26.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 23, 2025
Utama Blog Laman 19

Selain guna aplikasi keselamatan elak jadi mangsa culik, ibu bapa main peranan didik anak dan sentiasa peka

0

Sejak kebelakangan ini, banyak kes jenayah dilaporkan melibatkan orang awam, terdiri daripada kanak-kanak, remaja dan wanita menjadi mangsa penculikan di dalam negara.

Oleh itu, ahli keluarga dan semua ahli dalam masyarakat perlu memainkan peranan menjaga satu sama lain demi memastikan kita rakyat Malaysia sentiasa berada dalam keadaan selamat di mana sahaja kita berada.

Seorang wanita baru-baru ini berkongsi pengalaman anak perempuannya berhadapan situasi bahaya ketika keluar seorang diri.

TikTok

Menerusi video panjang itu, insiden terbabit dipercayai berlaku di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah yang terletak di Selangor.

Difahamkan, anaknya menyedari dirinya diekori seorang lelaki yang tidak dikenali ketika dia menghampiri keretanya.

“Anak saya perasan, dia mula jalan laju-laju pergi kereta dan lelaki tu pun ikut jalan laju dari belakang. Masa dia masuk kereta, orang yang tak dikenali tu berdiri berhampiran keretanya. Saya rasa dia dah sedia nak serang anak saya tapi anak saya sempat kunci kereta,” katanya.

Selepas berlakunya kejadian itu, wanita ini meluahkan rasa bimbang dengan kejadian yang menimpa anaknya dan meminta anak kesayangannya itu supaya sentiasa berjaga-jaga.

Dalam pada itu, wanita tersebut juga menyarankan orang ramai untuk memuat turun aplikasi Life360 di telefon pintar masing-masing supaya mudah untuk mengetahui di mana lokasi ahli keluarga berada.

“Sekarang ni semua tak selamat dah. Dekat Malaysia ni macam-macam hal, macam-macam kes kita dengar orang hilang, kena bunuh,” kata @itsnurrrrr di TikTok.

“Jadi ibu bapa muat turun lah aplikasi ini. Anda boleh tahu ahli keluarga dekat mana di masa nyata. Kalau buka aplikasi tu, dah tahu anak dekat mana. Semua orang muat turun aplikasi ini. Ini adalah untuk keselamatan kita semua,” sarannya.

Selain mengguna aplikasi ini, tahukah anda terdapat cara mudah untuk mencegah penculikan kanak-kanak?

Sebenarnya, mengelak kes penculikan kanak-kanak adalah lebih mudah daripada apa yang anda fikirkan. Melalui beberapa panduan yang ringkas, anda boleh menyelamatkan nyawa anak dan menghalang mereka daripada menjadi mangsa penculikan.

Gambar Hiasan / Pexels

Menurut The Asian Parent, anda hanya perlu mengajar anak-anak dengan 8 perkara berikut:

1. Tidak salah jika anak-anak menjerit atau berteriak “Tidak!” ketika mereka berada dalam bahaya. Kanak-kanak perlu melakukan apa sahaja untuk menarik orang sekeliling ke arah mereka, dan meminta bantuan.

2. Berkumpul di kawasan tertentu jika mereka tersesat, terutama apabila anda pergi ke tempat baharu. Kemudian, beritahu anak untuk berada di satu tempat sehingga anda datang untuk menjemputnya. Jadikan ia lebih mudah bagi mereka untuk mengingatinya dengan menunjukkan sebarang mercu tanda tertentu yang terdekat.

3. Mengingati maklumat penting seperti nombor telefon anda, nombor kenalan atau rakan anda dan alamat anda.

4. Tidak bercakap dengan orang yang tidak dikenali. Kanak-kanak tidak boleh cuba mesra dengan orang yang mereka tidak tahu dan tidak mengenali sebarang maklumat mengenai orang itu.

5. Beritahu anak anda maklumat pegawai polis tempatan dan ahli keluarga terdekat lain yang boleh dipercayai. Pihak berkenaan boleh membantu anak-anak anda sekiranya berlaku kecemasan atau tersesat.

6. Tidak memasuki sembarangan kenderaan atau menemani seseorang yang tidak dikenali walaupun orang asing itu meminta bantuan, seperti “kehilangan haiwan peliharaan” yang kononnya berada di dalam kenderaan orang yang tidak dikenali itu. Ajar mereka untuk tidak melayan orang tidak dikenali.

7. Menjadi terbuka kepada anda jika seseorang yang anak-anak tidak kenal telah mendekati mereka, walaupun anak anda diancam untuk tidak bercerita. Jelaskan kepada anak anda bahawa mereka tidak akan mendapat masalah dan anda sentiasa bersedia untuk melindungi mereka dalam apa juga cara.

8. Tidak mendedahkan lokasi mereka dalam tetapan telefon pintar melalui pelbagai aplikasi atau orang lain, dan tidak mendedahkan nombor mudah alih mereka dalam talian.

Ibu bapa perlu memainkan penting untuk sentiasa berjaga-jaga.

Walaupun anak-anak berada di tempat yang anda rasa selamat, dengan orang sekeliling yang difikirkan tidak akan membawa masalah, jangan mengambil mudah hal ini, malah jangan letakkan 100 peratus kepercayaan yang anak anda boleh menjaga diri sendiri terutama apabila anak anda masih di bawah umur.

Panduan buat ibu bapa bagi mengelak terjadinya penculikan kanak-kanak:

Gambar Hiasan / Pixabay

1. Sentiasa mengawasi anak-anak anda. Jangan biarkan mereka hilang dari pandangan terutama ketika berada di tempat awam, walaupun untuk seketika.

2. Apabila di luar, pastikan anak memakai pakaian yang mempunyai warna terang dan jelas. Dengan cara itu, anda boleh dengan mudah menemui mereka sekiranya mereka tersesat di dalam sesuatu majlis.

3. Berhati-hati ketika memuat naik gambar kanak-kanak di platform media sosial. Anda tidak perlu menyertakan maklumat peribadi atau lokasi semasa anda.

4. Kanak-kanak cenderung untuk berkeliaran di merata tempat. Cuba tetapkan peraturan supaya kanak-kanak mesti selalu memegang tangan anda kecuali anda memberitahu mereka tidak. Laksanakan peraturan ini di kawasan awam dengan orang ramai seperti lapangan terbang atau taman hiburan.

5. Sentiasa ambil tahu lokasi anak anda, dan orang yang mereka kenal.

6. Menjadi peka kepada tingkah laku yang ganjil atau tidak biasa dan tanyakan kepada mereka jika terasa sesuatu sedang berlaku.

7. Sentiasa menjaga anak-anak di sisi anda khususnya di kawasan awam atau di dalam kenderaan.

8. Jangan meminta bantuan orang asing untuk membawa bayi atau anak kecil anda, walaupun seketika.

9. Jangan letakkan label pada kotak makan tengah hari atau pakaian anak anda.

10. Tidak memberi kebenaran kepada anak-anak untuk mengembara bersendirian.

11. Berhati-hati dengan sebarang bentuk ugutan.

12. Pastikan gambar anak anda dikemas kini.

13. Kekalkan rekod pergigian dan perubatan untuk tujuan pengenalan diri.

14. Bantu memupuk pemikiran kritikal dan refleks intuitif pada kanak-kanak yang lebih tua, supaya mereka dapat menjangkakan bahaya seperti kereta yang bergerak lambat, yang mungkin diletakkan berhampiran taman permainan.

Diharap info perkongsian @itsnurrrrr di Tiktok dan The Asian Parent ini dapat memberi manfaat.

Scarlett Johansson tolak tawaran suara AI

0

Pelakon Scarlett Johansson tolak tawaran untuk menjadi suara chatbot OpenAI selepas dia didekati oleh CEO syarikat itu tahun lepas.

Sebelum ini, pelakon berusia 39 tahun itu pernah menggunakan suaranya pada watak pembantu maya kecerdasan buatan (AI) dalam fiilem “Her” pada 2013.

Walau bagaimanapun, Scarlett menolak tawaran untuk menggunakan suaranya bagi kegunaan sistem ChatGPT 4.0 dengan alasan “tidak sesuai untuknya”.

“Saya rasa saya tidak mahu berada di barisan hadapan dalam hal itu. Saya rasa ia bertentangan dengan nilai teras saya,” Kata Scarlett kepada New York Times.

Menurut ibu kepada dua orang cahaya mata itu, reaksi anak-anak memainkan peranan besar dalam keputusannya mengenai tawaran tersebut.

“Saya juga rasa bagi anak-anak saya ia akan menjadi pelik. Saya cuba mengambil kira perasaan mereka,” Kata Scarlett dalam satu temu bual.

Scarlett berkata kebanyakan tawaran pekerjaan dari CEO OpenAI Sam Altman itu dirahsiakannya dan hanya memberitahu suaminya tentang perkara itu.

Dalam pada itu, Scarlett menyatakan kebimbangannya mengenai kesan masa depan teknologi AI yang digambarkannya sebagai “kabur”.

Menerusi temu bual itu juga, Scarlett menekankan potensi bahaya deepfakes (palsu tulen – satu teknik untuk merubah rupa paras seseorang pada gambar ataupun video menggunakan gambar asli melalui kaedah tindan wajah) dan bahaya yang berkaitan dengan teknologi ini.

“Ia seperti lubang cacing gelap di mana anda tidak dapat keluar daripadanya. Setelah anda cuba menghapuskan sesuatu di satu kawasan, ia muncul di tempat lain.”

“Terdapat negara lain yang mempunyai undang-undang dan peraturan yang berbeza,” Kata pelakon tersebut.

Kontroversi ChatGPT

Pada bulan Mei, OpenAI melancarkan ChatGPT syarikat yang menampilkan suara yang dipanggil “Sky”.

Walau bagaimanapun, suara Sky hampir sama dengan suara Scarlett Johansson seperti yang diperkatakan oleh banyak pemerhati.

Tambahan pula, ia juga diikuti oleh satu ciapan “Her” daripada Altman sendiri di platform media sosial X pada hari yang sama.

Susulan itu, Scarlett mengeluarkan kenyataan sebagai tindak balas, mengkritik perbuatan Altman yang dianggap sebagai plagiarisme.

“Altman malah menyatakan bahawa persamaan itu disengajakan, dengan ciapan satu perkataan “Her”, yang merujuk kepada filem di mana saya menggunakan suara saya untuk sistem chat, Samantha, yang membentuk hubungan intim dengan seorang manusia,” Kata Scarlett.

Setelah menerima banyak mesej daripada orang ramai, Scarlett semakin marah kerana secara tidak langsung dia terlibat dengan senario yang cuba dielakkan.

Kenyataan Scarlett juga merujuk kepada dua surat yang dihantar oleh wakil undang-undang pelakon itu, meminta OpenAI menjelaskan bagaimana syarikat itu menjana suara pembantu peribadi berkenaan.

NTD telah menghubungi OpenAI bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara tersebut tetapi tidak menerima balasan sebelum penerbitan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada FOX Business, Altman menyatakan bahawa suara yang digunakan untuk pembantu peribadi itu bukan suara Scarlett.

Altman juga memohon maaf kerana tidak memberikan penjelasan yang mencukupii mengenai perkara tersebut.

NTD telah meminta pengesahan kenyataan menerusi e-mel yang dihantar kepada OpenAI.

“Suara SKY bukan Scarlett Johansson, dan tiada niat untuk membuat suara itu menyerupai suaranya.”

“Kami memilih pelakon suara di sebalik suara Sky sebelum sebarang penglibatan dengan Puan Johansson.”

“Atas rasa hormat kepada Puan Johansson, kami telah menghentikan penggunaan suara Sky dalam produk kami.”

“Kami minta maaf kepada Puan Johansson kerana tidak berkomunikasi dengan lebih baik,” Kata Altman menurut Fox News.

Penggubal undang-undang terdiri 15 negara seru China tamatkan penganiayaan terhadap Falun Gong

0

20 Julai menandakan ulang tahun ke-25 permulaan penganiayaan rejim China terhadap kumpulan keagamaan.

Lebih 130 ahli parlimen dari 15 negara menyeru rejim komunis China untuk menamatkan penganiayaan terhadap Falun Gong, menurut sebuah organisasi bukan berasas keuntungan yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Dalam satu kenyataan bersama, ahli parlimen yang berkenaan berkata mereka “mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan hak asasi manusia selama 25 tahun terhadap pengamal Falun Gong di China.” Mereka menggesa rejim China untuk “segera menghentikan” penganiayaan berusia 25 tahun ini dan “membebaskan tanpa syarat semua pengamal Falun Gong yang ditahan termasuk tahanan agama dan kerohanian lain.”

Pengamal Falun Gong ketika perarakan menyeru tamatkan penganiayaan berterusan selama 25 tahun PKC terhadap pengamal Falun Gong di China, di National Mall, Washington pada 11 Julai 2024. (Gambar oleh Larry Dye/ The Epoch Times)

Kenyataan itu anjuran Friends of Falun Gong, yang ditubuhkan di Amerika Syarikat pada tahun 2000. Alan Adler, pengarah eksekutif badan bukan keuntungan, berkata dalam satu kenyataan bahawa kumpulan itu “menaja kempen ini bagi membantu menguatkan suara mereka yang ingin melihat penganiayaan yang tidak adil ini ditamatkan.”

“Dengan tandatangan ini, kami ingin menunjukkan bahawa walaupun Parti Komunis China mungkin cuba melakukan jenayahnya di dalam gelap, kebenaran telah pun terbongkar,” kata Adler. “Ahli yang terutama dalam masyarakat antarabangsa bergabung dan mengutuk jenayah terhadap kemanusiaan ini, serta kami bersama-sama akan memulihkan kebebasan dan mendapatkan keadilan buat sekumpulan penganut kerohanian yang dicederakan secara salah.”

Falun Gong, juga dikenali sebagai Falun Dafa, adalah amalan kerohanian yang terdiri daripada ajaran moral berdasarkan prinsip Sejati, Baik, Sabar dan latihan senaman meditasi yang lembut. Ia diperkenalkan kepada khalayak umum di China pada tahun 1992 dan menjadi sangat popular, dengan dianggarkan terdapat 70 juta hingga 100 juta orang pengikut yang telah menerima amalan itu menjelang akhir dekad, menurut anggaran rasmi pada masa itu.

Parti Komunis China (PKC) melihat populariti Falun Gong sebagai ancaman kepada pemerintahan autoritariannya dan melancarkan kempen untuk menghapuskan amalan itu pada 20 Julai 1999. Sejak itu, berjuta-juta orang telah ditahan di dalam penjara, kem buruh, dan kemudahan lain, dengan ratusan ribu diseksa semasa dipenjarakan dan jumlah yang tidak terhitung telah terbunuh, menurut Pusat Maklumat Falun Dafa.

Ramai pengamal Falun Gong telah terkorban akibat amalan pengambilan organ secara paksa yang diluluskan oleh kerajaan negara China. Pada tahun 2019, Tribunal China, sebuah tribunal rakyat bebas di London, menyimpulkan bahawa rejim telah secara paksa menuai organ daripada tahanan kerohanian selama bertahun-tahun “pada skala yang signifikan,” dengan pengamal Falun Gong menjadi sumber utama organ.

Kenyataan bersama itu memetik resolusi yang diluluskan oleh Parlimen Eropah pada Januari. Resolusi berkenaan menggesa penyiasatan antarabangsa terhadap kempen penindasan PKC terhadap kumpulan kepercayaan itu.

Rayuan antarabangsa

Bagi menandakan ulang tahun ke-25 penganiayaan PKC terhadap amalan tersebut, pengamal Falun Gong telah mengadakan perhimpunan dan perarakan di bandar-bandar di seluruh dunia pada bulan Julai ini, termasuk di Toronto dan Vancouver, Kanada; Taipei, Taiwan; Sydney dan Melbourne, Australia; Osaka, Jepun; Seoul, Korea Selatan; London, United Kingdom; serta San Francisco; Los Angeles; New York; dan Washington, Amerika Syarikat.

Ketika perhimpunan di Sydney pada 18 Julai, Senator Persekutuan New South Wales David Shoebridge berkata sudah tiba masanya untuk memikirkan sama ada kerajaan Australia telah melakukan dengan cukup dalam mengukuhkan undang-undangnya “demi memastikan tiada sesiapa yang datang dari China atau mana-mana rejim lain dan terlibat dalam pengambilan organ yang tidak beretika.”

Ahli Parlimen Parti Libertarian Australia, David Limbrick menggelar ulang tahun ke-25 sebagai “hari inspirasi” dalam satu kenyataan.

“Parti Libertarian percaya banyak lagi yang perlu dilakukan oleh kerajaan di mana-mana di dunia untuk mengiktiraf sejarah penindasan ini dan menjaga kebebasan serta kepercayaan [pengamal Falun Gong],” katanya.

Anggota Dewan Tertinggi Jepun Hiroshi Yamada menggelar penganiayaan PKC sebagai “biadab dan tidak berperikemanusiaan” dalam satu kenyataan. Beliau berkata Tokyo perlu “mengemukakan bantahan keras” terhadap Beijing di atas penganiayaan itu.

Ahli Majlis Bandaraya Taipei Taiwan Hung Chien-yi menyeru PKC segera menamatkan amalan pengambilan organ secara paksa semasa perhimpunan di Taipei pada 20 Jun, dengan menyatakan “hak asasi manusia adalah nilai sejagat.”

Ahli Parlimen Konservatif Kanada Michael Cooper berkongsi gambar dirinya menyertai perhimpunan Falun Gong di Edmonton di platform X.

Ahli Parlimen Konservatif Kanada Michael Cooper menyertai perhimpunan ulang tahun ke-25 penganiayaan Falun Gong di Edmonton, Kanada pada 21 Julai 2024. (Gambar @MichaelCooperMP/X)

“Di sebalik kekejaman PKC, [pengamal] Falun Gong telah menunjukkan daya tahan yang luar biasa. Kanada mesti bergabung dengan sekutu untuk mempertanggungjawabkan PKC di atas jenayah genosidnya,” tulisnya.

Ahli House of Lords UK, Baroness Cox berkata dalam satu kenyataan: “Tiada kerajaan sepatutnya membunuh mana-mana rakyat mereka semata-mata kerana kepercayaan mereka. Ini tidak boleh diterima dalam dunia hari ini.”

Engin Eroglu, seorang ahli Parlimen Eropah, berkata menerusi X bahawa ulang tahun ke-25 seharusnya menjadi peringatan kepada “semua warga di China yang telah dinafikan hak kebebasan beragama.”

Di Amerika Syarikat, penggubal undang-undang dwipartisan daripada Jawatankuasa Pilihan Dewan mengenai PKC menyuarakan sokongan kepada pengamal Falun Gong.

“Saya akan sentiasa mempertahankan kebebasan beragama dan hak asasi manusia menentang rejim yang menindas seperti PKC,” kata Rep. Michelle Steel (R-Calif.) dalam hantaran di X.

“Sebagai rakyat Amerika, komitmen kami terhadap kebebasan beragama dan hak asasi manusia di Republik Rakyat China (PRC) dan di seluruh dunia tidak berbelah bahagi,” Rep. Raja Krishnamoorthi (D-Ill.), ahli ranking jawatankuasa itu, dan Rep. Haley Stevens (D-Mich.) berkata dalam satu kenyataan bersama.

“Kita mesti terus mengecam dengan tegas perlakuan PKC terhadap pengamal Falun Gong sambil berdiri bersama komuniti mereka dan semua yang lain dalam menghadapi penganiayaan ke atas agama di Republik Rakyat China,” kata mereka.

Albertine Leo ditemukan selamat di hotel murah di Batang Kali

0

JOHOR BAHRU: Albertine Leo ditemukan selamat oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah di hotel murah di Batang Kali, Selangor awal pagi tadi.

BERNAMA

Menurut Ketua Polis negeri CP M Kumar, Albertine Leo Jia Hui yang diculik itu berjaya diselamatkan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor yang turut dibantu JSJN Bukit Aman pada pukul 4.45 pagi.

M Kumar berkata, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang ditemui bersama kanak-kanak itu.

“Mangsa selamat, tiada kecederaan fizikal setakat ini dan dihantar ke sebuah hospital untuk pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan,” Katanya pada sidang media.

Difahamkan kanak-kanak itu dilarikan dengan sebuah kereta. Namun motif penculikan masih disiasat.

Keluarga mangsa juga memaklumkan tidak menerima sebarang panggilan daripada mana-mana pihak meminta wang tebusan, katanya.

Dengan penahanan lelaki warga tempatan itu menjadikan keseluruhan lima individu berusia 28 hingga 55 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Walau bagaimanapun semua individu yang ditahan itu tidak mempunyai hubungan dengan Albertine Leo.

Dua lelaki dan dua wanita ditahan di sekitar Iskandar Puteri semalam dan direman selama empat hari bermula hari ini. Manakala lelaki yang ditahan di Batang Kali pula akan dibawa ke Johor untuk siasatan lanjut.

Kes penculikan Albertine Leo ini disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Joe Biden umum tarik diri pemilihan Presiden AS, beri sokongan untuk Kamala Harris

0

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menarik diri daripada perebutan jawatan presiden dan mengesahkan Naib Presidennya, Kamala Harris, sebagai calon Parti Demokrat.

Biden berkata, adalah menjadi satu penghormatan terbesar dalam hidupnya untuk berkhidmat sebagai Presiden Amerika Syarikat.

“Walaupun saya berhasrat untuk bertanding semula, namun demi kepentingan terbaik parti dan negara, saya percaya adalah lebih baik untuk berundur dan menumpukan perhatian kepada tugas sebagai Presiden untuk baki penggal saya,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di X.

Biden menawarkan sokongan penuh untuk Harris yang akan menggantikannya sebagai calon presiden dalam pilihan raya yang akan diadakan pada 5 November ini, menurut Agensi Anadolu (AA).

“Demokrat sudah tiba masanya untuk bersatu dan menewaskan Trump. Ayuh kita lakukan ini,” katanya.

Biden berkata, beliau akan berucap dengan lebih terperinci mengenai keputusannya kepada negara pada akhir minggu ini.

Pencalonan Joe Biden menjadi tumpuan berikutan prestasi buruknya menentang bekas Presiden, Donald Trump dalam debat presiden akhir bulan lalu.

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden. (Gambar AFP)

Pada Khamis lalu, Trump menerima pencalonan presiden Republikan pada Konvensyen Nasional Republikan (RNC) di Milwaukee, Wisconsin, ketika desakan supaya Biden menarik diri daripada perlumbaan itu semakin meningkat.

Sementara itu, Kamala Harris dalam satu kenyataan berkata, beliau berbesar hati mendapat sokongan Biden, sambil menambah niatnya adalah untuk mendapatkan dan memenangi pencalonan itu.

“Sepanjang tahun lalu, saya sudah mengembara ke seluruh negara, berucap dengan rakyat Amerika mengenai pilihan jelas dalam pilihan raya penting ini.

“Itulah yang akan saya lakukan dalam beberapa hari dan minggu akan datang.

“Saya akan melakukan segala-galanya untuk menyatukan Parti Demokrat dan negara untuk mengalahkan Donald Trump bersama agenda ekstrem Projek 2025 beliau,” katanya.

“Kita ada 107 hari lagi menjelang Hari Pilihan Raya. Bersama-sama, kita akan berjuang. Dan bersama-sama, kita akan menang,” kata Harris.

Joe Biden mengesahkan Kamala Harris sebagai calon Parti Demokrat dalam pemilihan Presiden AS. (Gambar AFP)

Menurut CNN, memetik sumber, rancangan untuk Biden menarik diri daripada perlumbaan pemilihan calon dalam pilihan raya Presiden sudah dilaksanakan pada malam Sabtu dan dimuktamadkan pada Ahad, 21 Julai.

Presiden Biden masih dalam proses pemulihan daripada jangkitan COVID-19 dan berehat di rumahnya di Rehoboth Beach, Delaware.

Harga durian kayangan Tupai King capai RM1K sebiji dijangka saingi populariti Musang King

0

Dengan musim durian ketika ini, peminat buah eksotik berlumba-lumba memburu raja buah itu, malahan ada yang bersedia membayar harga tinggi demi memenuhi keinginan selera mereka.  

Penggemar durian pernah mendengar Musang King, Black Thorn dan D24 tetapi sesetengahnya mungkin tidak pernah mendengar tentang Tupai King, dan tambah mengejutkan apabila mengetahui betapa mahalnya harga sebiji durian varian baharu ini.

Facebook

Menerusi paparan video Buza Biz di Facebook, penjual durian dari Pulau Pinang, Brian Ong berkata durian Tupai King biasanya mempunyai berat sekitar 3 kilogram, dan berharga antara RM600 dan RM1,000, bergantung kepada keadaan dan kesegaran buah itu.

Facebook

Tetapi, mengapa boleh mencapai tiga ke empat angka hanya untuk sebiji durian?

Ringkasnya, durian Tupai King agak jarang ditemui spesiesnya di Malaysia.

“Durian Tupai King tidak selalu berada dalam pasaran di Malaysia. Pengeluarannya juga tidak sebanyak durian lain,” jelas Brian.

Facebook

Juga dikenali sebagai D214, Brian berkongsi beberapa petua untuk semua penggemar durian tentang cara mengenal pasti Tupai King yang sebenar.

Supaya anda tidak akan tertipu oleh penjual durian lain yang menjual D24 kepada anda dengan harga Tupai King.

Facebook

“Isi durian ini kebanyakannya kuning dengan sedikit hijau, dan penuh dengan berlemak. Aromanya pekat seperti Musang King, tetapi yang ini sedikit pahit,” kata Brian.

Facebook

Di Pulau Pinang, Tupai King telah didaftarkan secara rasmi pada Februari 2024 sebagai satu lagi varian durian, dan ia dijangka “menyaingi” populariti Musang King.

Jika anda mampu dan sanggup membayar lebih untuk sebiji durian, bolehlah cuba mencari Tupai King ketika musim durian hari ini.

Kes Nur Farah Kartini: Unit Forensik jumpa kunci kereta

0

SLIM RIVER: Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan kunci kereta dipercayai ada kaitan dengan kes Nur Farah Kartini.

BERNAMA

Laporan yang dikongsi Bernama mendedahkan kunci itu ditemukan pada jarak 50 meter dari jambatan kecil di Sungai Trolak Kampung Batu 4 yang dipercayai menjadi lokasi suspek membuang barangan milik mangsa.

Bahan bukti tersebut ditemukan oleh seorang penyelam daripada unit berkenaan kira-kira pada pukul 11.20 pagi, 22 Julai.

Terdahulu, tiga buah kenderaan termasuk dua buah pacuan empat roda tiba di kampung itu bagi menyambung pencarian bahan bukti.

Kerja-kerja pencarian terpaksa ditangguh pada Jumaat lepas akibat arus deras dan keruh susulan hujan lebat di kawasan berkenaan.

Seramai lima orang penyelam unit forensik melakukan pencarian pada radius 300 meter dari jambatan tersebut.

Antara barangan milik Nur Farah Kartini yang dicari melibatkan kelengkapan solat, beg duit dan pengecas telefon bimbit.

Dompet milik mangsa kemudiannya ditemukan kira-kira lima meter dari lokasi kunci kereta ditemukan. Penyelam berkata “ada” ketika ditanya pemberita sama ada terdapat kad pengenalan Nur Farah Kartini dalam dompet berkenaan.

BERNAMA

Dalam laporan lain, polis telah selesai mengambil keterangan beberapa pekerja sebuah kebun ubi di Kampung Klan Halt bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nur Farah Kartini.

Menurut sumber, soal siasat polis mendapati suspek telah pergi ke kebun tersebut serta beberapa lokasi lain sebelum kejadian.

“Polis pergi ke kebun berkenaan bersama suspek semalam dan mengambil keterangan beberapa pekerja kebun warga tempatan dan asing bagi membantu siastan,” Katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Mohd Asri Mohd Yunus mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi Bernama.

Susulan itu, tempoh reman suspek yang merupakan seorang anggota polis yang bertugas di Perak dilanjutkan tujuh hari lagi bermula 23 Julai hingga 29 Julai.

Perintah sambung reman itu dikeluarkan oleh Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza selepas mendengar permohonan polis di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu.

Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Selangor kira-kira pukul 6 petang pada 15 Julai.

Jenazah Nur Farah Kartini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang pada Khamis lepas.

Kes budak hilang: Polis giat cari Albertine Leo

0

ISKANDAR PUTERI: Seorang budak perempuan Cina berusia enam tahun dilaporkan hilang di pusat perniagaan Eko Galleria di sini, semalam.

BERITA HARIAN

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, bapa kanak-kanak yang bernama Albertine Leo Jia Hui itu menyedari kehilangan anaknya pada pukul 8.30 malam.

Selain polis yang kini sedang berusaha mengesan kanak-kanak tersebut, hebahan mengenai kehilangan Albertine Leo juga sudah diedarkan.

“Polis Daerah Iskandar Puteri sedang berusaha mengesan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang hilang sejak semalam.”

“Lokasi terakhirnya ialah di Eko Galleria 3, Jalan Eko Botani 3/2, Taman Botani, di sini.”

“Kanak-kanak itu mempunyai ketinggian kira-kira 120 sentimeter, rambut panjang berwarna hitam, berkulit cerah dan bertubuh kurus sederhana,” Kata M Kumarasan dalam satu kenyataan.

M Kumarasan berkata, kanak-kanak terbabit memakai baju T berwarna putih dengan gambar “Mickey Mouse” pada bahagian dada dan berseluar pendek.

Dalam pada itu, M Kumarasan meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian berhubung kehilangan kanak-kanak berkenaan.

Hal ini kerana ada khabar angin yang mengatakan bahawa Albertine Leo sudah dilarikan dan kini berada di kawasan utara negara.

Di samping itu, M Kumarasan menggesa sesiapa yang menjumpai atau mempunyai maklumat mengenai keberadaan kanak-kanak itu untuk menghubungi pihak polis.

Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ridzuan Abd Hadi menerusi talian 0177051097 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri (0192792095) atau Bilik Gerakan (072212999).

Difahamkan bapa Albertine Leo adalah seorang peniaga yang menyertai festival Maqan x Bon Odori yang sedang berlangsung di lokasi pusat perniagaan itu sejak kelmarin.

8tvnews

Penyanyi Brazil meninggal dunia akibat renjatan elektrik

0

Penyanyi Brazil meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik selepas dia dipeluk peminat yang basah kuyup.

OUTLOOK

Ayres Sasaki, 35, ketika itu sedang membuat persembahan secara langsung di Hotel Solar di Salinopolis, Brazil pada 13 Julai lalu.

Kemalangan maut itu terjadi apabila seorang peminat yang basah kuyup memeluk penyanyi dan pemain gitar tersebut.

Tindakan tersebut telah menyebabkan Sasaki serta-merta terkena renjatan elektrik daripada kabel elektrik yang berhampiran.

Polis Sivil Brazil masih menyiasat keadaan sebenar yang menyebabkan peminat tersebut basah kuyup.

Sasaki, yang terkenal kerana bakat nyanyian dan permainan gitarnya khususnya di Belem, sebuah bandar di utara Brazil meninggalkan Mariana, isteri yang baru dikahwininya setahun lalu.

Sasaki juga terkenal sebagai “raja persembahan” kerana kebolehannya mengadakan persembahan selama 12 jam tanpa henti.

OUTLOOK

Adriano Freitas, seorang penyanyi dan rakan karib Sasaki memberikan penghormatan terakhir dengan berkata, “Kami berkawan dalam kehidupan seharian, melebihi muzik.”

Adrioano menyifatkan Sasaki seorang lelaki yang sangat berkarisma dan mempunyai bakat luar biasa. Baginya Sasaki adalah penyanyi dan pemain gitar terbaik di Belem.

Di samping itu, pelawak Natto Almeida juga mengingati Sasaki kerana kebaikannya dengan mengatakan, “Perkara yang pasti menonjol tentang Sasaki ialah hatinya yang baik, sangat sopan.”

“Saya rasa inilah tanda kekal yang dia tinggalkan.”

Hotel Solar melahirkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian Sasaki. Mereka berjanji akan memberikan kerjasama penuh dalam penyiasatan yang sedang dijalankan.

“Kami berdedikasi sepenuhnya untuk memberikan sokongan kepada keluarganya dan mengambil langkah-langkah yang perlu.”

“Kami mengesahkan komitmen kami untuk bekerjasama sepenuhnya dengan piihak berkuasa yang berkenaan untuk menjelaskan kejadian tersebut.”

Selain kerjaya muziknya, Sasaki juga merupakan seorang arkitek dan perancang bandar yang berjaya.

Keluarga Sasaki masih terkejut dengan berita pemergiannya yang secara tiba-tiba. Mereka sekeluarga memilih untuk tidak memberikan sebarang komen lanjut sehingga proses siasatan rasmi selesai.

Mangsa PKC mahukan masa depan yang lebih baik

0

Mangsa Parti Komunis China (PKC) Li Hongxiang tidak tahu bagaimana rasanya kehidupan keluarga normal namun dia mahukan masa depan yang lebih baik.

Li Hongxiang menyertai perhimpunan dan perarakan di Washington pada 11 Julai lalu yang menyeru PKC untuk menamatkan penganiayaan selama 25 tahun ini.

Ketika pihak berkuasa China memenjarakan ayahnya, Li baru sahaja berusia 36 hari. Kemudian, ketika ayahnya dibebaskan dia berusia 10 tahun.

Selepas menangkap ayah, datuk dan neneknya, polis memukul ibu Li yang masih dalam tempoh berpantang.

Ini kerana mereka mahu mengetahui siapa yang membantu memasang sepanduk yang tertulis “Falun Dafa is Good” di bandar asal mereka, Shenyang.

Selepas kejadian itu, ibu Li membungkus rapi bayinya dan melarikan diri dari rumah mereka. Selama hampir 10 tahun, mereka berpindah dari satu tempat ke tempat lain.

Sebaik sahaja melawat ayahnya di penjara pada tahun 2005, polis menjejaki ibu Li dan mengenakan hukuman penjara selama tiga tahun. Li berusia empat tahun ketika itu.

Mereka tidak melakukan sebarang jenayah. Namun yang menjadikan mereka sasaran ialah kerana kepercayaan mereka terhadap Falun Gong, satu disiplin meditasi yang mengajar nilai Sejati, Baik dan Sabar.

Keluarga Li seperti lebih kurang 70 juta hingga 100 juta rakyat yang lain mendapati diri mereka terperangkap dalam kempen pembersihan yang tidak kenal belas kasihan daripada segenap aspek kehidupan.

Ini termasuklah penangkapan sewenang-wenangnya, buruh paksa, penyeksaan kejam dan penuaian organ secara paksa. Akibatnya sejumlah besar penganut, tidak kira tua atau muda telah menderita dan akhirnya meninggal dunia.

Pada 11 Julai lalu di National Mall di Washington, Li dan ribuan yang lain berkumpul untuk berjaga bagi memperingati mangsa yang terkorban dan yang terselamat daripada kekejaman Parti Komunis China (PKC).

Kelihatan barisan demi barisan orang duduk dengan tenang, ditemani cahaya lilin yang berkelip menerangi wajah dan baju kuning terang mereka.

Parti Komunis China tidak mempunyai “rasa hormat terhadap nyawa manusia,” Kata Li kepada The Epoch Times.

Dilahirkan setahun selepas penindasan bermula, Li melihat keluarganya mengalami penderitaan dan kesengsaraan yang sangat teruk di bawah pemerintahan rejim itu.

Ketika Li berusia 10 tahun, ayahnya dibebaskan dalam keadaan kurus kering, dengan hanya tiga batang gigi, batuk kering dan kehilangan berat hampir 80 paun. Ayah Li meninggal dunia setahun kemudian.

Menurut Li, dia mengenali banyak keluarga lain yang mengalami penderitaan yang serupa.

“Saya telah mengalami terlalu banyak dan masih melihat terlalu banyak (penderitaan),” Kata Li kepada The Epoch Times.

Satu ikrar untuk tidak lupa

Menurut Li, dia hampir berasa lali dengan penderitaan setelah banyak kali melalui.

Mengimbas kembali kenangan pahit lalu, Li tidak pernah dapat menikmati hari cuti di China. Pada hari seperti itulah polis datang mengetuk pintu rumah, mendesak mereka untuk meninggalkan kepercayaan mereka.

Sejak melarikan diri ke Thailand ada usia 13 tahun dan kemudian menetap di Amerika, Li melihat keluarga yang bersama setiap hari kelihatan bahagia.

Li cuba memahami keadaan itu kerana dia tidak dibesarkan dalam suasana bahagia seperti itu. Rejim PKC telah menghancurkannya.

Pada hari acara berjaga tersebut, Li dilihat membawa kelengkapan ke lokasi perhimpunan. Setiap satu daripada acara tahunan di National Mall pasti akan Li hadiri.

“Saya sentiasa mengingatkan diri sendiri untuk tidak lupa,” Kata Li.

Sebahagian daripada ini adalah untuk mangsa yang telah terkorban termasuklah ayahnya.

“Orang yang telah dianiaya sehingga meninggal dunia perlu diingati,” Kata Li.

“Kerana mereka telah mengalami apa yang kebanyakan daripada kita mungkin tidak akan alami sepanjang hayat kita.”

“Kami tidak layak diperlakukan sebegini”

Zhang Huaqi antara mangsa PKC yang mengalami penderitaan sejak bayi lagi.

Zhang Huaqi yang hanya beberapa bulan lebih tua turut terpisah daripada ayahnya pada tahun kelahirannya. Kesalahan yang dinyatakan dalam dokumen hukuman setahun ayahnya adalah membuat sepanduk Falun Gong.

Sepanjang 16 tahun hidup hinggalah mereka melarikan diri ke Amerika Syarikat, Zhang tidak berani menyebut tentang kepercayaannya kepada orang lain.

Ibu bapanya dan datuk neneknya berisiko untuk dipenjarakan pada bila-bila masa malah lebih membimbangkan Zhang adalah jika dipulaukan di sekolah disebabkan kepercayaannya itu.

“Saya tahu kebenarannya, tetapi tidak berani untuk menegakkannya,” Kata Zhang kepada The Epoch Times.

Ketika berusia lapan tahun, gelombang penangkapan sebelum Sukan Olimpik Beijing 2008 telah menyebabkan ibu Zhang ditangkap PKC.

Semasa melawat ibunya di penjara, Zhang mendapati keadaan ibunya yang berwajah cengkung dan berambut pendek paras telinga.

Menurut Zhang, ibunya bekerja hampir 10 jam sehari membuat anak patung kain untuk dieksport ke Jepun.

Selain terpaksa menggunakan gam yang memedihkan mata, ibunya terpaksa menghadapi situasi di mana pengawal yang menjerit kepada pekerja yang lambat dan makan dalam masa yang singkat.

“Pengamal Falun Gong adalah orang yang baik. Kami tidak melakukan apa-apa yang tidak betul dan kami tidak layak diperlakukan sebegini,” Kata Zhang.

Mereka berharap dengan perhimpunan seperti ini dapat membina masa depan yang lebih baik.

Pengamal Falun Gong berhimpun di hadapan National Mall di Washington pada 11 Julai lalu sebagai tanda mengingati mangsa PKC yang masih hidup atau pun yang telah terkorban.

“Saya tidak boleh mengubah masa lalu. Apa yang boleh saya lakukan adalah membantu mana-mana yang saya mampu,” Kata Li.