Kerja sebagai penghantar makanan sebenarnya bukanlah semudah disangka. Biasanya kebanyakan rider bertugas demi membantu meringankan bebanan ekonomi keluarga.
Ada kala kita mendengar kisah bagaimana penghantar makanan sering dianiaya oleh pelanggan yang tidak bertanggungjawab seperti rider bernama Anas Mansor ini.

Anas Mansor berkongsi kisah di akaun TikTok miliknya bagaimana pada satu hari pesanan makanan yang wajib dihantarnya telah dibatalkan oleh salah seorang pelanggan dan paparan hari malangnya telah mendapat perhatian netizen.
Menurutnya, pelanggan itu telah memberi salah alamat dalam aplikasi Foodpanda dan dia terpaksa berjemur di bawah panas terik untuk mencari alamat itu yang mana akhirnya pesanan itu telah dibatalkan.

Menerusi video yang dimuat naik oleh Anas Mansor atau Abang Panda, dia berasa kecewa apabila seorang pelanggan sanggup menganiayanya dengan meletakkan alamat yang salah pada pesanan dan tidak muncul langsung sebaik saja dia tiba di lokasi yang dimaksudkan.
Apa yang lebih menyedihkan, nilai pesanan makanan yang dibuat bukan sedikit tetapi melebihi RM100. Anas juga sempat memberikan mesej peringatan buat semua pelanggan yang tidak bertanggungjawab seperti itu.

“Korang yang nak order sampai beratus tu, please letak alamat betul and sentiasa dekat dengan phone. Call tak dapat, chat tak reply. Pin location dekat tengah jalan, tengah hari rembang pulak,” luah Anas dalam TikTok itu.
“Last-last cancel macam tu je order yang beratus tu. Jauh-jauh aku datang dan aku tak dapat payment penuh disebabkan order tu cancel. Banyak-banyak ni nak buat apa,” katanya geram.

Akhirnya Anas terpaksa menyelesaikan sendiri pesanan makanan yang telah dibatalkan itu dengan membayar sendiri dan mengagihkannya sebagai sedekah kepada orang ramai di jalanan yang ditemuinya.

Tugas rider menghantar makanan memang mencabar, yang termasuk mencabar kesabaran.

Video tersebut mendapat perhatian para netizen yang berasa amat bersimpati dengan nasib Anas.

“Rasanya Foodpanda lepas ni elok guna cashless la, lebih selamat. Transfer duit dulu baru dapat makanan. Tak ada duit tak ada makanan,” tulis netizen ini yang mencadangkan supaya syarikat Foodpanda menghentikan cara pembayaran secara tunai.

Ini kerana rider hanya melakukan tugas yang sia-sia dan membuang masa sekiranya berhadapan dengan pelanggan yang tidak bertanggungjawab seperti itu.