SICILY: Mayat terakhir dipercayai anak perempuan kepada jutawan teknologi British, Mike Lynch telah ditemukan oleh skuad penyelam Itali pada Jumaat, 23 Ogos.
Menurut Reuters, mayat Hannah Lynch, 18, yang terakhir dilaporkan masih hilang ditemukan dalam bangkai kapal layar mewah Bayesian yang tenggelam selepas dibadai ribut di luar pantai Sicily, dalam kejadian jam 5 pagi Isnin lalu, 19 Ogos.
Setakat ini, proses bedah siasat dan pengecaman mangsa terakhir berkenaan masih dijalankan, lapor Reuters.
Terdahulu, kapal layar mewah sepanjang 56 meter (184 kaki) dikenali Bayesian terbalik akibat terkena sengkayan air yang berpusing dan terangkat ketika hujan lebat dan ribut petir, kira-kira 20 kilometer (12.4 batu) di timur Palermo, di selatan Itali.
Dalam kejadian itu, 15 orang berjaya diselamatkan termasuk isteri Lynch, Angela Bacares, manakala enam yang lain dilaporkan hilang.
Mayat Mike Lynch, 59, yang juga pemilik kapal layar mewah itu ditemui oleh skuad pengawal pantai Itali dan penyelamat dari jabatan bomba dan penyelamat tempatan.
Antara yang terkorban ialah cef kapal layar, Recaldo Thomas, yang mayatnya ditemui beberapa jam selepas kapal itu karam.
Mayat-mayat yang telah dikenal pasti ialah Pengerusi Morgan Stanley International, Jonathan Bloomer dan isterinya, Judith serta peguam, Chris Morvillo dan isterinya, Neda.
Ketika kejadian, difahamkan 22 individu terdiri 12 tetamu dan 10 kru berada di atas kapal layar itu yang berasal dari pelbagai negara termasuk United Kingdom, New Zealand, Sri Lanka, Perancis, Ireland, Amerika Syarikat dan Kanada.
Jabatan Perlindungan Awam Sicily berkata isteri Lynch, Angela Bacares; Charlotte Golunski, suaminya James dan anak perempuan mereka yang berusia satu tahun, Sophie; Ayla Ronald, seorang peguam dari New Zealand di Clifford Chance, dan pasangannya adalah antara 15 orang yang berjaya menyelamatkan diri menggunakan bot penyelamat Bayesian dan kemudian diselamatkan.
Terdahulu, operasi menyelamat diselaraskan oleh pengawal pantai yang melibatkan empat bot peronda, sebuah helikopter pencarian, dan penyelamat dari pengawal pantai serta tentera laut. Jabatan Bomba Palermo berkata pasukan penyelamatnya juga telah menyertai misi tersebut.
Penyelaman pertama pasukan bomba, yang menggunakan penyelam gua khusus untuk ke bangkai kapal yang terletak di dasar laut pada kedalaman 50 meter di bawah Laut Mediterranean pada malam Isnin, gagal menemui apa-apa.
“Pemeriksaan pertama oleh penyelam gua di dalam bangkai kapal tidak berjaya. Akses ke jambatan terhad, dengan kesukaran disebabkan oleh perabot yang menghalang laluan,” lapor UPI yang memetik laporan jabatan itu dalam satu hantaran di X.
The Telegraph melaporkan kumpulan itu dengan tetamu VIP berada di atas kapal layar Bayesian untuk pelayaran “kemenangan” meraikan pembebasan Lynch setelah pertarungan undang-undang selama 13 tahun yang menyaksikan beliau diekstradisi ke Amerika Syarikat tahun lalu untuk dibicarakan atas tuduhan penipuan berkaitan penjualan syarikatnya, Autonomy kepada Hewlett Packard dengan nilai AS$11 bilion.
Beliau dituduh menaikkan nilai syarikat perisian yang diasaskannya tetapi pada Jun lalu juri mahkamah persekutuan di San Francisco membebaskannya bersama Stephen Chamberlain yang turut didakwa, daripada semua 15 pertuduhan penipuan.
Stephen Chamberlain, meninggal dunia selepas dilanggar kenderaan ketika sedang berlari di Cambridgeshire, United Kingdom, pada 17 Ogos.