Pandemik COVID-19 banyak memberikan kesan buruk kepada umat manusia, khususnya dalam bidang penerbangan.
Perjalanan penerbangan disekat dan hampir lumpuh, menyebabkan ramai juruterbang dan pekerja syarikat penerbangan yang lain terpaksa diberhentikan.
Hakikat itu disedari oleh seorang pramugara, Zakaria Abu Saim yang sudah berkhidmat untuk Malaysia Airlines selama 27 tahun.
Dia walau bagaimanapun, bersyukur kerana masih terus bekerja sungguhpun jumlah penerbangan telah berkurang secara drastik. Sebagai ketua keluarga, dia merasakan pendapatannya tidak mencukupi.
“Kedua ibu bapa saya berpengalaman dalam industri makanan dan minuman (F&B) kerana mereka pernah bekerja di hotel”, kata anak Zakaria, Tilla Hanna.
Pada bulan November tahun lalu, Zakaria difahamkan telah mula menjual nasi lemak di kawasan Kota Kemuning dan ianya mendapat sambutan penduduk di sana.
Bay-6 Burger/Facebook
Kemudian, idea menjual burger mula disuarakan oleh adik kepada Tilla. Makanya kedua ibu bapa mereka akhirnya bersetuju dan mula membuka gerai burger di kawasan rumah mereka.
Menurut Tilla, burger dipilih memandangkan keluarga amat menggemari burger dan sering kali bereksperimentasi dengan resipi burger di rumah.
“Saya tidak pasti kenapa dan bila kami tertarik dengan burger tetapi saya masih ingat makan banyak burger yang dibuat sendiri di rumah ketika kecil dahulu”.
Bay-6 Burger/Facebook
Setelah mengambil kira pelbagai faktor – kos operasi, pembelian peralatan, penyelidikan dan pembangunan, akhirnya gerai burger mereka dibuka pada Disember 2020.
Sambutan pada mulanya agak perlahan, malah ramai jiran mereka tidak menyedari bahawa terdapat gerai burger di rumah mereka.
Namun kini, gerai mereka berjaya menjual 40 biji burger secara puratanya pada setiap hari. Kenaikan jualan burger membuatkan dapur rumah mereka turut diperbesarkan untuk memenuhi permintaan burger yang kian bertambah.
Bay-6 Burger/Facebook
“Setiap daripada kami mempunyai peranan masing-masing agar proses perniagaan kami ini berjalan dengan lancar”, kata Tilla lagi.
Zakaria akan mengendalikan akaun media sosial Bay-6 Burger dan pelanggan manakala ibunya pula menguruskan operasi gerai dan menyediakan bahan mentah untuk burger.
Bay-6 Burger/Facebook
Adik kepada Tilla pula bertindak sebagai cef, memasak dan menyediakan burger sementara Tilla berperanan untuk membantu bapanya menyimpan rekod dan menolong adiknya membungkus burger.
Istimewanya, daging burger yang dibuat sendiri ini terdiri daripada daging yang berkualiti. Tambahan pula, terdapat penambahan kombo burger baru setiap bulan membuatkan pelanggan tertarik.
Jelas Tilla, sungguhpun bapanya kelak akan kembali bertugas seperti biasa namun ibu bapanya mahu mereka meneruskan perniagaan itu.
Bay-6 Burger/Facebook
“Kami akan terus mengoperasikan Bay-6 Burger di rumah dan mungkin akan mengubah menu kami bergantung kepada permintaan pelanggan selepas pandemik”.
Jika anda teringin merasai keistimewaan burger mereka, dapatkannya di alamat ini :
Bay-6 Burger
11, Jalan Anggerik Aranda 31/19
Kota Kemuning
40460 Shah Alam
Selangor
Atau anda boleh lihat menu Bay-6 Burger di laman Facebook mereka dan memesan makanan anda menerusi nombor Whatsapp ke 013-6351518.