27.2 C
Kuala Lumpur
Friday, July 4, 2025
Utama Blog Laman 11

Insiden Masjid India: Hanya selipar ditemui, pencarian mangsa ditumpu pada jajaran paip kumbahan

0

KUALA LUMPUR: Pasukan penyelamat mangsa kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, kini memfokuskan pencarian pada kawasan saluran paip kumbahan di bawah tanah kawasan kejadian.

Pada masa ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menggunakan khidmat Unit Skuba JBPM dalam mencari mangsa selepas khidmat anjing pengesan menemui jalan buntu.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur / Facebook

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Nordin Pauzi, berkata tindakan untuk masuk ke dalam lubang saluran kumbahan dilakukan selepas kawasan kejadian digali dan dibersihkan menggunakan jengkaut.

Khidmat Unit Skuba terpaksa digunakan walaupun air tidak dalam namun ia turut berisiko.

“Usaha ini dilakukan selepas berkemungkinan terdapatnya sedikit pecahan (kebocoran) atau serpihan yang membolehkan air keluar yang mungkin mempunyai lubang.

“Jadi di tempat saluran yang pecah itu kita akan buat size-up (periksa) sekiranya anggota boleh masuk kemungkinan kita boleh buat pencarian dan menemui sesuatu,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian pada pagi 24 Ogos.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur / Facebook

Nordin berkata, pada masa ini pihaknya akan menumpukan usaha mencari dan menyelamat di saluran kumbahan kawasan Masjid India dahulu sebelum memperluaskan skop pencarian ke lokasi lain.

“Kita juga akan berhubung dengan pihak Indah Water Konsortium (IWK) sebab saluran ini satu hala dan kita akan cuba kesan melalui perangkap sedia ada yang berkemungkinan mangsa ada di situ.

“Pihak kami juga difahamkan saluran ini berakhir di satu loji di Lembah Pantai, dan kita akan meneliti kawasan itu juga,” katanya.

Semalam, operasi SAR terpaksa dihentikan sekitar jam 1 pagi, susulan hujan lebat serta kawasan pencarian yang gelap telah menyukarkan usaha mengesan mangsa.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur / Facebook

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, operasi SAR oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dijadualkan bersambung semula pada jam 9 pagi 24 Ogos.

Semalam, Pasukan Taktikal Khas Operasi dan Menyelamat Malaysia (STORM) yang terlatih telah menjalankan kerja-kerja menggali sedalam 10 meter dengan pencarian lokasi mangsa dilaporkan terjatuh telah dilakukan secara 100 peratus.

Rusdi berkata, semua anggota pasukan penyelamat telah mengambil masa yang panjang dalam operasi SAR yang bermula sejak pagi 23 Ogos, dan setakat ini mangsa masih gagal dikesan.

“Namun dalam operasi hari ini kita telah menemui sepasang selipar dipercayai milik mangsa yang terapung selepas kawasan kejadian dikorek oleh jengkaut sejak pagi semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur / Facebook

“Pelbagai cabaran dihadapi oleh pasukan penyelamat yang terbabit dalam operasi SAR ini seperti arus deras, selain terdapat gas pada air dalam saluran kumbahan yang boleh membahayakan pasukan Unit Skuba JBPM,” kata Rusdi selepas meninjau lokasi kejadian pada tengah malam tadi.

Rusdi berkata, beliau turut menyarankan supaya orang ramai dan masyarakat yang berada di sekitar kawasan Masjid India untuk mengurangkan pergerakan sebagai langkah keselamatan.

“Walaupun kawasan ini disahkan selamat, saya minta orang ramai kurangkan pergerakan anda dan mengambil langkah selamat.

“Kita turut mengarahkan polis memperketatkan kawalan di sini dan meminta mana-mana pihak supaya tidak mengambil mudah tentang langkah berjaga-jaga,” katanya.

Semalam 23 Ogos, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Paduka Maimunah Mohd Sharif, yang melawat lokasi kejadian memaklumkan kepada agensi utiliti terbabit supaya memeriksa aset berkaitan termasuk Air Selangor yang turut menutup bekalan air sedia ada.

“DBKL telah membuat semakan ke atas talian utiliti bawah tanah di kawasan terbabit dan menemui diameter paip kumbahan sepanjang 1.5 meter di lokasi terbabit. IWK telah berada di tapak untuk membantu Dewan Bandaraya bersama-sama dengan Bomba.

“DBKL bersama agensi lain sedang mengesan di sepanjang laluan paip kumbahan bagi mengenal pasti mangsa dan sehingga kini, mangsa masih belum ditemui,” kata Maimunah.

DBKL telah mengerahkan jentera dan anggota penyelamat untuk membantu pencarian, tambahnya.

Maimunah yang bertemu dengan suami dan ahli keluarga mangsa melahirkan rasa sedih serta bersimpati dengan kejadian yang menimpa.

Dalam kejadian pada jam 8.20 pagi 23 Ogos, mangsa warganegara India dikenali sebagai Vijayaletchumy berusia 48 tahun telah terjatuh ke dalam lubang benam sedalam 8 meter ketika melalui kawasan pejalan kaki berhadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Sehingga kini, nasib dan keberadaan mangsa belum dapat ditemukan.

Pelancong wanita warga India terjatuh ke dalam lubang benam di Masjid India

0

KUALA LUMPUR: Seorang pelancong wanita dikhuatiri terjatuh dan tertimbus ke dalam lubang benam akibat mendapan tanah yang berlaku berhampiran Masjid India pada pagi 23 Ogos.

Identiti mangsa disahkan sebagai wanita warga India berusia 48 tahun.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi ketika mangsa sedang bersiar-siar di kawasan itu bersama keluarganya sebelum tiba-tiba berlaku mendapan tanah lalu meruntuhkan struktur jubin dan simen lantai yang berada di laluan pejalan kaki.

Facebook

Berdasarkan maklumat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGOKL), kedalaman lubang benam itu dianggarkan lapan ke sepuluh meter. 

Setakat jam 11.30 pagi, tinjauan media mendapati operasi menyelamat dengan dua buah jentera bomba sudah berada di lokasi dan kerja-kerja mencari mangsa sedang giat dijalankan.

Turut kelihatan sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Air Selangor, dan Angkatan Pertahanan Awam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Nuzulan Mohd Din berada di lokasi bagi memantau operasi menyelamat.

Facebook

Bernama melaporkan jurucakap Bomba Kuala Lumpur sebagai berkata wanita itu sedang cuba dikeluarkan oleh pihak bomba.

“Kerja-kerja menyelamat sedang giat dijalankan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan sebentar lagi setelah mendapat maklumat lanjut daripada pegawai operasi,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataannya berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada 8.22 pagi.

Facebook

“15 anggota pasukan operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan bantuan daripada Hang Tuah dikerahkan ke lokasi kejadian,” kata kenyataan itu.

Komander Operasi PGOKL, Mohd Riduan Akhyar mengesahkan terdapat seorang mangsa wanita terjatuh ke dalam lubang ada tertimbus di bawah tanah.

Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan Unit Pengesan (K9) turut dikerah ke lokasi kejadian.

Kren bergerak juga digunakan untuk mengangkat simen lantai yang runtuh.

Penyanyi Mimpi Laila dipenjara seumur hidup, 16 kali sebatan

0

SHAH ALAM: Penyanyi Mimpi Laila, Muhammad Yasin Sulaiman dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 kali sebatan atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.

BERNAMA

Hakim Datuk Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman tersebut selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan melepas dan membebaskan Yasin, 48, oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 November 2023.

Bagi kesalahan memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram, Yasin dihukum penjara lapan tahun dan 10 kali sebatan.

Bagi kesalahan menanam 17 batang pokok kanabis dalam pasu plastik pula, Yasin dihukum penjara seumur hidup dan enam kali sebatan. Manakala untuk kes memberi dirinya dadah berbahaya, dia dihukum penjara 10 bulan.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 24 Mac 2022.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Faiz Dziyauddin pada 29 November 2023 melepas dan membebaskan Yasin daripada tiga pertuduhan dadah dan memerintahkan lelaki itu ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama tempoh yang diperkenankan oleh Sultan Selangor.

Norsharidah dalam penghakimannya berkata Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya didapati terkhilaf dalam membuat keputusan itu.

Beliau berkata persoalan yang timbul adalah sama ada Mahkamah Sesyen boleh membuat dapatan dengan hanya bergantung kepada keterangan saksi pembelaan Pakar Perunding Forensik Psikiatari Hospital Bahagia Ulu Kinta Dr Ian Lloyd Anthony yang dikemukakan pihak pembelaan.

“Dalam kes ini, responden memilih untuk tidak mengemukakan keterangan terhadap dirinya yang tidak sempurna akal di bawah ‘legal insanity’ (tidak sempurna akal menurut undang-undang).”

“Justeru, beban untuk membuktikan responden tidak sempurna akal masih terletak pada pembelaan bagi mengemukakan keterangan pakar dan keadaan responden semasa kejadian,” Katanya.

Norsharidah berkata keterangan Dr Ian mengesahkan bahawa responden tidak sempurna akal dari sudut perubatan semasa tangkapan namun merujuk kepada saksi-saksi pendakwaan, menunjukkan bahawa Yasin memang dengan sengaja melakukan perbuatan-perbuatan jenayah yang dituduh ke atasnya.

Menurut Norsharidah lagi, mahkamah tidak terikat dengan dapatan saksi pakar kerana peranan saksi pakar hanyalah untuk membantu mahkamah membuat keputusan.

Ujar Norsharidah, Dr Ian dan laporan psikiatri semata-mata tidak mencukupi untuk menyokong pembelaan responden sebagai tidak sempurna akal di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.

Norsharidah berkata saksi pendakwaan ketujuh pakar bioteknologi tumbuhan Prof Dr S. Sreeramanan memaklumkan responden mempunyai pengetahuan berhubung penanaman ganja.

“Penanaman ganja yang dilakukan responden mengambil masa untuk pokok itu itu tumbuh membesar menunjukkan responden tidak berada dalam keadaan tidak waras.”

“Oleh itu, rayuan oleh perayu (pendakwaan) dibenarkan bagi keputusan di Mahkamah Sesyen dan tertuduh disabitkan bersalah seperti mana pertuduhan pindaan dihadapinya,” Katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala peguam Ariff Azami Hussein mewakili Yasin.

Penyanyi itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik IPD Petaling Jaya pada 11.05 malam, 24 Mac 2022.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 batang pokok ganja dalam pasu di kediamannya di Kota Damansara di sini, pada 5.30 petang, tarikh yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6 ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan, serta Seksyen 6B(1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksen 6B(3) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan.

Ariff Azami ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memaklumkan akan memasukkan notis rayuan berhubung keputusan hakim Mahkamah Tinggi itu.

“Keputusan hari ini, kita akur dan hormat dan Mahkamah Tinggi ada hak untuk mengesahkan atau menukar apa-apa keputusan Hakim Mahkamah Sesyen. Kita ada satu lagi lapisan iaitu di Mahkamah Rayuan dan kita akan lawan di peringkat tersebut,” Katanya.

Beliau turut berharap rawatan dan perubatan yang telah dijalani anak guamnya sebelum ini dapat diteruskan di Penjara Kajang.

Disangka hilang selepas keluar membeli pau, dua sahabat rupanya terperangkap dalam lif

0

Misteri kehilangan dua kanak-kanak lelaki selama lebih 10 jam selepas keluar rumah untuk membeli pau, akhirnya terjawab apabila mereka ditemui terperangkap dalam lif yang sedang diselenggara di pangsapuri didiami mangsa di Desa Petaling, Kuala Lumpur sehingga tengah malam 20 Ogos. 

Mangsa dikenali Muhammad Faiq Adiwira, 11, dan seorang rakannya, Muhammad Harith Absyar berusia 10 tahun terlalu letih ketika meminta tolong sehingga tertidur di dalam lif itu sebelum dijumpai semula dalam keadaan selamat pada jam 12.45 tengah malam setelah kelibat mereka berjaya dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh, berkata terdahulu pihaknya menerima dua laporan berhubung kehilangan dua kanak-kanak terbabit oleh waris masing-masing, pada petang 19 Ogos.

@SinarOnline / X

“Berdasarkan maklumat, dua kanak-kanak berkenaan dikatakan keluar rumah kira-kira jam 2.30 petang semalam untuk membeli pau di kedai berdekatan simpang sebuah sekolah menengah sebelum mereka terperangkap dalam lif itu,” kata Ravindar kepada BH.

Sementara itu, berdasarkan maklumat penduduk pangsapuri terbabit, kedua-dua mangsa berusaha meminta bantuan sebelum keletihan lalu tertidur dalam lif berkenaan.

Difahamkan, pihak pengurusan penyelenggaraan kemudian melakukan kerja membuka pintu lif berkenaan untuk menyelamatkan mangsa yang dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ibu Faiq Adiwira, Fospaliza Md Sariff berkata anaknya ditemui dalam keadaan lemah serta tidak bermaya susulan terperangkap berjam-jam tanpa makanan dan minuman selepas keluar untuk membeli pau di kedai berdekatan.

@SinarOnline / X

“Pau itu memang makanan kegemaran anak sampaikan peniaganya pun sudah kenal sebab dia selalu beli.

“Semalam, dia turun dari rumah kami di tingkat sembilan sebelum terperangkap di tingkat empat bersama seorang kawannya… pau pun tak sempat beli,” kata Fospaliza.

Ibu itu berkata dua kanak-kanak berkenaan dikatakan cuba meminta tolong melalui butang interkom tetapi didakwa tiada respons, dan mereka hanya mampu menangis sehingga tertidur beberapa kali.

Pada mulanya, beliau berkata, mereka tidak menyangka dua kanak-kanak itu terperangkap dalam lif berkenaan, sebaliknya disangka hanya pergi bermain.

@SinarOnline / X

“Biasanya, anak pergi bermain dengan kawan-kawan dan saya sudah tetapkan dia mesti berada di rumah sebelum jam 7 malam.

“Saya tidak menyangka mereka terperangkap dalam lif kerana ingatkan pergi bermain selepas membeli pau di bawah blok kami,” katanya yang sudah menetap di pangsapuri terbabit selama 12 tahun.

Fospaliza berkata, mereka sekeluarga bersyukur kerana tiada perkara tidak diingini berlaku ke atas Faiq dan rakannya.

MPOX: KKM kukuh pemantauan di pintu masuk negara

0

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkatkan aktiviti pemantauan dan advokasi selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran peringkat tertinggi berkaitan penularan virus cacar monyet atau Mpox.

KKM berkata pihak berkuasa Malaysia sedang meningkatkan pemantauan di pintu masuk antarabangsa dan semua pengembara dari negara yang melaporkan kes mpox dikehendaki memantau status kesihatan secara kendiri, termasuk simptom selama 21 hari selepas tiba di Malaysia.

Gambar NST

Individu yang mempunyai sejarah aktiviti berisiko atau yang mempunyai simptom seperti ruam dan lepuh dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat dengan segera dan tidak bersentuhan dengan orang lain bagi mengelak penularan virus.

Pengamal perubatan serta petugas penjagaan kesihatan di kemudahan awam dan swasta juga dikehendaki memaklumkan kes yang disyaki dan mengesahkannya kepada pejabat kesihatan daerah terdekat bagi memastikan langkah pencegahan dan kawalan dapat dilaksanakan.

KKM juga memberi jaminan kepada orang awam bahawa terdapat makmal yang mencukupi untuk tujuan ujian dan diagnostik.

Terdapat 10 makmal, termasuk dua makmal persendirian, dengan keupayaan untuk menjalankan ujian PCR bagi tujuan pengesahan sebarang diagnosis.

Gambar Reuters

KKM juga meningkatkan aktiviti kesedaran dengan mengedarkan bahan kepada kumpulan dan lokasi berisiko tinggi, seperti spa dan sauna.

Premis yang menawarkan perkhidmatan melibatkan sentuhan kulit ke kulit dengan pelanggan seperti yang dinyatakan wajib memastikan kebersihan terjaga dan pekerja serta pelanggan mereka tidak mengalami gejala seperti lepuh atau ruam.

“Jika pekerja atau pelanggan mengalami simptom, mereka harus segera mendapatkan rawatan perubatan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada 18 Ogos.

KKM akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan lain termasuk hospital awam dan swasta untuk memantau, mengesan dan merawat kes mpox.

Kementerian itu juga akan terus memantau keadaan semasa mpox di dalam dan luar negara.

WHO mengisytiharkan mpox, yang sebelum ini dikenali monkeypox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC) untuk kali kedua pada 14 Ogos.

PHEIC pertama kali diisytiharkan pada 23 Julai 2022, dan berakhir pada 11 Mei 2023.

“Pengisytiharan kedua dibuat berdasarkan nasihat Jawatankuasa Kecemasan IHR (Peraturan Kesihatan Antarabangsa) memandangkan penularan strain mpox baharu yang dikenali sebagai clade 1b, telah menular dengan pantas di Republik Demokratik Congo dan negara rantau Afrika,” kenyataan itu berkata.

Peningkatan kes di Congo agak ketara dengan 15,600 kes dan 537 kematian dilaporkan pada 2024, iaitu lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Selain itu, empat negara di Afrika Timur, iaitu Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda, melaporkan kes mpox buat pertama kali.

Malaysia telah merekodkan sembilan kes mpox setakat ini sejak kes pertama dikesan pada 26 Julai 2023, termasuk kes yang direkodkan pada November tahun itu.

KKM berkata semua kes yang dilaporkan mempunyai sejarah aktiviti berisiko tinggi dan telah pulih tanpa kematian dilaporkan.

Mengulas perkembangan terkini kepada The Star, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, pakar ekonomi kesihatan dan kesihatan awam Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata individu yang melakukan hubungan seksual dengan pasangan dari negara yang terdapat kes mpox, termasuk negara di mana penyakit itu endemik, perlu dipantau.

“Ia juga boleh merebak daripada wanita hamil yang dijangkiti kepada anak dalam kandungan.

“Mereka yang melancong ke negara yang dijangkiti, terutamanya Amerika Syarikat dan negara-negara Afrika, perlu mengambil kira risiko sentuhan dan jangkitan semasa aktiviti seksual,” katanya.

@KKMPutrajaya / X

Mpox ialah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox, iaitu spesis di bawah genus Orthopoxvirus dan jangkitan boleh berlaku antara manusia ke manusia melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan.

Individu dijangkiti akan mengalami gejala demam berserta ruam ‘maculopapular rash’ atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan kornea.

Sebanyak 99,176 kes Mpox, termasuk 208 kematian, dilaporkan di seluruh dunia dari 1 Jan 2022 hingga 30 Jun 2024.

Gunung berapi Shiveluch meletus susulan Rusia dilanda gempa bumi

0

RUSIA: Gunung berapi Shiveluch meletus susulan gempa bumi kuat melanda kawasan Semenanjung Kamchatka dengan magnitud 7.0 pada 18 Ogos 2024.

CNN

Gunung berapi Shiveluch terletak kira-kira 280 batu dari Petropavlovsk-Kamchatsky yang merupakan sebuah bandar pesisir dengan populasi kira-kira 180,000 orang.

“Menurut penilaian visual, abu tersebut naik setinggi 8 kilometer (5 batu) di atas paras laut,” Lapor TASS pada pagi Ahad waktu tempatan, sambil menambah bahawa gunung berapi itu telah mengeluarkan limpahan lahar.

Tiada laporan mengenai orang yang cedera, tambah TASS lagi.

“Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa tersebut terletak kira-kira 55 batu dari Petropavlovsk-Kamchatsky dan mempunyai kedalaman sekitar 30 batu.”

“Tiada kerosakan besar yang disebabkan oleh gempa itu, menurut laporan TASS, namun bangunan kini sedang diperiksa untuk kemungkinan kerosakan, dengan tumpuan khas diberikan kepada kemudahan sosial.”

Kementerian Kecemasan Rusia tidak mengeluarkan amaran tsunami akibat gegaran tersebut, lapor TASS.

Sebelum ini, Sistem Amaran Tsunami AS telah mengeluarkan amaran bahawa “gelombang tsunami berbahaya dari gempa bumi ini mungkin berlaku dalam jarak 300km (kira-kira 186 batu) dari pusat gempa di sepanjang pantai Rusia.”

Buah mangga hadiah perpisahan daripada murid anak yatim buat mantan Guru Besar sebak

0

Seorang guru yang baik dan terpuji dalam mendidik anak bangsa akan sentiasa diingati oleh para pelajarnya sehingga akhir hayat.

Baru-baru ini tular satu rakaman video yang mengundang suasana sebak di hati apabila seorang murid lelaki dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Marang, Marang, Terengganu tidak dapat menahan kesedihan di majlis perpisahan Guru Besar, Cikgu Zakaria Omar.

Facebook

Murid lelaki itu yang difahamkan seorang anak yatim mula berasa sebak dan sayu apabila merapati Cikgu Zakaria untuk bersalam dengannya.

Di tangan murid Tahun Enam itu kelihatan sebungkus buah mangga untuk dihadiahkan kepada Guru Besar kesayangannya yang bakal bersara.

Facebook

Menerusi video tular yang dimuat naik Zamri Mat KL, murid Tahun Enam itu sempat memeluk Cikgu Zakaria semasa sesi bersalam sambil kedua-duanya spontan mengeluarkan air mata.

“Juraian air mata menjadi saksi kasih guru besar dan perasaan sayang daripada anak-anak SK Seberang Marang yang dipupuk sepanjang enam tahun perkhidmatan mengiringi hari perpisahan di dewan yang mulia D’Sbrang pada tanggal 7 Ogos 2024,” kongsinya.

Facebook

Saling berpelukan, Cikgu Zakaria dilihat meluangkan masa lebih lama kepada murid anak yatim itu.

Lebih menyentuh hati, pelajar berkenaan sempat memberikan hadiah yang cukup sederhana tetapi bermakna kepada guru kesayangannya itu.

Facebook

“Kasih seorang anak yatim memberikan hadiah seadanya, beberapa biji buah mempelam sebagai hadiah kerana dia tahu itulah buah kegemaran mantan guru besar yang disayangi,” kongsi Zamri.

Tonton video di sini.

Gempa bumi magnitud 6.3 landa timur Taiwan

0

TAIPEI: Gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter melanda timur Taiwan pada Jumaat, 16 Ogos, 34 kilometer (km) dari bandar Hualien, kata Pusat Pentadbiran Cuaca (CWA) pulau itu.

Setakat ini, tiada laporan diterima mengenai kerosakan akibat gempa besar kedua yang melanda pulau itu dalam tempoh kurang sehari.

Pexels

Gempa bumi menggegarkan bangunan di ibu kota Taipei. Pihak berkuasa berkata perkhidmatan kereta api bawah tanah di bandar itu diteruskan pada kelajuan yang lebih rendah.

Kata pentadbiran cuaca, gempa itu berlaku sekitar 7.35 pagi (2335 GMT) pada kedalaman 15km, menyusuli gempa bumi berukuran magnitud 5.7 yang melanda pantai timur laut Taiwan pada lewat Khamis.

@SiteTaiwanInfo / X

Sementara itu, Pemantau Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa bumi magnitud 6.1 melanda pantai timur Taiwan pada pagi Jumaat berbanding ukuran 6.3 dilaporkan CWA pulau itu.

CWA juga mengeluarkan amaran telefon mudah alih yang memberi amaran kepada orang ramai supaya ‘bertenang dan mencari perlindungan berdekatan’.

Agensi Bomba Kebangsaan Taiwan mengeluarkan kenyataan mengesahkan ‘tiada laporan kerosakan’ sekitar jam 8 pagi.

Pulau Taiwan sering dilanda gempa bumi kerana kedudukannya di antara dua plat tektonik.

Gempa besar terakhir berlaku pada awal April, berukuran magnitud 7.4 yang dikatakan oleh pegawai sebagai yang paling kuat dalam 25 tahun.

Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan 900 cedera dalam gempa bumi itu, yang mencetuskan tanah runtuh dan bangunan rosak teruk di sekitar pusat gempa berhampiran Hualien.

Penerbangan, perkhidmatan kereta api dibatalkan dan perintah pemindahan ketika Taufan Ampil hampiri Jepun

0

TOKYO: Jepun membatalkan beratus-ratus penerbangan dan menggesa puluhan ribu orang awam untuk mengosongkan kawasan timur pada hari Jumaat, 16 Ogos ketika Taufan Ampil menghampiri negara itu.

Ribut itu dikategorikan sebagai “sangat kuat” oleh Agensi Meteorologi Jepun (JMA). Agensi itu mempunyai dua kategori yang lebih tinggi—”sangat kuat” dan “ganas.”

Taufan terletak di luar pantai Pasifik pulau utama Honshu pada jam 3 petang waktu tempatan pada hari Jumaat dan dijangka menghampiri wilayah timur Kanto, termasuk Tokyo, pada lewat petang.

Gambar Reuters

Taufan itu mempunyai kelajuan angin sekitar 100 mph, bergelora sehingga 134 mph, menurut JMA.

“Wilayah Kanto dijangka mengalami angin kencang yang boleh menyebabkan kecederaan akibat serpihan yang berterbangan atau membalikkan trak yang sedang bergerak,” laman web JMA memberi amaran.

Bandar Iwaki di Prefektur Fukushima, timur laut Jepun, mengeluarkan perintah pemindahan untuk kira-kira 323,000 penduduk, memberitahu mereka akan kemungkinan hujan lebat mungkin meningkat sehingga pagi Sabtu.

Bandar Mobara di Wilayah Chiba turut mengarahkan pemindahan kira-kira 18,500 penduduk, manakala berpuluh-puluh bandar lain membuka pusat pemindahan khas dan menasihati pemindahan secara sukarela.

Gambar Reuters

Taufan Ampil telah pun menyebabkan bekalan elektrik terputus pada pertengahan minggu cuti musim panas dan lebih 2,500 isi rumah di kawasan Kanto masih mengalami gangguan pada petang Jumaat, kata Tokyo Electric Power Co.

All Nippon Airways mengumumkan akan membatalkan 281 penerbangan domestik dan 54 penerbangan antarabangsa kerana sama ada untuk cuti perayaan atau ketibaan pada hari Jumaat, dengan hampir 70,000 penumpang terjejas oleh keputusan itu.

Syarikat penerbangan itu juga berkata akan menghentikan 32 penerbangan domestik masuk atau keluar dari lapangan terbang Haneda Tokyo pada hari Sabtu, mengganggu rancangan perjalanan pulang ke kampung untuk perayaan ‘obon’ untuk 2,300 penumpang lagi.

Sementara, Japan Airlines merancang untuk membatalkan 281 penerbangan domestik dan 38 antarabangsa pada hari Jumaat, menjejaskan kira-kira 50,000 penumpang.

Semua perkhidmatan kereta api bullet “Shinkansen” antara Tokyo dan Nagoya juga dibatalkan.

Gambar Reuters

Restoran, gedung membeli-belah dan taman hiburan juga sama ada ditutup atau beroperasi pada waktu perniagaan yang dipendekkan, dengan Tokyo Disneyland mempercepatkan waktu penutupan kepada 3 petang berbanding pukul 9 malam pada hari Jumaat.

Kemaraan Taufan Ampil menyusul seminggu selepas gempa bumi kuat di pantai selatan negara itu yang mencetuskan amaran tsunami.

Gempa itu mencatatkan 7.1 pada skala Richter dengan pusat gempa terletak di laut di luar pantai timur pulau utama selatan Jepun di Kyushu pada kedalaman sekitar 18.6 batu, menurut JMA.

Bandar Nichinan dan kawasan berdekatan di wilayah Miyazaki di pulau Kyushu paling kuat digegarkan dengan gelombang tsunami sehingga 20 inci dikesan di sepanjang bahagian pantai selatan Kyushu dan di pulau berdekatan Shikoku sekitar 30 minit selepas gempa itu.

Pengasas biskut terkenal Famous Amos meninggal dunia

0

Wallace “Wally” Amos, pengasas empayar biskut sempena namanya yang menjadi jenama terkenal dunia Famous Amos meninggal dunia pada usia 88 tahun.

Wally Amos meninggal dunia pada Selasa, 13 Ogos di rumahnya di Honolulu, Hawaii, Amerika Syarikat di sisi isterinya, Carol akibat komplikasi demensia, kata anak-anaknya ketika mengesahkan pemergiannya.

Wally Amos membina empayar ‘cookie’ Famous Amos yang terkenal sehinggalah pada akhirnya kehilangan pemilikan syarikat itu serta hak untuk menggunakan nama Amos.

Gambar New York Times

“Dengan topi Panama, kazoo, dan keyakinan yang tidak terbatas, Famous Amos adalah kisah kejayaan Amerika yang hebat, dan sumber kebanggaan masyarakat kulit hitam,” kata satu kenyataan daripada anak-anaknya, Sarah, Michael, Gregory dan Shawn Amos.

Mereka berkata ayah mereka “memberi inspirasi buat generasi usahawan apabila mengasaskan kedai ‘cookie’ pertama di dunia” di Sunset Boulevard di Los Angeles pada tahun 1975.

Wally Amos juga merupakan pengasas bersama Uncle Wally’s Muffin Co., yang produknya boleh didapati di seluruh negara. Tetapi Amos berkata kemasyhuran itu tidak begitu penting baginya.

“Menjadi terkenal adalah sangat berlebihan,” kata Amos kepada The Associated Press pada 2007.

Syarikat muffinnya, yang berpangkalan di Shirley, New York, pada asalnya diasaskan sebagai Uncle Noname Cookie Co. pada tahun 1992, beberapa tahun selepas Amos kehilangan Famous Amos, yang masih menggunakan namanya secara meluas pada produknya.

Gambar New York Times

Wally Amos berkata biskut Famous Amos yang dijual hari ini tidak sama seperti resipinya, yang asal mengandungi banyak coklat, mentega asli dan ekstrak vanila tulen.

“Anda tidak boleh membandingkan cookie buatan mesin dengan cookie buatan tangan,” katanya kepada AP. “Ia seperti membandingkan Rolls Royce dengan Volkswagen.”

Uncle Noname, diasaskan kerana hutang dan masalah dengan pengeluar kontraknya.

Syarikat itu memfailkan kebankrapan pada tahun 1996, meninggalkan perniagaan biskut dan beralih ke mufin atas cadangan rakan perniagaan Wally Amos, Lou Avignone.

Di kedai biskut ‘cookie’ di Hawaii yang dibuka pada tahun 1977 dan kini telah ditutup, Wally menjual ‘cookie’ bersaiz gigitan sama seperti yang pertama kali dijualnya di kedai Famous Amos Hollywood.

Wally Amos juga aktif dalam mempromosikan amalan membaca dan celik huruf di kalangan kanak-kanak. Di kedainya di Hawaii mempunyai sudut bilik bacaan dengan berpuluh-puluh buku dan Amos biasanya menghabiskan hari Sabtu dengan duduk di atas kerusi goyang, memakai topi tembikai, dan membaca kepada kanak-kanak.

Gambar New York Times

Bekas pelajar yang berhenti sekolah tinggi itu menulis lapan buku dan berkhidmat sebagai jurucakap Sukarelawan Literasi Amerika Syarikat selama 24 tahun dengan memberikan ceramah motivasi kepada syarikat, universiti dan kumpulan lain.

Wally Amos memperoleh deretan penghormatan untuk kerja sukarelawannya, termasuk Anugerah Literasi yang disampaikan oleh Presiden George H.W. Bush pada tahun 1991.

Dalam salah satu bukunya, “Man With No Name: Turn Lemons Into Lemonade,” Amos menjelaskan bagaimana beliau kehilangan Famous Amos walaupun sebelum ia dijual dengan harga AS$63 juta kepada sebuah syarikat Taiwan pada tahun 1991. Sungguhpun memperolehi jualan yang kukuh, menjelang 1985, perniagaan itu kehilangan wang, jadi Amos membawa masuk pelabur luar.

“Pemilik baru memakan lebih banyak bahagian saya sehingga tiba-tiba, saya mendapati saya telah kehilangan semua pemilikan dalam syarikat yang saya asaskan,” tulis Amos. Tidak lama kemudian, syarikat itu telah menukar pemilikan sebanyak empat kali.

Dilahirkan di Tallahassee, Florida, Wally Amos berpindah ke New York City pada usia 12 tahun kerana perceraian ibu bapanya. Dia tinggal bersama ibu saudaranya, Della Bryant, yang mengajarnya cara membuat biskut coklat.

Dia kemudiannya berhenti sekolah tinggi untuk menyertai Tentera Udara sebelum bekerja sebagai kerani bilik surat di Agensi William Morris, di mana dia menjadi ejen bakat, bekerja dengan artis terkenal The Supremes, Simon & Garfunkel dan Marvin Gaye sebelum meminjam AS$25,000 untuk membuka perniagaan biskutnya.

Gambar New York Times

“Ayah adalah ejen kulit hitam pertama dalam perniagaan hiburan,” kata anaknya, Shawn Amos yang merupakan seorang artis dan penerbit.

Wally Amos juga seorang tokoh dalam budaya pop Amerika Syarikat yang menjadi terkenal selepas muncul sebagai cameo dalam sitkom “The Office”, “The Jeffersons” dan “Taxi”.

“Ayah mengajar kami nilai kerja keras, percaya kepada diri sendiri, dan mengejar impian kami. Kami juga tahu dia akan menyukainya jika anda ada biskut coklat di sisi hari ini,” kata anak-anak Amos dalam kenyataan itu.