Pada minggu lalu, ramai yang bersedih mendengar berita pendakwah selebriti, Ustaz Ebit Lew mengalami halangan kecil apabila misi amalnya memberi bantuan kemanusiaan di Semporna, Sabah terpaksa dihentikan atas sebab keselamatan dan undang-undang.
Namun, Ustaz Ebit Lew membuktikan bahawa beliau benar-benar seorang dermawan berjiwa murni yang akan berterusan untuk memberi kepada golongan masyarakat yang memerlukan.
Dalam lawatan terbarunya ke Ulu Yam, Selangor, Ustaz Ebit Lew mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada masyarakat Cina di sana yang akan menyambut perayaan itu pada 12 Februari ini.

Dalam lawatan berkenaan, Ustaz Ebit Lew telah menghadiahkan kepada warga emas di Ulu Yam dengan basikal baru, angpau, barangan keperluan makanan, dan juga limau Mandarin.

Tulis Ustaz Ebit Lew di laman Facebook miliknya, mak cik di sini biasanya dilihat menunggang basikal lama mereka ke mana-mana, dan itulah yang mendorongnya untuk menghadiahkan mereka dengan sebuah basikal baru.

“Mereka semua sangat gembira. Kebanyakan yang tinggal di sini adalah ibu atau bapa yang tinggal sendirian. Ada yang tidak ada sesiapa melainkan jiran-jiran,” tulisnya.
Ustaz Ebit Lew mengakhiri posting itu dengan berkata, oleh kerana mereka semua gembira menerima hadiah itu, beliau bertambah seronok dan bahagia melihatnya.

“Membuat saya rindukan keluarga sendiri,” tulisnya.

Bersama hadiah untuk warga emas di Ulu Yam, Ustaz Ebit Lew juga berjaya membeli 500 Tablet untuk 500 pelajar memerlukan pada 8 Februari, hasil sumbangan yang diberikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).
Kedua-duanya mengadakan pertemuan pada 5 Februari lalu di mana TMJ telah menyumbangkan RM200,000 untuk misi bantuan kemanusiaan Ustaz Ebit Lew.