TOKYO: Pelakon suara Nobita, dalam siri anime popular Jepun “Doraemon”, Noriko Ohara dilaporkan meninggal dunia pada usia 88 tahun, 12 Julai lalu.

Agensi Noriko Ohara, 81 Produce dalam satu kenyataan mengesahkan Ohara meninggal dunia selepas penyakit ganjil yang dihidapinya gagal dirawat.
Kenyataan tersebut walau bagaimanapun tidak mendedahkan di mana Ohara atau nama sebenarnya Noriko Tobe meninggal dunia termasuklah siapa ahli keluarganya.
Doraemon (1979 hingga 2005) merupakan siri animasi yang penting dalam kalangan rakyat Jepun.
Siri animasi itu menampilkan kisah kucing robot yang bernama Doraemon berkawan dengan Nobita, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang menghadapi kesukaran di sekolah.
Suara Ohara sangat dikenali bukan sahaja di Jepun malah di seluruh dunia.
Selain menyumbangkan suara bagi watak Nobita, Ohara turut membintangi anime popular lain seperti Yatterman (1977 hinga 1979), Future Boy Conan (1978) dan Heidi, Girl Of The Alps (1974) serta filem barat yang dialih suara ke dalam bahasa Jepun.
Ohara mula menjadi pelakon suara Nobita sejak 1979 hingga 2005. Rancangan itu disiarkan dari Isnin hingga Sabtu dan dia sering diminta untuk merakam tujuh atau lapan episod dalam satu masa.
“Bekerja dengan Doraemon seperti menjadi seorang atlet. Saya perlu membina stamina saya,” Kata Ohara.
Menurut agensi, Ohara dilahirkan pada 2 Oktober 1935. Dia dibesarkan dengan cerita-cerita yang dibacakan oleh ibu bapanya sejak kecil.
Ohara bercita-cita mahu menjadi seorang penulis seperti Jo March, watak dalam novel Little Women yang ditulis oleh penulis Amerika Louisa May Alcott.
Ketika di sekolah menengah, Ohara memutuskan untuk menjadi seorang pelakon seperti June Allyson yang memainkan watak Jo dalam adaptasi Amerika pada tahun 1949.
Apabila dewasa pula, Ohara menyuarakan watak tersebut filem tersebut dalam versi Jepun.
“Lima puluh tahun kemudian, saya menjadi pelakon suara dan memainkan peranan Jo,” Tulisnya. “Impian menjadi kenyataan!”
Menerusi satu wawancara pada tahun 2017, Ohara berkata dia memulakan kerjayanya di sebuah syarikat teater kanak-kanak, bekerja dalam petunjukan boneka dan drama.
Dia kemudiannya bekerja dalam bidang alih suara filem asing dan drama televisyen yang kebanyakannya dari Amerika Syarikat. Ketika itu, Jepun baru sahaja diperkenalkan kepada media alih suara.
“Saya melihat perkara yan tidak pernah saya lihat di Jepun, seperti pintu garaj yang terbuka dengan sekali sentuhan kawalan jauh, atau peti sejuk beku dan pembersih vakum besar,” Kata Ohara dalam wawancara itu.
“Saya menikmati budaya Amerika, yang dikatakan 50 tahun lebih maju dari Jepun.”
Ketika mengalih suara filem asing, Ohara kebanyakannya menyuarakan watak wanita yang matang dan elegan yang diwakili oleh pelakon seperti Jane Fonda, Shirley MacLaine dan Catherine Deneuve.
Namun dalam anime, Ohara sering memainkan watak budak lelaki. Dalam Doraemon pula, dia memainkan watak seorang budak sekolah yang malas tetapi riang.
Selain pelakon suara, Ohara turut menulis di laman webnya, membaca puisi di universiti, merakam cerita dongeng dan menawarkan kelas kepada pelajar pelakon suara.
Untuk makluman, media tidak mendapat sebarang maklumat mengenai warisnya buat masa ini.