Buat golongan muda, bermain permainan video sudah pasti menjadi aktiviti paling popular kini kerana jika anda berusaha keras, tekun dan mahir, ia mampu menjadi satu kerjaya profesional yang lumayan.
Ramai yang sanggup berbelanja ratusan hingga ribuan ringgit semata-mata ingin memiliki set permainan video idaman masing-masing.
Hobi bermain ‘game’ yang boleh membuat ibu bapa menjadi bising tidak tentu pasal jika tidak gaya. Namun tidak bagi ayah yang seorang ini, kerana dia benar-benar menyokong hobi anak lelaki kesayangannya.

Dalam satu rakaman video yang tular di Twitter, seorang ayah mengejutkan anaknya yang sedang leka bermain ‘game’ dalam keadaan tidak selesa kerana dia hanya duduk di atas kerusi kayu yang biasa.

Oleh kerana kasihan melihat anaknya yang cekap bermain ‘game’ dan ayah ini juga seronok melihatnya, maka dia mahu memberikan kejutan yang akan membangkitkan keterujaan kepada anaknya, juga kepada sesiapa sahaja termasuk para netizen yang melihat.
Si ayah masuk ke bilik anak lelaki kesayangannya dengan lembut lantas menutup matanya untuk memberikan kejutan hadiah berupa sebuah ‘kerusi gaming’ yang baharu dan sudah pasti lebih selesa.

Setelah satu bungkusan kotak diserahkan kepada anak ini, dia terus membuka kotak itu dan wajahnya terus manis tersenyum lebar melihat bungkusan set ‘kerusi gaming’ berwarna merah dan hitam yang cantik.

Spontan anak ini melompat dan memeluk ayahnya dengan teruja. Mereka berdua tersenyum gembira dalam momen yang begitu berharga.

Kemudian si ayah didukung oleh anak lelaki tersayang yang begitu seronok menerima hadiah ‘kerusi gaming’ itu.

“Terima kasih, Ayah!” kata anak bertuah ini.

Sambil si anak melihat semua bahagian ‘kerusi gaming’ yang akan dipasang sendiri itu, si ayah sempat berpesan kepadanya supaya jangan terleka apabila sudah berasa lebih selesa ketika bermain ‘game’ nanti.
“Baharulah best main game, tapi jangan leka tinggal solat,” pesan ayah.

Memang rasa tersentuh hati dan terharu apabila mendapat bapa penyayang yang sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak yang sebegini, tidak kira apa juga hobi dan minat mereka.
“Baru lah semangat nak main video game”
— kighito (@damnwan_) February 13, 2021
wholesome video pic.twitter.com/FZj65z22MX