Sejak pandemik Covid-19 mula melanda, kita semua sudah perlu membiasakan diri dengan amalan norma baharu dalam kehidupan seharian. Hal ini termasuklah dalam urusan persekolahan kanak-kanak yang kini perlu dilaksanakan secara dalam talian sahaja.
Baru-baru ini, seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun dari Kota Kinabalu, Sabah, yang sedang merakam video tentang topik latar belakang keluarganya mendapat perhatian ramai selepas kanak-kanak itu, Sonia Callysta Neil, tiba-tiba menangis sebaik sahaja menyebut tentang bapanya yang baharu meninggal dunia.
“Ini ayah saya. Ayah saya baru meninggal untuk selamanya…” ucap Sonia sambil menangis teresak-esak.
“Kawan-kawan, marilah sama-sama doakan semoga rohnya tenang dan diterima disisinya,” tambah Sonia lagi.
Menurut perkongsian Daily Express Online, bapa Sonia, mendiang Blasius Madili telah meninggal dunia pada 1 Mei 2020 akibat kegagalan buah pinggang.
Di bahagian komen kiriman ini, ramai warganet yang berasa sedih dan meninggalkan kata-kata semangat buat Sonia agar dia dapat menjalani kehidupan yang mendatang.
“Saya kehilangan ayah tercinta ketika saya seusia dia. Yang dikasihi, jadilah berani, jadilah kuat. Saya tahu kamu boleh bertahan melalui ini. Saya pasti kamu boleh. Kami sayang kamu. Dan tidak mengapa untuk bersedih setiap kali kamu mengingatinya. Jadilah anak perempuan yang baik ya, buat ayah kamu bangga.”
“Sayang… Kamu akan membesar menjadi orang yang hebat… Ingatlah bahawa ayah kamu akan sentiasa bersama kamu di hati kamu ya…”
“Luluh hati melihatnya menangis kerana mendiang ayahnya. Jadilah malaikat kecil yang kuat. Kamu akan membesar menjadi seorang wanita muda yang cantik suatu hari nanti.”
Diharapkan, Sonia dan keluarganya akan terus kuat dan tabah menjalani kehidupan yang mendatang.