Apabila melihat seorang pak cik tua terpaksa mencari rezeki, sudah pasti kita akan teringat ibu bapa sendiri, dan diri pasti tidak tergamak untuk membiarkan bapa sendiri terpaksa bertabah menahan diri dengan berhujan dan berpanas demi mencari rezeki.
Rakaman video ini menunjukkan seorang pak cik menangis kerana pasangan suami isteri telah membeli kesemua jualan buah potong segar dari gerainya dan ia telah menjadi tular dan menyentuh hati ribuan netizen.
Video berdurasi tiga minit itu dikongsi oleh netizen dikenali Alina Farahin di Facebook pada 19 Februari.
Dalam kapsyen video tersebut, Alina menggesa rakyat Malaysia yang tinggal berhampiran Masjid Tanah, Melaka untuk menyokong penjaja yang menjual buah-buahan segar di stesen minyak Petron di sana.
“Pak cik ini kuat. Dia berdiri dan duduk di sana sehingga siapa tahu pukul berapa dia habis menjual buah-buahannya. Pada usia seperti itu, pak cik ini sepatutnya tidak bekerja lagi, tetapi ini mungkin adalah satu-satunya pilihan untuk dia mencari nafkah,” tulis Alina.
“Saya membeli semua buah itu kerana saya mahu dia pulang awal dan berehat. Dia begitu tersentuh. Saya akan pulang ke Kuala Lumpur esok. Saya tidak tahu bila saya dapat berjumpa dengan pak cik ini lagi,” tambah Alina.
“Sesiapa yang lalu sini, sila singgah untuk membeli buah-buahan daripada pak cik ini. Tidak mahal pun, ini yang termampu kita bantu,” minta Alina sambil menambah bahawa gerai buah potong pak cik itu terletak di Petron Masjid Tanah, Melaka.
Menurut Alina, suaminya turun dan ada bercakap dengan pak cik itu sebelum membeli semua buah potong daripadanya.
Video itu bukan sahaja menunjukkan suami Alina membayar buah-buahan dalam jumlah yang banyak, tetapi juga menunjukkan bahawa dia turut memberi sedekah kepada pak cik itu dengan 10kg beras serta barang keperluan lain.
Tindakan mulia dan simpati pasangan baik hati ini telah membuatkan pak cik itu jadi spontan sebak dan tiba-tiba menangis. Dia dilihat mengesat air mata yang berjujuran dari pipinya sambil berjalan seketika untuk mengawal emosinya.
Pasangan suami isteri ini kemudian meminta pak cik itu untuk pulang dan berehat, klip video berakhir dengan rakaman mereka memandu pulang ketika pak cik ini bersedia mengemas barang jualan dan bersiap untuk pulang awal.
Pak cik itu dilihat mengucapkan selamat tinggal kepada Alina dan suami, serta anak-anak.
Kita tahu pak cik ini spontan terharu kerana terdapat pasangan muda yang baik hati serta bersimpati dengan keadaannya yang sudah tua tetapi masih gigih mahu mencari rezeki, dan pak cik ini menangis mungkin juga kerana rindukan anak-anaknya yang berada jauh daripada pandangan dan tidak dapat pulang melawatnya di kampung.
Dan ternyata benar, di bahagian komen video tersebut, seorang netizen yang mengaku anak perempuan pak cik berkenaan mendedahkan bahawa dia berada jauh dari kampung halaman dan tidak dapat melawat ibu bapanya dengan kerap ekoran Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang berkuatkuasa semula.
Nurul Amierah Zaini dalam Facebook itu mendedahkan bahawa dia kini tinggal di Kuala Lumpur, sementara adik-beradiknya berada di Pulau Pinang. Kali terakhir dia pulang bertemu ayahnya di Melaka adalah pada tahun 2020 ketika perjalanan rentas negeri dibenarkan.
“Sudah beberapa bulan saya tidak dapat melawat ayah, tetapi saya sering buat panggilan video, telefon dan WhatsApp untuk memeriksanya,” tulis Amierah.
“Kami tidak membenarkan ayah kami bekerja kerana dia sudah tua, tetapi dia berkeras untuk bekerja kerana katanya bosan duduk di rumah. Hanya dengan bekerja, dia dapat mengisi masa lapang walaupun kami berinya duit belanja setiap bulan,” jelas Amierah.
Amierah menambah bahawa dia kini telah dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri dan akan membawa kedua ibu bapanya tinggal bersamanya di Kuala Lumpur.
Sambil tidak lupa, Amierah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Alina dan suami kerana membantu ayahnya dalam perniagaan, dan mendoakannya murah rezeki.
Rakaman video itu menjadi tular dengan lebih 23,000 perkongsian di Facebook dan turut mendapat perhatian di Twitter.
Rata-rata netizen mengatakan bahawa video itu turut membuat mereka jadi sebak kerana ia mengingatkan kepada ayah masing-masing yang berada jauh daripada pandangan.