PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada 23 Julai mendapati enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersalah membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu dan memerintahkan mereka dihukum gantung sampai mati.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menghidupkan semula tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Keenam-enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 November 2021 mendapati, semua tertuduh bersalah dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, dan mengenakan hukuman 18 tahun penjara.
Mereka pada asalnya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat, bagaimanapun mahkamah itu meminda tuduhan mengikut Seksyen 304.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Semua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan 5.45 pagi, pada 22 Mei 2017.
Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Menurut Hadhariah, di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 16 Mac 2023, hukuman yang boleh dikenakan bagi kesalahan bunuh ialah hukuman gantung sampai mati atau hukuman penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak lebih daripada 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan.
Beliau berkata, mahkamah mendapati faktor yang memberatkan hukuman (ke atas tertuduh) ialah, si mati seorang yang tidak bersalah dan perbuatan tertuduh cukup kejam di mana si mati diikat kaki dan tangan ketika mereka menekap seterika ke badannya.
Katanya, sebelum diseterika, si mati telah dipukul beramai-ramai.
“Walaupun tertuduh nampak dan melihat si mati menggelupur kesakitan, mereka menutup mata, tidak peduli dan terus menekap seterika ke atas hampir keseluruhan badan simati (kecuali di bahagian muka sahaja) sehingga mengakibatkan 90 kesan lecur.
“Walaupun tertuduh mendengar si mati menjerit berpuluh kali, mereka pekakkan telinga dan teruskan juga menekap seterika.
“Perbuatan tertuduh menekap seterika di seluruh bahagian badan si mati termasuk di kemaluan menunjukkan mereka berniat jahat, zalim, tidak berperikemanusiaan serta tanpa ada rasa belas kasihan sesama rakan pengajian,” katanya.
Hakim itu berkata, selepas diseksa dengan seterika panas, tertuduh menyembunyikan si mati untuk mengelakkan perbuatan jenayah mereka diketahui pihak atasan.
Beliau berkata, tertuduh juga tidak membawa si mati ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan walaupun dinasihatkan saksi pendakwaan ketujuh, iaitu Pegawai Perubatan Klinik As-Salam Bandar Baru Bangi, Dr Azfar Hussin, dan surat rujukan ke hospital juga telah diberikan.
Katanya, tertuduh juga menyalahkan si mati dalam kejadian itu sedangkan hakikat yang sebenarnya ialah semua masalah ini berpunca daripada perbuatan jahat mereka.
Sementara itu, panel tiga hakim berkenaan mengetepikan hukuman penjara tiga tahun ke atas 12 lagi bekas penuntut universiti sama kerana mencederakan Zulfarhan dan menggantikan hukuman itu dengan penjara empat tahun.
Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.
Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.
Semua mereka yang kini berusia 28 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 dan 22 Mei 2017.

Ini jenayah kejam paling jarang ditemui – Hakim
Mahkamah Rayuan menyifatkan pembunuhan Zulfarhan Osman tujuh tahun lalu, sebagai jenayah kekejaman yang paling jarang ditemui.
Tertuduh pertama hingga enam punca jenayah
Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mempengerusikan panel tiga hakim bersama-sama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, berkata kejadian itu berpunca daripada perbuatan tertuduh pertama hingga keenam.
Mereka ialah bekas penuntut UPNM, iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Hadhariah berkata, mahkamah bersetuju dengan pendakwaan bahawa cara jenayah bunuh itu dilakukan bukan sahaja mengejutkan hati nurani kehakiman tetapi juga hati nurani masyarakat.
Beliau yang membacakan alasan penghakiman bertulis 93 muka surat dalam tempoh lebih tiga jam, berkata perbuatan sebegitu paling jarang ditemui daripada kes yang pernah berlaku membabitkan jenayah kekejaman yang amat berbahaya kepada masyarakat dan ia harus dihentikan.
“Ibu bapa mana tidak merasa kecewa, marah, sedih dan menangisi pemergian anak kesayangan mereka apabila mayat simati dikembalikan ke pangkuan untuk dikebumikan dalam keadaan yang cukup memilukan dan menyayat hati. Benar kata pepatah “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”.
“Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hancurnya dan luluhnya hati dan perasaan mereka apabila melihat keadaan anak mereka diperlakukan sebegini rupa oleh keenam-enam tertuduh ini seolah-olah tubuh badan simati ini tidak sedikit pun mempunyai nilai di kaca mata mereka sehingga mereka tergamak menyeksa dan berbuat kezaliman seperti ini.
“Mahkamah tidak akan bertoleransi dalam kejadian sebegini. Ibu bapa mana yang sanggup menanggung derita melihat anak kesayangan mereka diseksa sebegini rupa sehingga membawa kepada kematian simati di dalam keadaan yang sungguh mengerikan,” katanya.

Katanya, mahkamah memutuskan rayuan pendakwaan terhadap hukuman 18 tahun penjara yang dikenakan Mahkamah Tinggi sebelum ini diketepikan dan digantikan dengan hukuman gantung sampai mati, manakala rayuan balas tertuduh terhadap hukuman ditolak.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 November 2021 mendapati semua tertuduh bersalah dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, dan mengenakan hukuman 18 tahun penjara.
Hadhariah berkata, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terkhilaf apabila meminda pertuduhan dihadapi kesemua tertuduh daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, mahkamah juga mendapati hakim bicara telah terkeliru apabila menyatakan tidak diketahui kecederaan yang mana satu pada badan si mati yang menyebabkan kematian.
“Hakim bicara juga terkhilaf apabila menyatakan mahkamah perlu mencari apakah kecederaan yang paling serius untuk menentukan sama ada keenam-enam tertuduh ada niat untuk menyebabkan kematian.
“Pihak pendakwaan hanya perlu membuktikan kesemua tertuduh mempunyai niat untuk menyebabkan kecederaan dan pendakwaan tidak perlu membuktikan kesemua tertuduh mempunyai niat untuk menyebabkan kecederaan yang secara lazimnya boleh menyebabkan kematian,” katanya.
Hakim Hadhariah berkata, oleh itu mahkamah sebulat suara memutuskan hanya satu hukuman sahaja yang wajar dijatuhkan terhadap tertuduh di mana mereka hendaklah dibawa ke suatu tempat penggantungan dan dikenakan hukuman gantung sampai mati.