NEW DELHI – Selepas meneliti maklumbalas daripada beberapa syarikat berkenaan isu privasi dan pematuhan, negara India mengekalkan keputusan untuk mengharamkan 59 aplikasi China termasuk TikTok.
Ketika larangan pertama yang dilaksanakan pada Jun 2020, Kementerian Elektronik dan Teknologi Maklumat India telah memberi peluang kepada kesemua 59 aplikasi tersebut untuk memberikan penjelasan lanjut berkenaan beberapa isu. Antara isu yang diutarakan adalah sama ada pihak syarikat aplikasi ini menapis kandungan, bekerja atas nama kerajaan asing, atau melobi pihak yang berpengaruh.
Pada Julai 2020, syarikat aplikasi perkongsian video terkenal ByteDance (TikTok), Tencent Holdings (WeChat) dan Alibaba (UC Browser) telah diminta untuk menjawab 77 soalan ketika berlakunya peningkatan ketegangan akibat pertembungan perbatasan sempadan di antara negara India dan rejim China.
Sebuah panel pemerintah kerajaan telah meneliti keputusan larangan tersebut dan beranggapan bahawa kedudukan negara tidak akan berubah memandangkan larangan tersebut dikeluarkan demi keamanan dan kedaulatan nasional India. Pihak kerajaan kemudian mengeluarkan notis untuk memaklumkan kesemua syarikat aplikasi tersebut mengenai keputusan tetap mereka.
Akhbar The Times of India melaporkan sehingga 25 Januari yang lalu, larangan ini masih dilaksanakan dan tindakan untuk menarik balik larangan ini masih belum dipastikan. Sementara itu, TikTok turut mengeluarkan kenyataan berhubung penerimaan notis tersebut.
“Kami akan terus berusaha untuk mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan serta melakukan yang terbaik bagi menangani segala isu yang menjadi kebimbangan kerajaan. Memastikan privasi dan keselamatan semua pengguna akan tetap menjadi keutamaan kami”.
Pada masa yang sama, UC Web dilaporkan enggan memberikan sebarang maklumbalas manakala Beijing pula bertindak mengkritik keputusan kerajaan India berkenaan tindakan tersebut pada 27 Januari lalu.
Menurut sumber, lanjutan larangan itu dibuat akibat kejadian ‘pertelingkahan’ yang melibatkan tentera India dan China berkenaan pertikaian kawasan sempadan di bahagian timur Himalaya.
Terdahulu pada September 2020, India telah mengharamkan sebanyak 118 aplikasi mobil termasuk permainan video terkenal Tencent iaitu PUBG. Sehingga kini, larangan tersebut masih berkuat kuasa dan belum ada cadangan untuk menarik semula larangan berkenaan