Tidak kira di mana, Malaysia kini sedang berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu. Hujan lebat boleh berlaku di mana sahaja, selama berhari-hari sehingga menyebabkan banyak tempat yang terkesan. Hasilnya, banjir boleh melanda mengakibatkan pelbagai kemudahan mengalami gangguan contohnya seperti jalan raya.
Hakikatnya bukan hujan yang membuatkan banjir berlaku tetapi keadaan atau sistem pengaliran di sesebuah tempat memainkan peranan yang penting. Andai sahaja kesemua sistem pengaliran atau perparitan diselenggara dengan baik pastinya tiada banjir teruk berlaku. Kita sememangnya tidak boleh mengawal cuaca tetapi kita punya ‘kuasa’ untuk mewujudkan sistem yang lebih baik.
Ekoran sistem saliran yang tidak cekap telah membuatkan sebuah kawasan di Penampang, Sabah mengalami banjir kecil apabila air mula naik hingga ke jalan raya. Apa yang lebih memburukkan keadaan jalan raya pada ketika itu boleh dilihat agak sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan.
Memandangkan air mula naik jadi kenderaan terpaksa memperlahan kelajuan dan terpaksa mengelak daripada air dan ini membuatkan kesesakan mula berlaku. Keadaan seperti ini lebih berbahaya kepada mereka yang menunggang motosikal. Jalan pastinya menjadi lebih licin dan mereka mungkin tidak dapat melihat keadaan jalan ketika itu kerana sudah ditutupi air. Bayangkan jika ada lubang di situ? Bukankah boleh membuatkan mereka terjatuh jika terlanggar.
Jadi, untuk mengelakkan keadaan berterusan begitu, seorang anggota polis trafik telah mengambil inisiatif sendiri dengan membersihkan longkang tersumbat supaya air dapat mengalir.
Tanpa berfikir lama dia terus turun dan mula melakukan kerja-kerja membersihkan saluran. Dengan menggunakan kayu yang didapati di kawasan berhampiran dia terus berusaha untuk memastikan air boleh mengalir semula masuk ke dalam sistem saliran yang betul dengan lebih lancar.
Selepas beberapa minit mencuba usahanya mula menunjukkan hasil apabila saluran yang tersumbat mula dapat mengalirkan air semula. Pasti ia bukan kerja yang mudah bahkan agak memenatkan.
Usaha mulia anggota polis trafik telah meraih perhatian netizen. Ramai yang berterima kasih dengan apa yang dilakukan pemuda itu. Nampaknya dia tidak kisah jika tangan atau baju putihnya kotor kerana apa yang lebih penting ketika itu ialah keselamatan orang ramai yang menggunakan jalan tersebut.
Tindakan seperti inilah yang wajar dicontohi. Tidak kira di mana pun, jika kejadian seperti ini berlaku kita juga boleh melakukan perkara yang sama dan hasilnya akan boleh dapat dinikmati oleh semua orang!
Tonton video di sini.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: