Pandangan terperinci tentang bagaimana insiden berlaku apabila seorang penembak lelaki cuba membunuh bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada perhimpunan di Pennsylvania.
Bekas Presiden Donald Trump tergesa-gesa dibawa turun dari pentas dengan muka berlumuran darah selepas peluru menembusi telinganya semasa perhimpunan kempen pilihan raya di Butler, Pennsylvania, pada Sabtu, 13 Julai. Pihak berkuasa kini menyiasat apa yang mereka sifatkan sebagai percubaan membunuh.
Serangan bersenjata itu menandakan tembakan pertama presiden atau calon presiden Amerika Syarikat sejak Presiden Ronald Reagan terselamat daripada cubaan pembunuhan pada 1981.
Berikut adalah garis masa tentang apa yang berlaku semasa insiden tembakan yang membawa kepada kematian seorang peserta perhimpunan, dengan dua yang lain mengalami kecederaan parah.
6:02 petang —Trump naik ke pentas
Bekas Presiden Trump naik ke pentas sambil menyanyikan lagu “God Bless the USA”, sambil melambai kepada hadirin di bawah sinaran terik matahari.
6:09 petang : Beberapa pengunjung terlihat kelibat seorang lelaki bersenjata di atas bumbung
Kira-kira dua minit sebelum tembakan pertama berbunyi, pengunjung di luar perhimpunan itu merakam video yang memaparkan penembak ke arah sasaran penguatkuasa undang-undang.
“Lihat, mereka semua sedang menghalakan sasaran,” kata salah seorang.
“Ya, seseorang sedang berada di atas bumbung,” kata seorang lagi.
Video itu di zoom ke arah penembak: “Ya, dia ada di sana, kamu nampak itu dia? Dia meniarap; kamu nampak dia tak?”
“Encik polis!” terdengar jeritan memanggil penguatkuasa yang bertugas.
“Dia di atas bumbung!” laung seorang wanita, kedengaran dengan desakan. “Di sini, di atas bumbung!”
6:11:18 petang —Trump berucap
Pada saat-saat akhir sebelum tembakan, Presiden Trump berucap mengenai topik pendatang haram, merujuk statistik yang dipaparkan pada dua jumbotron yang menunjukkan ia lebih rendah semasa tempohnya memegang jawatan.
Detik sebelum tembakan: Pegawai polis menghampiri di atas bumbung
Sejurus sebelum tembakan, seorang pegawai polis dan pegawai Butler Township cuba mendekati penembak dengan memanjat ke atas bumbung tempat dia memposisikan dirinya.
Semasa pegawai polis menyambar selusur untuk naik ke atas bumbung, penembak berpaling dan mengacukan senjatanya ke arah pegawai itu.
Pada ketika ini, pegawai itu terpaksa berundur, dan melaporkan ancaman melalui radio. Penembak kemudian melepaskan tembakan ke arah perhimpunan.
6:11:32 petang —Tembakan dilepaskan
Bekas Presiden Trump terus berucap mengenai pendatang haram, dan mula berkata, “Jika anda mahu melihat sesuatu yang amat menyedihkan, lihat apa yang telah berlaku …”
Pada ketika ini, tembakan pertama boleh didengari di hadapan kamera. Enam lagi das tembakan juga berbunyi berturut-turut selepas itu.
Hanya beberapa milisaat sebelum ini, bekas presiden telah menyendengkan kepalanya sedikit ke kanan.
6:11:33 petang —Trump memegang telinga
Sejurus selepas tembakan berbunyi, bekas Presiden Trump berhenti berucap dan pantas memegang telinga kanannya.
Mengalih tangannya, Trump kemudian dengan pantas tunduk ke lantai di belakang podium. Orang ramai di belakangnya bertindak balas dengan pantas, juga tunduk membongkok di belakang pentas.
Pada masa yang sama, rakaman video kelihatan menunjukkan penembak tepat Perkhidmatan Rahsia berada di atas bumbung di belakang pentas mengacukan sasaran ke arah penembak. Sejurus sebelum menembak, penembak tepat Perkhidmatan Rahsia boleh dilihat membidik menghala ke sasaran tembakan.
Jeritan mula kedengaran daripada para hadirin.
Beberapa saat kemudian, seorang ejen Perkhidmatan Rahsia boleh didengari menjerit, “Tunduk!, Tunduk!”
6:11:36 petang —Perkhidmatan Rahsia naik ke atas pentas
Pengiring peribadi ejen Perkhidmatan Rahsia bekas Presiden Trump segera menuju ke atas pentas sebaik sahaja ia menjadi jelas berlaku sesuatu yang tidak kena.
Pada ketika ini, sekurang-kurangnya tujuh ejen Perkhidmatan Rahsia mengerumuni bekas presiden, menunduk di atasnya bagi melindungi tubuhnya daripada terkena tembakan lanjut.
“Apa yang patut kita lakukan, apa yang patut kita lakukan?” kedengaran seorang ejen wanita berkata. “Ke mana kita patut pergi?”
6:12:32 petang —Trump bangkit
Hampir seminit penuh, bekas Presiden Trump kekal meniarap di atas pentas, tubuhnya dilindungi oleh ejen Perkhidmatan Rahsia.
Dua kakitangan Perkhidmatan Rahsia yang membawa rifel tentera separa automatik naik ke pentas, mengimbas hadirin ketika ejen Perkhidmatan Rahsia cuba menentukan langkah seterusnya.
Beberapa ejen boleh didengari menjerit, “Penembak maut..”
“Penembak maut, adakah kita boleh bergerak?” seorang ejen wanita bertanya.
“Penembak maut,” balas seorang ejen lelaki. “Kita boleh bergerak.”
Pada ketika ini, bekas Presiden Trump mula perlahan-lahan berdiri, masih sebahagian besarnya dilindungi oleh ejen. Baju dan rambutnya kusut masai, dan kelihatan darah mengalir di sebelah kanan wajahnya.
Semasa Trump berdiri, ejen terus melindungi tubuhnya daripada pandangan.
6:12:47 petang — Genggam penumbuk ke arah hadirin
Semasa bekas Presiden Trump berdiri, beliau kedengaran memberitahu ejen, “Biar saya dapatkan kasut saya.”
Bekas presiden pada ketika ini mengangkat penumbuknya kepada para hadirin.
6:12:55 petang —Trump diiring keluar
Dengan sebahagian besar badannya masih dilindungi oleh ejen, bekas Presiden Trump dikawal dengan berhati-hati keluar dari pentas, terus menggenggam penumbuknya ke arah awam.
Bekas presiden dibawa oleh ejen ke arah sebuah kenderaan berperisai.
6:14 petang —Rombongan Trump meninggalkan perhimpunan
Rombongan bekas presiden meninggalkan lokasi perhimpunan kempen di Butler Farm Show Inc. di Butler.
6:42 petang —Perkhidmatan Rahsia mengesahkan ‘Insiden’ di Perhimpunan Trump
Jurucakap Perkhidmatan Rahsia Anthony Guglielmi menulis di X , “satu insiden” telah berlaku di perhimpunan itu dan bekas Presiden Trump “selamat.”
6:51 petang —Trump dikatakan berada di fasiliti kesihatan tempatan
Jurucakap kempen Trump memberitahu bekas presiden itu “berkeadaan baik dan sedang diperiksa di fasiliti kesihatan tempatan.”
7:49 malam —Perkhidmatan Rahsia mengesahkan penembak berjaya ditembak mati
Jurucakap Perkhidmatan Rahsia Anthony Guglielmi mengeluarkan kenyataan mengatakan suspek penembak telah melepaskan beberapa das tembakan dari kedudukan tinggi di luar tapak perhimpunan. Ejen Perkhidmatan Rahsia telah “meneutralkan penembak,” yang kini telah meninggal dunia. Kenyataan itu juga menyatakan seorang peserta perhimpunan telah terbunuh dan dua yang lain cedera parah.
8:13 malam —Presiden Biden mengecam insiden tembakan
Presiden Joe Biden dalam kenyataannya di Rehoboth Beach, Delaware, berkata beliau telah “diberi taklimat secara terperinci oleh semua agensi dalam kerajaan persekutuan” mengenai insiden tembakan itu.
“Tiada tempat di Amerika untuk keganasan seperti ini. Ia sesuatu yang tidak sihat, ini tidak sihat,” kata Presiden Biden dari bilik taklimat kecemasan.
8:42 malam —Trump mengesahkan mengalami luka di telinga
Bekas Presiden Trump mengesahkan peluru menembusi telinga kanannya, dalam satu kenyataan di platform media sosialnya Truth Social.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Perkhidmatan Rahsia, dan semua penguatkuasa undang-undang “atas tindak balas pantas mereka menangani tembakan” dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang maut ditembak dan seorang lagi yang dilaporkan cedera parah.
9:40 malam —Trump akan menghadiri Konvensyen Kebangsaan Republikan
Jurucakap Kempen Trump dan Konvensyen Kebangsaan Republikan mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa bekas presiden itu “dalam keadaan baik” dan akan hadir di Konvensyen Kebangsaan Republikan, yang bermula pada Isnin, 15 Julai di Milwaukee.
10:30 malam —Biden menghubungi Trump
Rumah Putih mengesahkan Presiden Joe Biden telah berbual dan bertanya khabar ketika menghubungi bekas Presiden Donald Trump.
11:45 malam —FBI menyiasat insiden tembakan sebagai percubaan membunuh
Kevin Rojek, ejen khas yang bertanggungjawab di Pejabat FBI Pittsburgh, mengadakan sidang akhbar yang menyatakan bahawa insiden tembakan itu sebagai percubaan membunuh. Beliau juga menyatakan penyiasat sedang berusaha untuk mengenal pasti motif cubaan pembunuhan berkenaan.
FBI mengesahkan dua lelaki dewasa berada dalam keadaan kritikal, manakala yang ketiga telah meninggal dunia.
12:37 pagi 14 Julai — Trump berada di New Jersey
Jet peribadi Presiden Trump mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty, New Jersey. Video yang dikongsi oleh timbalan pengarah komunikasinya, Margo Martin, menunjukkan bekas presiden itu berjalan tanpa bantuan menuruni tangga pesawatnya.
“Kuat dan tabah. Beliau tidak akan berhenti berjuang untuk Amerika,” tulis Martin di X.
1:35 pagi —FBI mengenal pasti lelaki bersenjata
FBI mengenal pasti Thomas Matthew Crooks, 20 tahun, dari Bethel Park, Pennsylvania, sebagai subjek ditembak mati yang terlibat dalam cubaan membunuh bekas Presiden Trump.