Kanak-kanak hari ini boleh dikatakan bijaksana dan selalunya punya visi ke hadapan yang tersendiri mengatasi visi ibu bapa.
Mempelajari kemahiran baru begitu mudah buat si kecil, bahkan ibubapa pula yang perlu mempelajari perkara baru yang mungkin tidak diketahui itu daripada mereka.
Jadi, tidak hairan pada hari ini anak-anak mudah sahaja mengetahui cara menggunakan telefon pintar dan ada pula juga yang terlebih pintar boleh membeli-belah dalam talian dengan sendirinya tanpa perlu diajar.
Sebagai bukti demi menegakkan kebenaran, seorang ibu bernama Ain Musa, telah berkongsi posting di Facebook bagaimana dia menerima kejutan sebelum mahu memberi kejutan kepada kedua orang anak perempuannya dengan barangan ‘Frozen’, apabila mengetahui bahawa anak perempuannya yang berusia lima tahun telah terlebih dahulu membeli barangan ‘Frozen’ kesukaan, secara dalam talian, dengan sendirinya.
Si kecil 5 tahun ini telah membeli dua pasang kasut Elsa secara dalam talian tanpa pengetahuan ibunya.
Selepas menerima bungkusan itu, Ain yang seakan ter ‘Frozen’ seketika, telah segera memeriksa aplikasi Shopee dan mendapati tidak ada pembelian seperti itu. Dia kemudian membuka aplikasi Lazada dan menulis dalam posting itu bahawa dirinya hampir mahu pengsan!
Kasut ‘Frozen’ itu berharga RM64.34 termasuk kos penghantaran, dan anak perempuannya tidak membeli satu tetapi dua pasang kerana dia mahu adik perempuannya juga memiliki kasut itu. Rasa macam manis sahaja ingatan kasih sayang si kakak ini bukan?
Ain menjelaskan dalam posting itu, dirinya terasa macam mahu memarahi anak perempuannya, tetapi selepas melihat wajahnya yang begitu teruja dan penuh ceria, dia terus tidak sampai hati.
Ain juga memberitahu dua hari sebelum kasut Elsa itu tiba, Ain telah membelikan dua pasang baju ‘Frozen’ untuk kedua anak perempuannya yang pada tujuan asalnya adalah sebagai pemberi kejutan tulen sebenar.
Tetapi tidak sangka pula, salah seorang anaknya telah terlebih dahulu memberinya kejutan besar sambil meninggalkan resit yang besar buat tatapan ibu.
Semestinya anak-anak Ain berpuas hati dengan barangan ‘Frozen’ mereka dan Ain pula kena menasihat ibu bapa lain supaya cepat-cepat menyahpasang atau kunci cap jari aplikasi beli-belah dalam telefon pintar masing-masing, sebelum entah apa benda lain yang akan dibeli oleh si kecil, silap-silap boleh keluar wang besar yang akan buat ibu bapa terduduk dan ‘Frozen’.