Di Taiwan, kebanyakan penghantar makanan mahupun barangan dilihat meletakkan patung di atas beg penghantaran. Mengapa agaknya ya?
Tindakan itu ternyata membuatkan ramai yang tertanya-tanya akan sebabnya. Bagi penghantar makanan, ianya mempunyai fungsi praktikalnya yang tersendiri.
Ini kerana ia memudahkan pelanggan untuk mengenalpasti motosikal yang digunakan bagi tujuan pengambilan makanan.
“Saya meletakkan patung dinosaur pada beg penghantaran saya. Jika saya menghantarnya ke sekolah, saya akan memberitahu pelanggan bahawa ada patung dinosaur pada pesanan itu”, kata seorang penghantar makanan.
Pelanggan juga dapat segera mengecam penghantar yang ditugaskan. Maka tiadalah individu yang tersalah ambil barangan mahupun makanan.
Malah, seorang lagi penghantar mendedahkan bahawa patung yang disambungkan pada zip beg penghantaran itu juga bertindak sebagai ‘penanda’ sama ada zip beg itu telah ditutup ataupun terbuka.
“Saya sangkutkan ia pada zip kerana saya sering terlupa untuk menutup zip beg. Jadi jika saya lihat posisi patung itu berada di bawah, saya tahu ia belum lagi ditutup”.
Jadi individu tersebut akan segera berhenti di bahu jalan untuk menutupnya. “Kadang kala, ia turut memudahkan saya untuk mencari kedudukan zip, terutamanya jika saya mahu cepat”.
Ada pula penghantar yang hanya menyukai kecantikan pada patung tersebut dan ia diletakkan bertujuan untuk dekorasi semata.
“Secara peribadinya, saya sukakan patung yang ringkas, ringan dan tidak mempunyai banyak aksesori yang tidak perlu”.
“Ia sudah kelihatan cantik, tidak perlu tujuan apa pun”, ujar penghantar berkenaan. Ada juga yang berasa patung itu ‘menemani’ hari mereka bekerja.