Lionel Messi kecewa gagal tamatkan aksi di perlawanan akhir Copa Amerika 2024 kerana kecederaan yang dialaminya memaksanya keluar padang.
Kapten Argentina berusia 37 tahun yang dilihat menangis teresak-esak itu terpaksa keluar dari padang pada minit ke-66.
Menurut laporan The Sun, Messi terjatuh secara tidak sengaja dan terbaring semasa mengejar bola pada separuh masa pertama tetapi kembali ke padang selepas menerima rawatan perubatan.
Namun di pertengahan babak kedua, Messi tidak dapat meneruskan permainan dan kelihatan sangat kecewa apabila digantikan dengan Nicolas Gonzalez.
Sebaik sahaja tiba di bangku pemain simpanan, Messi mula menangis tanpa henti kerana menyedari dia tidak lagi dapat membantu rakan sepasukannya.
Ini juga dijangka menjadi perlawanan terakhir Messi di kejohanan besar untuk Argentina.
Dalam pada itu, media sempat merakam keadaan buku lali kanan Messi yang bengkak selepas ikon Barcelona itu menanggalkan stokingnya.
Walau bagaimanapun, kesakitan itu sedikit reda apabila penyerang Inter Milan, Martinez, menjaringkan gol kemenangan lapan minit sebelum tamat masa tambahan.
Messi kemudiannya naik untuk mengangkat trofi bersama rakan sepasukannya setelah pasukan mereka menang 1-0 ke atas Colombia di Florida.
Ini adalah kemenangan kejohanan besar ketiga berturut-turut bagi negara itu selepas Copa Amerika 2021 dan Piala Dunia 2022.
Awal minggu ini, Messi mengesahkan bahawa ini adalah Copa Amerika terakhirnya, setelah mengangkat Piala Dunia menerusi penampilan kelima dan terakhirnya.
Messi berkata, “Bagi saya, ini adalah Copa terakhir. Kami bermain Piala Dunia terakhir.”
“(Di Maria, Otamendi) dan saya bermain perlawanan terakhir dan kami menikmatinya sepenuhnya.”
Tangisan Messi datang hanya beberapa minggu selepas pesaing lamanya, Cristiano Ronaldo, juga menangis pada kejohanan besar terakhirnya dengan Portugal.
Bekas bintang Real Madrid berusia 39 tahun itu menangis selepas terlepas sepakan penalti dalam kemenangan pasukannya di peringkat 16 terakhir ke atas Slovenia.
Portugal disingkirkan oleh Perancis pada suku akhir.