Seorang pekebun mengalami kecederaan akibat ditetak apabila sekumpulan 12 perompak memecah masuk sebuah kebun durian di Raub, Pahang dan mencuri Musang King bernilai RM3,000.
Menurut laporan Sin Chew Daily, kejadian berlaku pada Isnin, 15 Julai dan seorang lelaki dipercayai pekebun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lengan.

Menurut adik lelaki berkenaan, abangnya ternampak sekumpulan perompak kira-kira 12 individu sebaik saja tiba di kebun berkenaan, sebelum salah seorang daripada mereka menetak kepalanya dengan parang sebanyak empat kali.

Difahamkan, mangsa memberitahu pekebun lain di kawasan itu mengenai insiden rompak berkenaan dan menasihatkan mereka supaya berjaga-jaga melalui kumpulan WhatsApp pada malam Isnin.
Seorang lagi pekebun di situ memberitahu dia nampak kumpulan perompak itu melarikan diri dari tempat kejadian selepas menyerang mangsa.

Mangsa kemudian telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk mendapatkan rawatan kecemasan dan telah membuat laporan polis.

Sementara itu, Pengerusi Save Musang King Alliance (SAMKA) iaitu Wilson Chang menggesa pihak polis mengambil tindakan segera bagi menangani insiden sama daripada berlaku sekali lagi.