Sejak kecil, kita ditatang bagai minyak yang penuh oleh ibu bapa. Namun, terdapat segelintir individu yang sanggup membuang orang tua sendiri kerana tidak sanggup untuk menjaga kebajikan mereka.
Dalam satu kejadian memilukan yang berlaku di Klang baru-baru ini, seorang lelaki warga emas telah diperdaya oleh ahli keluarganya sendiri sebelum ditinggalkan sendirian di sebuah surau.
Kisah malang yang berlaku terhadap pak cik ini membuatkan orang awam terus melaporkannya kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk mengambil tindakan.
“Sejurus mendapat maklumat mengenai seorang warga emas tidur di salah sebuah surau di sini, kami bergegas untuk membantu beliau memandangkan Selangor adalah negeri tertinggi kes Covid-19 buat masa ini. Tentunya bahaya sekiranya golongan berisiko tinggi tidur di tempat-tempat awam”.
Lebih memilukan lagi, ketika ditemui sendirian di surau berkenaan, pak cik tersebut berada dalam keadaan kelaparan, keletihan selain kesakitan di kaki akibat jangkitan bakteria.
Menurut perkongsian warga emas yang malang itu, dia yang belum berumahtangga dan tidak mempunyai zuriat telah dijaga oleh anak saudaranya sendiri. Walau bagaimanapun, keadaan kesihatan yang semakin merosot di samping kemelut kewangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan ahli keluarga yang menjaganya bertindak meninggalkan pak cik ini di surau berkenaan.
Pak cik ini turut berkongsi kisah bagaimana dia telah ditinggalkan oleh keluarganya itu. Menurutnya, dia telah dipujuk untuk melakukan solat secara berjemaah di surau berkenaan. Bagaimanapun, itu hanyalah tipu daya ahli keluarga untuk membawanya keluar dari rumah sebelum meninggalkannya seorang diri di situ. Malah, ahli keluarganya turut melakukan persiapan awal dengan meletakkan pakaian pak cik itu di dalam beg sebagai ‘bekalan’.
Pihak LZS kemudiannya mencadangkan untuk menempatkan pak cik ini di sebuah rumah kebajikan Rufaidah Home Care Services yang terletak di Dengkil. Difahamkan, segala kos rawatan dan penjagaan penuh akan ditanggung oleh LZS.
“Terima kasih kepada pengeluar zakat. Kami cuba sedaya upaya untuk salurkan zakat anda kepada mereka yang berhak. Sedikit bagi anda, segalanya buat mereka”