Perhiasan emas adalah hadiah kegemaran ramai wanita, dan seorang netizen baru-baru ini menerima kejutan hadiah berisi dua kotak merah berisi ‘jongkong emas’ mini daripada suami tercinta sejurus bangun tidur waktu pagi.
Alangkah terkejut sungguh buat si isteri yang meremang bulu roma apabila melihat dua kotak merah yang ‘rasanya’ sudah tentu ada emas di dalam…

Yang rupa-rupanya kotak merah dibuka, terlihat ‘jongkong emas mini’ dengan hakikat sebenar, hanya berisi kiub pati ayam atau stok penambah perisa dalam masakan.
Tetapi apakan daya dengan harapan tidak serupa kenyataan, si isteri tetap sangat-sangat gembira, sambil berkongsi hadiah suami tersayang yang ‘sweet sangat’ di Facebook.
Netizen Junariah Ab Rahman dari Kedah dalam postingnya di Facebook, “Terkejut si isteri pagi-pagi dapat kotak merah berisi gold bar. Bila suami faham benar dengan minat dan citarasa isterinya…Terima kasih suami. Saya sayang awak tau. Amboi..pandai noo, buat lawak kat cheq…”

Sambil Junariah memuat naik gambar kotak merah perhiasan emas yang bukan berisi ‘gold bar’, sebaliknya hanya berpuluh kiub pati ayam yang disaluti kertas warna emas. Tak nak cakap jenama apa kiub itu, sendiri tahu.
Namun, paling penting ternyata kreativiti suami Junariah jelas terserlah untuk menyatakan niat dan perasaan kasih sayang demi menggembirakan hati isteri walaupun ia hanya kiub pati ayam.

‘Gold bar’ yang ini boleh buat perut suami kenyang makan dengan macam-macam resipi yang akan dimasak isteri. Lebih bernilai tinggi daripada harga emas itu sendiri kan?.. Bijak-bijak!