Pada ketika ini, suka atau tidak semua orang harus menerapkan norma baharu dalam hidup mereka. Kemunculan virus membunuh COVID-19 nampaknya telah mengubah corak hidup kita semua.
Pada mulanya memang agak sukar untuk membiasakan sesuatu yang baru namun lama-kelamaan semuanya menjadi lebih mudah dan senang untuk diikuti.
Dengan perubahan yang berlaku tidak bermaksud kita tidak menikmati hidup dengan baik. Kita boleh sahaja menjalani hidup seperti biasa walaupun dengan sedikit perubahan seperti yang dilakukan oleh mereka yang meraikan hari graduasi di Tadika Khalifah Elit, Johor Bahru ini.
Kali ini hari graduasi tadika tersebut dilangsungkan dengan konsep yang sedikit berbeza, tidak seperti biasanya. Apa yang menariknya, anak-anak kecil di situ diraikan dengan majlis graduasi ‘drive-thru’ yang sangat meriah penuh dengan warna-warni dan keriangan.
Ditemani oleh ibu bapa masing-masing, anak-anak kecil yang bergraduasi menerima sijil tamat persekolahan tadika mereka melalui kaedah ‘drive thru’.
Sampai sahaja di pintu gerbang dan permaidani merah yang disediakan, kanak-kanak itu akan turun dari kereta dan mengambil sijil mereka. Selepas itu mereka akan bergambar seketika dan kembali semula ke kereta untuk pulang sambil mengucapkan selamat tinggal kepada sekolah mereka.
Ibu bapa juga menyokong idea ini. Mereka bahkan menghiasi kenderaan masing-masing untuk meraikan anak-anak mereka yang telah tamat sekolah tadika.
Ada juga ibu bapa yang menyediakan kad ucapan buat guru-guru sebagai tanda penghargaan kepada barisan guru yang telah bersusah-payah dalam mendidik anak-anak mereka tanpa jemu.
Majlis ini mungkin tidak sama seperti tahun-tahun sebelumnya tetapi majlis ini pastinya sebuah lagi kenangan paling manis buat seisi keluarga dan para guru.
Kelak, anak-anak kecil ini pasti akan tersenyum semula melihat semula gambar-gambar mereka yang diambil pada hari itu. Semua ini adalah kenangan paling manis yang akan diingati sampai bila-bila…