31.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 23, 2025
Utama Blog Laman 21

“Sudah tak sayang jangan sakiti anakku,” Bapa bersedih tenangkan anak perempuan jadi mangsa keganasan rumah tangga

0

Bahagian paling sukar dalam kehidupan bapa berhati penyayang adalah menyerahkan tangan anak perempuannya kepada suami yang dicintai pada hari perkahwinannya.

Jadi, kita boleh membayangkan bagaimana luluh hati seorang bapa apabila mengetahui anak perempuannya, yang disayangi sejak lahir, rupanya telah didera oleh suami dan menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

@MALAYSIAVIRALLL / X

Paparan video MALAYSIA MOST VIRAL di X baru-baru ini menjadi tular dengan perasaan pilu apabila seorang lelaki Indonesia, terpaksa menenangkan anak perempuannya yang mahu dibawa pulang kembali ke rumah ibu bapa, selepas si suami durjana telah menderanya dengan teruk.

Kapsyen video berbunyi, “Sedihnya video ni. Ayah datang menjemput anak perempuannya yang dipukul suaminya. Carilah lelaki yang betul untuk dijadikan suami.”

@MALAYSIAVIRALLL / X

Dalam video itu, bapa itu boleh dilihat menghampiri anak perempuannya ketika sekumpulan individu yang kelihatan berpakaian seragam duduk di sekelilingnya dan menyaksikan suasana menyayat hati itu berlaku.

Si Ayah kemudian mendakap muka anak perempuannya yang bengkak teruk lalu mengucup dahinya untuk menenangkannya.

@MALAYSIAVIRALLL / X

Ketika bapa ini terus menunjukkan kasih sayangnya, anak perempuannya mula menangis, yang kemudian membuat bapanya turut menangis.

“Kalau kamu sudah tidak sayang dia, jangan sakiti anakku. Kembalikan dia kepadaku,” kapsyen video itu berbunyi.

@MALAYSIAVIRALLL / X

Dua beranak ini kelihatan sangat kecewa dengan nasib yang menimpa dan mereka terus menenangkan satu sama lain apabila anak perempuan, mangsa yang disakiti turut mengesat air mata bapanya.

Diharap keluarga ini bersatu serta menjauhkan diri daripada suaminya yang tidak bertanggungjawab dan mereka dapat menjaga satu sama lain demi tanpa rasa sakit dan sengsara.

Pergerakan milisaat terakhir ‘menyelamatkan nyawa Donald Trump’ 

0

Pergerakan milisaat terakhir yang ‘menyelamatkan nyawa Donald Trump’ ditunjukkan dalam rakaman baharu percubaan pembunuhan itu.

Bekas presiden Amerika Syarikat itu sedang berucap dalam rapat umum di Butler, Pennsylvania pada Sabtu (13 Julai) apabila beberapa tembakan tiba-tiba kedengaran dan Trump menunduk di lantai pentas.

Gambar oleh Jabin Botsford / The Washington Post / Getty Images

Apabila bekas presiden berusia 78 tahun itu akhirnya diiringi keluar dari pentas, telinga dan muka kanannya kelihatan berlumuran darah.

Trump kemudiannya mengesahkan di media sosial bahawa beliau telah ‘ditusuk’ oleh peluru di ‘bahagian atas telinga kanan, sambil menambah ‘Tuhan sahaja yang menghalang perkara tidak diingini daripada berlaku’.

Tetapi pergerakan pantas yang kecil itu juga didakwa menjadi perkara yang menghalang serangan tembakan cubaan bunuh daripada membawa akibat lebih maut kepada calon presiden itu.

Menurut laporan, Trump sedikit menyendengkan kepalanya semasa beliau berucap yang bermakna peluru itu mengena hinggap ke telinganya, dan bukannya sasaran ke arah belakang kepalanya.

@sovereignbrah / X

Semasa memberi ucapan, Trump berkata beliau menoleh untuk melihat dan merujuk kepada statistik tentang topik pendatang haram di Amerika Syarikat yang dipaparkan pada skrin besar.

Trump dilaporkan memberitahu bekas doktor Rumah Putih Ronny Jackson: “Carta yang saya sedang rujuk menyelamatkan nyawa saya. ‘Peronda sempadan’ menyelamatkan nyawa saya.

“Jika saya tidak menunjuk ke arah carta itu dan menolehkan kepala saya untuk melihatnya, peluru itu akan mengenai tepat di kepala saya.”

Dan seorang peserta perhimpunan pada hari itu juga bersetuju, kerana seorang wanita bernama Vanessa memberitahu NBC News, dia percaya keadaan boleh menjadi sangat berbeza jika Trump tidak ‘menggerakkan kepalanya’ pada saat itu.

Gambar Trump Campaign Office / Handout / Anadolu / Getty Images

“Kami berada enam baris di belakang, terus berhadapan dengan podiumnya. Kami dapat melihat beliau dengan pandangan yang sangat baik,” katanya.

“Beliau sedang mengulas tentang cartanya dan mengalihkan kepalanya ke kanan untuk menerangkan di mana mereka berada dalam carta.

“Tetapi ketika beliau menggerakkan kepalanya untuk melihat carta di atas skrin, ketika itulah beliau memegang telinganya.”

Wanita itu mendakwa kejadian mungkin ‘lebih teruk’ jika Trump tidak menyendengkan kepalanya ‘pada saat yang tepat’.

Dan rakaman yang diperlahankan menunjukkan saat kepalanya sedikit senget, mengubah haluan peluru untuk mengena pada telinga kanannya.

Susulan insiden pada Sabtu, Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat mengesahkan lelaki bersenjata yang didakwa Thomas Matthew Crooks ‘kini sudah meninggal dunia’ selepas ‘dineutralkan’ oleh pihak berkuasa.

Dalam insiden cubaan membunuh Donald Trump itu, seorang lelaki dikenal pasti sebagai Corey Comperatore disahkan maut dalam tembakan itu dengan dua yang lain cedera parah.

Mengulas kepada New York Post, Trump berkata beliau ‘sepatutnya sudah tiada’.

Sambil menambah: “Doktor di hospital berkata tidak pernah melihat perkara seperti ini, dan memanggilnya satu keajaiban.”

Messi kecewa gagal tamatkan aksi di Copa Amerika 2024

0

Lionel Messi kecewa gagal tamatkan aksi di perlawanan akhir Copa Amerika 2024 kerana kecederaan yang dialaminya memaksanya keluar padang.

The Sun

Kapten Argentina berusia 37 tahun yang dilihat menangis teresak-esak itu terpaksa keluar dari padang pada minit ke-66.

Menurut laporan The Sun, Messi terjatuh secara tidak sengaja dan terbaring semasa mengejar bola pada separuh masa pertama tetapi kembali ke padang selepas menerima rawatan perubatan.

Namun di pertengahan babak kedua, Messi tidak dapat meneruskan permainan dan kelihatan sangat kecewa apabila digantikan dengan Nicolas Gonzalez.

Sebaik sahaja tiba di bangku pemain simpanan, Messi mula menangis tanpa henti kerana menyedari dia tidak lagi dapat membantu rakan sepasukannya.

Ini juga dijangka menjadi perlawanan terakhir Messi di kejohanan besar untuk Argentina.

Dalam pada itu, media sempat merakam keadaan buku lali kanan Messi yang bengkak selepas ikon Barcelona itu menanggalkan stokingnya.

The Sun

Walau bagaimanapun, kesakitan itu sedikit reda apabila penyerang Inter Milan, Martinez, menjaringkan gol kemenangan lapan minit sebelum tamat masa tambahan.

Messi kemudiannya naik untuk mengangkat trofi bersama rakan sepasukannya setelah pasukan mereka menang 1-0 ke atas Colombia di Florida.

Ini adalah kemenangan kejohanan besar ketiga berturut-turut bagi negara itu selepas Copa Amerika 2021 dan Piala Dunia 2022.

The Sun

Awal minggu ini, Messi mengesahkan bahawa ini adalah Copa Amerika terakhirnya, setelah mengangkat Piala Dunia menerusi penampilan kelima dan terakhirnya.

Messi berkata, “Bagi saya, ini adalah Copa terakhir. Kami bermain Piala Dunia terakhir.”

“(Di Maria, Otamendi) dan saya bermain perlawanan terakhir dan kami menikmatinya sepenuhnya.”

Tangisan Messi datang hanya beberapa minggu selepas pesaing lamanya, Cristiano Ronaldo, juga menangis pada kejohanan besar terakhirnya dengan Portugal.

Bekas bintang Real Madrid berusia 39 tahun itu menangis selepas terlepas sepakan penalti dalam kemenangan pasukannya di peringkat 16 terakhir ke atas Slovenia.

Portugal disingkirkan oleh Perancis pada suku akhir.

Pakaian rasmi atlet Mongolia ke Sukan Olimpik Paris memukau

0

Baru-baru ini pasukan Mongolia mendedahkan pakaian rasmi atlet Sukan Olimpik mereka yang ternyata mencuri perhatian ramai.

Instagram Michelamazonka

Titik peluh pereka terkenal Michel & Amazonka tersebut turut mencuri perhatian pesara pecut Amerika Michael Johnson.

Michael Johnson dalam satu hantaran di X berkata “Teruskan sahaja dan berikan mereka pingat emas untuk pakaian terbaik!”

Ini adalah sentuhan magis Michel & Amazonka kali kedua secara berturut-turut dalam penciptaan pakaian rasmi atlet negara ke Sukan Olimpik.

Instagram Michelamazonka

Pakaian rasmi Mongolia itu menampilkan simbol kebangsaan dan Olimpik termasuk Sembilan Sepanduk Putih, obor Olimpik, lambang Sukan Olimpik Paris dan lambang matahari, bulan dan Gua-Maral (rusa mitos) yang semuanya bersulam dengan benang emas.

Walau bagaimanapun terdapat segelintir pihak yang tidak bersetuju dengan rekaan tersebut. Mereka berpendapat bahawa rekaan yang rumit seperti itu tersebut tidak sesuai dipakai pada musim panas.

Instagram Michelamazonka

Negara-negara lain juga telah memperkenalkan pakaian rasmi Sukan Olimpik masing-masing.

Namun pakaian rasmi atlet Mongolia lebih menonjol kerana reka bentuk yang indah dengan perincian yang rumit.

Saksikan video peragaan pakaian rasmi Sukan Olimpik Mongolia di pautan yang dilampirkan.

Mangsa yang maut dan cedera dalam cubaan pembunuhan Trump dikenal pasti 

0

Lelaki yang terbunuh dalam perhimpunan kempen pilihan raya yang diadakan oleh bekas Presiden Donald Trump di Butler telah dikenal pasti oleh Gabenor Pennsylvania Josh Shapiro pada Ahad, 14 Julai sebagai Corey Comperatore.

Dalam sidang akhbar, gabenor Shapiro berkata Comperatore telah terkena tembakan ketika mangsa “menerpa keluarganya untuk melindungi mereka dalam perhimpunan ini,” kata Shapiro, memetik apa yang diberitahu isteri mangsa kepada pegawainya. Gabenor berkata Comperatore “adalah yang terbaik antara kami” dan menambah dengan harapan “ingatan mencucuri rahmat ke atasnya.”

Pada Ahad, Polis Negeri Pennsylvania mengesahkan identiti mangsa yang tercedera sebagai James Copenhaver, 74 tahun, dari Moon Township, dan David Dutch, 77 tahun, dari New Kensington. Keadaan terkini mereka dilaporkan stabil.

Trump diselamatkan oleh ejen Perkhidmatan Rahsia susulan ditembak ketika berada di pentas ketika kempen pilihan raya di Butler, Pennsylvania, Amerika Syarikat pada 13 Julai 2024. (Gambar AP)

Bekas presiden dan pegawai penguatkuasa undang-undang berkata peluru menembusi telinganya semasa perhimpunan di Butler, Pennsylvania dalam kejadian 13 Julai. Jurucakap kempen mengesahkan Trump berada dalam keadaan baik-baik saja.

Ejen khas FBI Pittsburgh, Kevin P. Rojek, berkata dua orang lagi ditembak dalam apa yang disifatkannya sebagai cubaan membunuh yang menyasarkan presiden ke-45. 

Suspek yang melepaskan tembakan dalam cubaan membunuh Trump dikenali sebagai Thomas Matthew Crooks, 20 tahun, yang berjaya ditembak mati di tempat kejadian oleh ejen Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat.

“Corey seorang anggota bomba. Corey pergi ke gereja pada setiap hari Ahad. Corey menyayangi komunitinya, dan paling utama menyayangi keluarganya. Corey merupakan penyokong setia bekas presiden dan sangat teruja untuk berada di sana semalam untuk bertemunya bersama masyarakat lain,” kata gabenor itu.

Terdahulu pada hari itu, seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai kakak kepada mendiang Corey Comperatore menulis di media sosial dengan berkata mangsa “adalah seorang wira yang melindungi anak perempuannya,” sambil menambah keluarganya kini “hidup melalui perkara yang tidak dapat difikirkan dan tidak dapat dibayangkan.”

Juga dalam sidang akhbar yang sama, gabenor Shapiro berkata “percanggahan pendapat dalam politik tidak sekali-kali boleh ditangani melalui keganasan … kita perlu menggunakan proses politik secara aman dalam menyelesaikan perbezaan tersebut secara bertanggungjawab untuk bercakap dan bertindak dengan kejelasan moral.”

Gabenor Shapiro menggesa rakyat “menurunkan suhu dan mengatasi retorik kebencian,” sambil menambah walaupun Demokrat dan Republikan mungkin tidak bersetuju antara satu sama lain, “di atas segalanya kita adalah rakyat Amerika.”

“Kita perlu menangani perpecahan melalui penglibatan dan proses sivil,” tambah gabenor itu.

Penolakan yang sama ditawarkan oleh Speaker Dewan Rakyat Mike Johnson (R-La.), yang memberitahu NBC News pada Ahad bahawa “kita semua rakyat Amerika dan kita harus melayan satu sama lain dengan bermaruah dan saling hormat.”

“Kita boleh memanaskan wacana dan perdebatan politik, tetapi ia tidak sepatutnya bersifat peribadi, dan kita tidak sepatutnya menyasarkan seseorang dan orang awam,” tambah speaker dewan itu.

Serangan cubaan membunuh itu adalah yang pertama terhadap presiden Amerika Syarikat atau calon utama parti presiden sejak percubaan pembunuhan Presiden Republikan Ronald Reagan pada 1981. Ia akan menggegarkan kempen presiden kurang daripada empat bulan sebelum pilihan raya presiden, dan ia mungkin mengubah protokol dan situasi keselamatan di sekitar Konvensyen Kebangsaan Republikan, yang bermula Isnin, 15 Julai di Milwaukee.

Penganjur, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Republikan Michael Whatley, berkata konvensyen itu akan diteruskan seperti yang dirancang.

Bekas presiden itu, mengesahkan pada Ahad akan menghadiri konvensyen itu, menyeru agar semua bersatu selepas cubaan pembunuhan itu sambil berterima kasih kepada orang ramai atas “ingatan dan doa mereka semalam, kerana Tuhan sahaja yang menghalang perkara tidak dingini daripada berlaku.”

Calon Republikan bekas Presiden Donald Trump diselamatkan oleh ejen Perkhidmatan Rahsia susulan ditembak ketika berada di pentas ketika kempen pilihan raya di Butler, Pennsylvania, Amerika Syarikat pada 13 Julai 2024. (Gambar oleh Rebecca Droke / AFP / Getty Images)

“Kami TIDAK AKAN TAKUT, tetapi sebaliknya tetap berdaya tahan berhadapan dengan kejahatan,” tulisnya di Truth Social, sambil menambah “ingatan kasih sayang ditujukan untuk mangsa yang lain dan keluarga mereka” dan untuk pemulihan mereka yang telah cedera.

Mengulas mengenai kematian mangsa, bekas presiden itu menyeru rakyat Amerika untuk “menyimpan di dalam hati dan ingatan terhadap warga yang terbunuh dengan begitu mengerikan,” menurut hantarannya.

Sementara itu, Presiden Joe Biden, yang bakal bertanding menentang bekas Presiden Trump, mengesahkan beliau telah diberi taklimat terperinci mengenai serangan itu dan telah meghubungi bekas presiden itu beberapa jam selepas insiden tembakan.

“Malam tadi, saya bercakap dengan Donald Trump. Saya amat bersyukur kerana beliau berada dalam keadaan baik. Kami berbual ringkas tetapi baik,” kata Presiden Biden.

“Saya telah diberi taklimat terperinci oleh semua agensi dalam kerajaan persekutuan mengenai situasi ini berdasarkan apa yang kita ketahui sekarang. 

“Tiada tempat di Amerika untuk jenis keganasan ini, ia sesuatu yang amat tidak sihat,” kata Presiden Biden kepada pemberita di Delaware yang menggesa agar keganasan politik ditamatkan.

Nur Farah Kartini ditemukan tidak bernyawa, dipercayai dibunuh

0

KUALA LUMPUR: Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu ditemukan tidak bernyawa di Felda Gedangsa, Hulu Selangor, dipercayai dibunuh.

HARIAN METRO

Mayat Nur Farah Kartini,25, ditemukan di ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada 6 petang 15 Julai 2024.

Susulan itu, tangkapan ke atas suspek berusia 26 tahun yang merupakan seorang penjawat awam dilakukan bagi membantu siasatan.

“Polis sudah melakukan tangkapan, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” Kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penemuan individu yang dilaporkan hilang berkenaan.

“Pemeriksaan awal mengesahkan mayat berkenaan adalah mangsa yang dilaporkan hilang berkait laporan di Tanjung Malim.”

“Susulan penemuan mayat berkenaan, polis menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan.”

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” Katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan bahawa polis menerima laporan pada 10 Julai lalu mengenai seorang wanita yang hilang selepas dia menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Kali terakhir mangsa yang bertugas di bahagian pemasaran di salah sebuah kedai percetakan di Tanjung Malim dilihat memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan berseluar slack hitam.

“Dia (Farah) tidak bekerja dengan syarikat perkhidmatan kereta sewa, sebaliknya hanya membantu secara sambilan menguruskan sewaan kereta kerana akan mendapat komisen.”

“Pekerjaan secara sambilan berkenaan juga dibuatnya untuk membantu pelajar mencari kereta sewa jika pelajar mahu bergerak ke mana-mana destinasi,” Kata wakil pengurusan kedai percetakan yang enggan dikenali.

Menurut pemberi maklumat itu lagi, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, Nur Farah didakwa menaiki kereta berwarna merah yang tidak dikenal pasti nombor pendaftaran berikutan hujan pada waktu kejadian.

“Komunikasi terakhir salah seorang pengurusan kedai percetakan dengan Farah pada 8.14 pagi (hari kejadian), dan dia tidak dapat dihubungi selepas itu.”

“Mereka cuba menghubungi Farah, tetapi tiada jawapan, malah pesanan WhatsApp juga tidak dibalas mahupun dibaca,” Katanya.

Bercakap lanjut mengenai kejadian hitam itu, abang Farah yang tinggal di Selangor datang ke Tanjung Malim bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan mengenai adiknya.

Polis turut meminta jasa orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di talian 05-4596122 untuk membantu siasatan.

Kaki hampir tersepit di eskalator, kanak-kanak empat tahun selamat

0

Seorang bapa sempat menyelamatkan anak perempuannya yang berusia empat tahun daripada tersepit di eskalator baru-baru ini.

FACEBOOK

Menceritakan insiden tersebut di Facebook, Daniel Sim yang berada di lokasi kejadian terus menghentikan eskalator dan bergegas mendapatkan pengawal keselamatan.

Namun sekembalinya Daniel, bapa dan kanak-kanak perempuan berkenaan telah pun meninggalkan lokasi kejadian.

Apa yang tinggal hanyalah kasut kanak-kanak perempuan yang tersepit di eskalator berkenaan. Melihatkan keadaan itu, Daniel Sim kehilangan kata-kata.

Biarpun begitu, Daniel Sim tetap mengingatkan dan menggesa ibu bapa agar tidak memakaikan kasut seumpama itu kepada anak mereka.

Ini kerana telah banyak berlaku kes kemalangan di eskalator melibatkan kanak-kanak yang kebanyakannya ketika kejadian mereka memakai kasut jenis Crocs.

Terdahulu Kosmo melaporkan seorang ibu sempat merentap kaki anaknya yang ketika itu memakai selipar getah daripada menjadi mangsa eskalator.

KOSMO

Menerusi berita tersebut, insiden yang berlaku di Petaling Jaya itu disedari ibu kanak-kanak lelaki ketika mereka menuruni eskalator.

“Selipar getah ini lembut, mudah kena “makan” dengan eskalator. Masa kejadian ini, eskalator menurun. Dia nak melangkah dah sampai bawah, langkah terakhir ‘stuck’. Eskalator dah makan belakang selipar dia,” Tulis ibu tersebut di Facebook.

Dalam kejadian lain, Olivia, seorang ibu memberi amaran kepada ibu bapa lain supaya tidak menggunakan eskalator tatkala anak kecil mereka memakai kasut jenis Crocs.

THE SUN

Berdasarkan pengalaman, Olivia dan anaknya sedang menggunakan eskalator untuk ke tingkat atas. Di pertengahan jalan, kasut anaknya tersangkut pada bahagian tepi eskalator berkenaan. Dengan pantas, Olivia menarik kaki anaknya.

Olivia bersyukur anaknya selamat walaupun bahagian depan kasut telah pun di “makan” oleh eskalator tersebut.

Kejadian yang menimpa anak Casey Chen pula berlaku ketika mereka menggunakan eskalator di lapangan terbang Hong Kong.

Menurut Casey, kejadian yang berlaku dalam sekelip mata itu sungguh mengejutkan. Casey sempat menarik kaki anaknya namun terdapat luka kecil. Sejak itu Casey mengharamkan penggunaan kasut Crocs.

FACEBOOK

Selain berisiko tersangkut di eskalator, ada sebab lain mengapa ibu bapa tidak digalakkan memakaikan kasut jenis Crocs kepada anak-anak kecil.

1. Kurang sokongan dan kestabilan.
“Apabila kanak-kanak memakai Crocs, tumit mereka bergerak secara berlebihan dengan bebas kerana sifat kasut yang luas dan tali longgar di sekeliling tumit.”

“Dalam jangka masa yang panjang, masalah kaki yang biasa boleh berlaku seperti keradangan pad atisu yang menyokong lengkungan kaki, keradangan pada tendon, benjolan pada sendi pangkal ibu jari kaki dan lain-lain.” Kata Dr. Dana Canuso pakar penyakit kaki kepada Romper.

2. Kecederaan akibat pemakaian kasut yang salah.
Crocs tidak direka untuk aktiviti lasak seperti berlari dan bermain. Jika kanak-kanak kerap memakainya ini boleh menyebabkan kecederaan pada kaki dan pergelangan kaki.

Imej janaan Midjourney – Gambar sekadar hiasan

3. Licin.
Walaupun Crocs kalis air, namun permukaan kasut yang licin boleh menyebabkan kanak-kanak tergelincir.

4. Longgar.
Reka bentuk Crocs yang longgar boleh membuatkan kasut tersebut mudah tertanggal daripada kaki. Ini akan meningkatkan risiko terjatuh atau tersandung.

Kesimpulannya, walaupun Crocs menawarkan keselesaan dan kemudahan, namun ibu bapa perlu berhati-hati dan mempertimbangkan risiko yang mungkin berlaku.

Senarai atlet Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024

0

Atlet Malaysia yang meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024 akan memperoleh ganjaran tambahan menurut Menteri Belia dan Sukan.

BERNAMA

Perkara itu disahkan oleh Hannah Yeoh selepas merasmikan Program Kemahiran Latihan Asas (KLAS): Renang Khas Parlimen Kota Melaka baru-baru ini.

Menurut Hannah, terdapat pertambahan pihak yang tampil memberikan sumbangan untuk para atlet negara yang berjaya kelak.

“Untuk kerajaan masih kekal RM1 juta, cuma sekarang ini pihak swasta ada menghubungi jawatankuasa Fast Track Road To Gold (RTG) untuk beri ganjaran kepada atlet yang membawa balik pingat emas.”

“Bagaimanapun, untuk ganjaran ini, ia akan diumumkan kemudian oleh jawatankuasa program itu nanti,” Kata Hannah.

Terdahulu, kerajaan menawarkan ganjaran RM1 juta bagi atlet yang berjaya membawa pulang pingat emas menerusi Sukan Olimpik Paris 2024.

Berita ini pasti memberi keterujaan kepada para atlet negara yang akan berjuang di Sukan Olimpik yang bakal berlangsung bermula 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Berikut adalah Senarai atlet Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024:

1. Syaqiera Mashayikh – Memanah Individu Wanita

2. Ariana Nur Dania Mohd Zairi – Memanah Individu Wanita

3. Nurul Azreena Fazil – Memanah Individu Wanita

4. Azeem Fahmi – Olahraga 100 Meter Lelaki

5. Lee Zii Jia – Badminton Perseorangan Lelaki

6. Aaron Chia – Badminton Beregu Lelaki

7. Soh Wooi Yik – Badminton Beregu Lelaki

8. Goh Jin Wei – Badminton Perseorangan Wanita

9. M Thinaah – Badminton Beregu Wanita

10. Pearly Tan – Badminton Beregu Wanita

11. Chen Tang Jie – Badminton Beregu Campuran

12. Toh Ee Wei – Badminton Beregu Campuran

13. Dato’ Azizulhasni Awang – Berbasikal Trek Keirin Lelaki

14. Muhammad Shah Firdaus Sahrom – Berbasikal Trek Keirin Lelaki

15. Nurul Izzah Izzati Mohd Asri – Berbasikal Trek Keirin Wanita

16. Nur Aisyah Mohd Zubir – Berbasikal Lebuh Raya Lumba Jalan Raya Wanita

17. Gavin Kyle Green – Golf Individu Lelaki

18. Khairulnizam Mohd Afendy – Pelayaran Laser Lelaki

19. Nur Shazrin Mohamad Latif – Pelayaran Laser Radial Wanita

20. Bertrand Rhodict Lises – Terjun Platform 10 Meter Lelaki

21. Nur Dhabitah Sabri – Terjun 3 Meter Papan Anjal Wanita

22. Khiew Hoe Yean – Renang 400 Meter Lelaki

23. Tan Rouxin – Renang 100 Meter Kuak Dada Wanita

24. Mohamad Aniq Kasdan – Angkat Berat 61 KG Lelaki

25. Johnathan Wong – Menembak Senapang Angin 10 Meter Lelaki

***Semua gambar atlet adalah rujukan daripada Bernama

Semoga atlet-atlet negara beroleh kejayaan yang cemerlang dalam acara sukan masing-masing sekali gus mengharumkan nama negara.

Remaja 13 tahun nyaris maut termakan biskut dicampur racun dari sebuah kebun

0

KEMAMAN: Seorang remaja lelaki dari Kampung Dadong, Kemaman nyaris maut selepas termakan biskut yang dicampur racun di sebuah kebun pada Jumaat lalu, 12 Julai.

Bapa mangsa, Alias Saras, 57, berkata anaknya, Mohd Daynail Haikal Alias, 13, pengsan selepas memakan sekeping biskut yang digantung di atas sebatang kayu di kebun tersebut dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang.

“Anak saya bersama seorang rakannya masuk ke sebuah kebun pisang dan kelapa milik seorang penduduk kampung untuk memancing.

Gambar PDRM / @beritartm / X

“Akibat terlalu lapar, anak saya telah makan sekeping biskut yang dipercayai dicampur racun untuk menghalau kera dan beruk yang digantung di atas sebatang kayu di kebun itu.

“Selepas makan biskut itu, anak saya pengsan dan mulutnya mengeluarkan buih lalu dikejarkan ke Klinik Kesihatan Air Puteh sebelum dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi media.

Mengulas lanjut, Alias memberitahu, keadaan kesihatan anaknya semakin pulih selepas menerima rawatan di hospital tersebut.

“Alhamdulillah… keadaan anak saya sudah stabil dan mula pulih,” katanya.

Alias memaklumkan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu kira-kira jam 4 petang Ahad, 14 Julai.

Gambar BH Online

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan mengesahkan telah menerima laporan kejadian berkenaan pada jam 4 petang, 14 Julai.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Minggu lalu, media melaporkan, dua beradik, Muhammad Akil Syauqi dan Muhammad Luth Syauqi masing-masing berusia tiga dan dua tahun maut selepas termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kulim, Kedah.

Makanan ringan digantung di pagar kebun itu dipercayai dicampur racun tikus, juga bertujuan untuk menghalau haiwan liar.

Empat Orang Asli berjaya menjadi kru kabin Malaysia Airlines

0

KUALA LUMPUR: Empat Orang Asli berjaya menjadi kru kabin Malaysia Airlines selepas menjalani program latihan selama tiga bulan di Akademi MAB.

BERITA HARIAN

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) Datuk Kapten Izham Ismail, mereka berempat merupakan pelajar Batch 1/2024 dan Batch 2/2024 bagi program berkenaan.

Empat kru kabin tersebut adalah:

  1. Amyisha Nurshahira Rosman daripada Suku Jakun.
  2. Sarah Elissa Tang Aman daripada Suku Temuan.
  3. Veena Angelina Jincis daripada Suku Semai.
  4. Alzariza Alwi daripada Suku Semai.

Mereka adalah antara 56 orang pelatih yang tamat pengajian serta telah berkhidmat dalam penerbangan Malaysia Airlines sejak 7 Mei lalu.

Tambah Kapten Izham lagi, keempat-empat kru kabin tersebut melengkapkan modul latihan komprehensif yang meliputi dandanan, perucapan awam, hospitaliti, pertolongan cemas, pengendalian bahan berbahaya dan suai kenal pesawat.

“Kami bangga mengalu-alukan kumpulan pertama kru kabin dari masyarakat Orang Asli ke dalam keluarga Malaysia Airlines.”

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan untuk menggalakkan kepelbagaian dan keterangkuman dalam tenaga kerja.

“Ia juga memastikan peluang yang sama untuk semua tanpa mengira latar belakang mereka,” Kata Kapten Izham dalam satu kenyataan.

Terdahulu pada Disember 2023, dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli, Malaysia Airlines memulakan pengambilan pelbagai suku kaum di Pahang, Perak dan Johor.

Selain itu, Malaysia Airlines turut mengambil bahagian dalam Karnival Kerjaya Khas untuk Orang Asli pada 24 dan 25 Ogos 2024 sebagai sebahagian daripada pencarian kru kabin dan kadet juruterbang.

“Selain itu, kumpulan juga akan terus meningkatkan usaha untuk merekrut kru kabin antarabangsa, mempromosikan kepelbagaian dan memperibadikan perkhidmatan untuk pelanggan global.”

“Ini termasuk pengambilan kru kabin dari pasaran utama seperti India, Thailand, Filipina dan Indonesia,” Kata Kapten Izham.

Baru-baru ini, Malaysia Airlines tersenarai dalam Top 10 Kru Kabin Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2024.