KUALA LUMPUR: Piala FA sah menjadi milik Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk kali keempat selepas menundukkan Selangor FC 6-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Menerusi pertemuan dengan Selangor FC, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan beberapa peluang jaringan tercipta namun gagal disempurnakan dengan gol.
Gol pembukaan dijaringkan oleh Muniz daripada pasukan JDT pada minit ke-26 sebelum rakan seperjuangan Arif Aiman Mohd Hanapi menjaringkan gol kedua pada minit ke-42 permainan sebelum menjelang waktu rehat.
Masuk babak kedua, Selangor bangkit hingga berjaya menembusi gawang JDT dengan gol pertama menerusi sepakan penyerang import Alvin Fortes menjadikan kedudukan 1-2.
JDT walau bagaimanapun tidak berdiam diri dan dengan pantas menambah dua lagi jaringan gol dalam masa lima minit menerusi Bergson Da Silva dan Muniz.
Impian JDT kendalian Hector Bidoglio untuk muncul juara semakin bersinar selepas penyerang import Heberty Fernandes menjaringkan gol kelima.
Pada minit terakhir sebelum masa tamat, Muniz berjaya mencipta hatrik sekali gus mengesahkan Piala FA 2024/2025 menjadi milik JDT.
Kejayaan tersebut merupakan kejayaan kedua JDT musim ini selepas turut dinobatkan sebagai juara perlawanan Sumbangsih pada Mei lepas.
Menurut Hector Bidoglio dalam satu kenyataan yang dikongsi Bernama, kejayaan JDT adalah bertunjangkan kemahiran individu pemain dan falsafah mempertaruhkan segalanya dalam benteng pertahanan.
“Falsafah, tingkah laku taktikal adalah untuk mengambil risiko sepanjang masa kerana memperagakan corak permainan serangan dengan mengawal bola sepanjang masa serta mematahkan setiap gerak-geri penyerang lawan di bahagian pertahanan.”
“Ia amat sukar tetapi pemain berlatih kaedah ini setiap hari dan malam ini semua pemain beraksi sebagai satu pasukan dengan baik sekali dan sudah pasti ada pemain dengan kemahiran individu yang cemerlang,” Kata Hector.
Sebelum ini, JDT menjulang Piala FA pada 2016 dan dua tahun berturut-turut pada 2022 dan 2023.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor FC Nidzam Jamil pula menyifatkan kekalahan tersebut sebagai sesuatu yang mengecewakan.
Nidzam juga mengakui banyak perkara yang perlu diperbaiki pasukan Gergasi Merah selepas ini.
“Keputusan ini sedikit sebanyak menunjukkan banyak perkara perlu diperbaiki supaya berada di tahap yang lebih baik,” Kata Nidzam.
Kali terakhir Selangor FC menikmati kejayaan ialah pada 2015 menerusi Piala Malaysia manakala bagi Piala FA pula ialah pada tahun 2009 selepas menewaskan Kelantan 4-1.