WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menarik diri daripada perebutan jawatan presiden dan mengesahkan Naib Presidennya, Kamala Harris, sebagai calon Parti Demokrat.
Biden berkata, adalah menjadi satu penghormatan terbesar dalam hidupnya untuk berkhidmat sebagai Presiden Amerika Syarikat.
“Walaupun saya berhasrat untuk bertanding semula, namun demi kepentingan terbaik parti dan negara, saya percaya adalah lebih baik untuk berundur dan menumpukan perhatian kepada tugas sebagai Presiden untuk baki penggal saya,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di X.
Biden menawarkan sokongan penuh untuk Harris yang akan menggantikannya sebagai calon presiden dalam pilihan raya yang akan diadakan pada 5 November ini, menurut Agensi Anadolu (AA).
“Demokrat sudah tiba masanya untuk bersatu dan menewaskan Trump. Ayuh kita lakukan ini,” katanya.
Biden berkata, beliau akan berucap dengan lebih terperinci mengenai keputusannya kepada negara pada akhir minggu ini.
Pencalonan Joe Biden menjadi tumpuan berikutan prestasi buruknya menentang bekas Presiden, Donald Trump dalam debat presiden akhir bulan lalu.

Pada Khamis lalu, Trump menerima pencalonan presiden Republikan pada Konvensyen Nasional Republikan (RNC) di Milwaukee, Wisconsin, ketika desakan supaya Biden menarik diri daripada perlumbaan itu semakin meningkat.
Sementara itu, Kamala Harris dalam satu kenyataan berkata, beliau berbesar hati mendapat sokongan Biden, sambil menambah niatnya adalah untuk mendapatkan dan memenangi pencalonan itu.
“Sepanjang tahun lalu, saya sudah mengembara ke seluruh negara, berucap dengan rakyat Amerika mengenai pilihan jelas dalam pilihan raya penting ini.
“Itulah yang akan saya lakukan dalam beberapa hari dan minggu akan datang.
“Saya akan melakukan segala-galanya untuk menyatukan Parti Demokrat dan negara untuk mengalahkan Donald Trump bersama agenda ekstrem Projek 2025 beliau,” katanya.
“Kita ada 107 hari lagi menjelang Hari Pilihan Raya. Bersama-sama, kita akan berjuang. Dan bersama-sama, kita akan menang,” kata Harris.

Menurut CNN, memetik sumber, rancangan untuk Biden menarik diri daripada perlumbaan pemilihan calon dalam pilihan raya Presiden sudah dilaksanakan pada malam Sabtu dan dimuktamadkan pada Ahad, 21 Julai.
Presiden Biden masih dalam proses pemulihan daripada jangkitan COVID-19 dan berehat di rumahnya di Rehoboth Beach, Delaware.