang penyambung wayar namun netizen lebih tertarik dengan latar belakang suis tersebut yang kelihatan sangat menarik. Mana tidaknya, banyak contengan dengan pelbagai bentuk dan warna menghiasi dinding tersebut.
Encik Haffiz kemudian memberitahu bahawa kesemua itu adalah hasil kerja anak-anak kecilnya. Mereka bukan sahaja suka menconteng tetapi turut merosakkan sofa dengan menggunakan pensil dan melompat-lompat di atasnya.
Bapa ini turut mengakui bahawa pada awalnya dia seolah-olah rasa ingin menangis melihat semua itu namun kini apabila melihat semua itu dia merasa ingin ketawa pula.
Biasalah, kanak-kanak memang banyak ragamnya. Apa sahaja yang mereka lakukan hari ini akan menjadi kenangan paling manis untuk dikenang apabila mereka dewasa kelak.